WAKIL pihak Vale menyampaikan sumbangan kepada golongan ibu tunggal dan penjaja yang terjejas di daerah Manjung, Perak yang terjejas akibat Covid-19.
WAKIL pihak Vale menyampaikan sumbangan kepada golongan ibu tunggal dan penjaja yang terjejas di daerah Manjung, Perak yang terjejas akibat Covid-19.
Fairul Asmaini Mohd


PENGENDALI operasi hab pengedaran bijih besi di Teluk Rubiah, Perak yang juga sebuah syarikat perlombongan terbesar di dunia, Vale tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban 418 keluarga terjejas di daerah Manjung.

Ia membabitkan keluarga ibu tunggal dan penjaja di Teluk Batik yang terjejas mata pencarian akibat penularan pandemik Covid -19.

Inisiatif terbaharu itu adalah sebahagian daripada bantuan Covid-19 syarikat itu yang bernilai lebih RM1 juta untuk manfaat komuniti dan institusi tempatan di daerah berkenaan sejak Mac tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rodrigo Ribeiro de Araujo berkata, pihaknya menyedari kesukaran yang dihadapi beberapa keluarga yang menetap di daerah Manjung akibat pandemik itu.

Justeru, katanya, bersesuaian dengan semangat prihatin yang disarankan kerajaan, syarikat itu ingin membantu dalam kapasiti mereka sebagai pihak korporat untuk membantu masyarakat setempat.

"Sejak bermulanya pandemik tahun lalu, kami memberikan sokongan kepada masyarakat setempat dan agensi kesihatan untuk membantu usaha Perak menangani Covid-19.

"Sokongan itu termasuklah sumbangan lebih 20,000 unit kit ujian kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lapan unit Alat Pernafasan Pembersih Udara Bertenaga (PAPR) kepada Hospital Manjung," katanya.

Menurut beliau lagi, selain bantuan makanan di Manjung, sumbangan juga dihulurkan kepada petugas barisan hadapan.

Ia membabitkan bantuan sebanyak 6,830 bungkusan istimewa (care package) untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan perubatan di negeri itu pada Mei lalu dan ia adalah sebahagian daripada kempen 'Kome Hero Kami' anjuran Vale.

"Sebagai pelabur asing terbesar di Perak, kami akan terus proaktif dalam membantu masyarakat dan institusi tempatan untuk memastikan negeri ini dapat bangkit daripada pandemik ini bersama dengan lebih kuat dan berdaya tahan.

"Kami komited untuk bersama dengan rakyat Malaysia dalam mendepani cabaran semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 6:47 AM