Dayana Aripin wanita Malaysia pertama terima AYDA pada 2021
Dayana Aripin wanita Malaysia pertama terima AYDA pada 2021
Muhamaad Razis Ismail


Sejak kecil, apabila ditanya berkenaan cita-cita tentunya ramai dalam kalangan kita cenderung memilih kerjaya profesional seperti doktor, jurutera dan peguam.

Berbeza dengan Dayana Aripin, 28, apabila menyimpan impian untuk menjadi seorang tukang kayu.

Kini, biarpun tidak bergelar tukang kayu, namun dia antara arkitek muda yang sedang meningkat naik di negara ini.

Antara pencapaian terbesarnya apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) 2021 bagi kategori seni bina menewaskan 12 peserta akhir lain termasuk dari India, China dan Jepun dalam majlis yang diadakan secara maya pada 8 Julai lalu.

Lebih manis, Dayana menjadi wanita pertama dari Malaysia berjaya memenangi kategori itu di peringkat antarabangsa sejak AYDA diperkenalkan pada 2008.

Projek perumahan mikro di Georgetown, Pulau Pinang untuk membantu golongan B40 yang dijalankan graduan Sarjana Universiti Sains Malaysia (USM) itu berjaya menambat hati juri kerana sangat menepati tema yang ditetapkan sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Kemenangan itu membolehkan Dayana merealisasikan impian menyertai program Eksplorasi Seni Bina di Universiti Harvard, Amerika Syarikat pada tahun depan dengan kos ditanggung sepenuhnya.

Dayana melihat anugerah ini memberi makna yang cukup besar dalam mengembangkan kerjayanya sebagai seorang arkitek.

"Sejujurnya saya akui terkejut dan sama sekali tidak menyangka berjaya menerima AYDA kerana semua peserta akhir memang hebat dengan projek masing-masing.

PROJEK yang mengangkat nama Dayana ke persada antarabangsa.
PROJEK yang mengangkat nama Dayana ke persada antarabangsa.

"Saya berharap kemenangan ini dapat memberi inspirasi kepada wanita di luar sana terutama di negara ini untuk berjaya dalam bidang ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, minat terhadap bidang ini sebenarnya sudah tercetus sejak kecil selepas mendapat inspirasi daripada bapanya yang banyak melakukan kerja secara lakukan sendiri (DIY) di rumah.

"Selepas menamatkan persekolahan, saya menerima tawaran untuk belajar Asasi Alam Bina di Universiti Malaya (UM).

"Kemudian selepas tamat ijazah sarjana muda, saya bekerja selama empat tahun di sebuah syarikat sebelum melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di USM.

"Kini, saya sedang mengusahakan studio kecil yang berasaskan eksplorasi seni bina dan juga hiasan dalaman yang dinamakan sebagai Mikro Studio," katanya.

Dayana berkata, kerjaya sebagai arkitek menuntut pelaburan dan pengorbanan yang tinggi.

"Sesiapa yang terbabit dalam bidang ini perlu kental, tidak malu bertanya dan memerlukan dedikasi yang berterusan.

"Selain itu, perlu sentiasa kuatkan hati, percaya kepada potensi diri dan mempunyai integriti," katanya.

Jelasnya, sepanjang terbabit dalam bidang ini, dia berdepan pelbagai cabaran termasuk kritikan pedas daripada pihak tertentu.

"Antaranya, saya berkahwin pada usia 26 tahun dikatakan tidak perlu melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana kerana perlu sentiasa berada di sisi suami.

BERSAMA anugerah yang diperoleh ketika menyertai AYDA Malaysia.
BERSAMA anugerah yang diperoleh ketika menyertai AYDA Malaysia.

SENTIASA percaya kepada potensi diri.
SENTIASA percaya kepada potensi diri.

"Tetapi saya berjaya membuktikan bahawa wanita mampu membahagiakan keluarga dan juga mengejar cita-cita," katanya.

Sejujurnya, pada awalnya, dia terpaksa berkorban masa kerana masih baru dalam perkahwinan dan juga belajar.

"Bidang ini memerlukan komitmen dan fokus yang tinggi. Namun saya cuba amalkan tema dan matlamat rekaan harus matang dari awal perancangan sebelum reka bentuk disiapkan.

"Ini untuk membantu saya mendapatkan arah tuju yang betul dan menjimatkan masa berfikir untuk subjek yang lain," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berhasrat ingin menjadi seorang arkitek dalam bidang kemanusiaan.

"Bidang ini memerlukan komitmen dan fokus yang tinggi. Namun saya cuba membahagikan masa antara kerja dan juga rumah tangga supaya kedua-duanya seiring.

"Pada masa sama, saya mahu Mikro Studio sebagai menjadi antara studio reka bentuk terbaik pada masa akan datang selain sumber inspirasi kepada wanita di luar sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 7:01 AM