PENYEDIAAN sajian mesti pelbagai dan lebih banyak warna lebih baik.
PENYEDIAAN sajian mesti pelbagai dan lebih banyak warna lebih baik.
Nurul Husna Mahmud


PENGAMBILAN daging merah selalu dikaitkan dengan komplikasi tekanan darah tinggi, penyebab obesiti dan kanser usus apabila diambil sebagai diet harian.

Sedangkan pengambilannya mempunyai kebaikan tertentu termasuk membantu mereka yang mempunyai masalah kekurangan darah seperti anemia.

Daging merah berwarna merah disebabkan protein yang dinamakan mioglobin berfungsi menyimpan dan mengangkut oksigen ke otot melalui aliran darah.

Fakta lain mengenai daging merah ialah kandungan vitamin dan tinggi zat besi.

Perunding Permakanan CVS, Mary Easaw melihat daging memiliki manfaat seperti sumber makanan lain dan yang tidak sihat adalah berpunca daripada tabiat individu.

"Saya tidak percaya sesuatu sumber makanan itu tidak baik untuk individu melainkan tabiat makan mereka. Makanan boleh menjadi baik atau tidak bergantung kepada kaedah mengendalikan atau penyediaan masakan termasuk daging merah.

"Malah, saya selalu tekankan kepada setiap individu dalam sajian harian atau diet mereka perlu lebih ringkas, sederhana dan seimbang selain variasikan pelbagai sumber makanan dalam menu seharian.

"Bagi daging merah, cadangan saiz hidangan untuk produk itu ialah dua kali seminggu. Jumlah itu memadai dan menu juga pelbagai sama ada dimasak bersama santan atau tidak.

"Sumber mesti semula jadi dan segar kerana keadaan itu lebih ringkas dengan bahannya lebih baik," katanya ketika dalam Webinar True Aussie Beef Up.

KAEDAH penyimpanan dibalut dengan kertas minyak.
KAEDAH penyimpanan dibalut dengan kertas minyak.

Panduan lebih mudah dikongsi Mary dalam menentukan saiz sesuai bagi setiap individu antaranya, daging juga salah satu protein penting boleh diambil dengan saiz hidangan ditentukan menerusi saiz tapak tangan.

"Petua mudah dalam mengetahui saiz hidangan tidak berlebihan ialah dengan mengikut sukatan tapak tangan.

"Selain itu, suku-suku separuh seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai Pinggan Sihat Malaysia boleh dijadikan panduan individu dalam pengambilan daging merah. Lebih penting kena pelbagaikan sajian harian," katanya.

Pemilihan daging pula, kata Mary, lagi kurang lemak lagi sihat daging itu selain anda boleh menikmati apa juga sajian.

"Daging merah ini mempunyai kandungan tinggi zat besi dan zink. Ia sumber baik tenaga dan bagi mereka yang mempunyai masalah kekurangan darah boleh atasi masalah berkenaan dengan pengambilan daging.

DAGING merah mempunyai tinggi zat besi dan zink.
DAGING merah mempunyai tinggi zat besi dan zink.

"Bahagian lebih baik ialah yang kurang lemak dan banyak otot kerana ia pilihan daging sihat. Jadi, jika lihat ada banyak lemak pada daging dibeli, buang lemaknya terlebih dahulu sebelum dimasak.

"Amalkan juga mengunyah daging dengan lebih lama dan menelannya perlahan-lahan kerana itu membantu penghadaman yang lebih baik. Pastikan juga daging dimasak dengan baik mengelak masalah keracunan," katanya.

Sementara itu, Perunding Agriculture Australia, Sanjay Bootthalingam yang kini bersama Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia turut berkongsi kaedah baik dalam mengendalikan daging segar seperti kualiti daging merah import Australia.

"Selaku pengeksport daging merah utama dunia termasuk Malaysia, dua komponen penting ialah keselamatan makanan dan halal adalah kepakaran kami lebih 40 tahun terhadap 100 negara pengimport.

PESAKIT anemia boleh memanfaatkan khasiat daging merah.
PESAKIT anemia boleh memanfaatkan khasiat daging merah.

"Selain menekankan pemberian makanan baik untuk lembu demi hasil daging berkualiti dan sihat untuk pengguna, pengendalian bermula dari ladang ternak ke pusat sembelihan hinggalah ke pengguna melalui proses ketat memastikan produk ini selamat.

"Pengguna boleh menikmati daging ini dengan meletakkan pada suhu dingin biasa (chiller) bagi tempoh tiga hari memasak atau sejuk beku untuk menikmati daging lebih segar bagi tempoh simpanan lebih lama.

"Sebaiknya daging merah tidak disimpan melebihi sebulan bagi memastikan tektur dan kualiti pada tahap segar untuk penyediaan sajian lebih enak bersama keluarga," katanya.

Menurut Sanjay, cara simpanan yang baik ialah menggunakan pek vakum, letakkan dalam bekas makanan atau dibalut dengan kertas minyak atau perang (tracing paper).

Sebaiknya daging tidak bercampur ruang dengan daging lain seperti ikan dan ayam bagi memastikan keadaan simpanan baik serta tidak berlaku pencemaran terhadap sumber lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 6:40 AM