PEMILIHAN jenis tudung penting untuk keselesaan dan kesihatan rambut.
PEMILIHAN jenis tudung penting untuk keselesaan dan kesihatan rambut.
Hafiz Ithnin


PEMAKAIAN tudung dalam kalangan wanita masa kini menyerlahkan gaya yang menarik kepada si pemakainya.

Namun, jika anda bertudung, tetapi tidak mengambil peduli mengenai kesihatan rambut kerana berasakan ia tidak terdedah, pastinya suatu kesilapan!

Tenaga Pengajar Seni Reka Gaya Rambut GiatMara Ampang Jaya, Syafiqah Janudin berkata, penjagaan rambut dan kulit kepala meskipun bertudung amat penting kerana ia menjamin keselesaan diri.

Jelasnya, jika rambut dan kulit kepala tidak dijaga dengan baik, ia boleh menyebabkan keguguran dan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

Katanya, antara yang sering dihadapi wanita bertudung ialah kulit kepala gatal kerana salah satu puncanya kerana menyarung tudung ketika rambut tidak kering dengan sempurna dan memiliki kulit kepala yang sensitif.

"Selain itu, untuk wanita yang mempunyai rambut agak panjang mereka akan mengikatnya sebelum menyarungkan anak tudung atau tudung.

"Ikatan rambut yang terlalu kuat sebenarnya memberi kesan kepada akar rambut. Apatah lagi, jika dalam keadaan yang lama boleh mengakibatkan rambut gugur," katanya.

Tambahnya, meskipun memakai tudung ia bukan menjadi 'senjata' untuk wanita untuk menutup masalah itu kerana ia akan memberi ketidakselesaan kepada diri sendiri apatah lagi mengundang wujudnya kelemumur.

"Kulit kepala yang berminyak dan berpeluh boleh menjadi punca masalah kelemumur yang menyebabkan apabila mereka membuka tudung, ia akan gugur pada pakaian.

"Jadi, pastikan keadaan kulit kepala sentiasa sihat dan tidak mempunyai rambut yang terlalu berminyak dengan membuat rawatan demi keselesaan sendiri," katanya.

Katanya lagi, masalah rambut berbau kepam juga sering berlaku dalam kalangan wanita bertudung yang tidak menjaga kesihatan rambut dan kulit kepala mereka.

KEADAAN panas beri cabaran keselesaan kepada wanita bertudung.
KEADAAN panas beri cabaran keselesaan kepada wanita bertudung.

"Perkara ini berlaku kerana memakai tudung terlalu lama dan berada di bawah sinaran matahari. Tambahan, jenis kain tudung pula agak tebal menyebabkan tiada langsung pengudaraan yang baik.

"Jangan juga menggunakan anak tudung yang sama berulang kali yang tidak dibasuh dengan sempurna kerana ia menjadi salah satu punca bau rambut kurang menyenangkan," katanya.

Katanya, wanita bertudung juga sering mengalami masalah rambut kering kerana berasakan mahkota itu tidak perlu dirawat disebabkan sentiasa tertutup.

Justeru, Syafiqah kongsikan beberapa tip penjagaan rambut bagi wanita bertudung:

1. Elak memakai tudung ketika rambut basah. Pakai tudung ketika rambut basah boleh menyebabkan rambut berbau kurang menyenangkan.

2. Gunakan syampu dan perapi yang bersesuaian untuk rambut. Jika rambut berminyak atau berkelemumur, gunakan syampu khas untuk masalah itu. Penggunaan syampu yang salah boleh menyebabkan keguguran rambut atau masalah yang dihadapi bertambah teruk.

3. Gunakan tonik rambut secara konsisten kerana ia membantu untuk mengawal keguguran rambut dan menggalakkan pertumbuhan rambut. Justeru, toni

k rambut juga dapat membendung kulit kepala daripada mempunyai masalah seperti kelemumur atau kegatalan. Penggunaanya juga dapat mengelakkan daripada rambut menjadi kepam.

4. Pastikan lakukan rawatan rambut sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi menjaga rambut dan kulit kepala. Apabila melakukan rawatan rambut, ia dapat merawat atau membantu menyelesaikan masalah rambut.

Rawatan ini juga boleh dilakukan sendiri tanpa pergi ke salun. Contohnya, santan boleh digunakan sebagai rawatan rambut dan kulit kepala bagi orang yang mengalami keguguran rambut yang teruk. Manakala bagi yang mengalami kelemumur atau kegatalan boleh menggunakan air limau nipis untuk menghilangkan kelemumur. Rawatan sendiri ini boleh dilakukan seminggu sekali.

5. Jika berada di rumah, elak dari mengikat rambut terlalu ketat. Sesekali beri kebebasan kepada rambut.

6. Pastikan anak tudung ditukar setiap hari kerana anak tudung yang pakai apabila kita berpeluh, ia menyerap peluh, sekali

gus menyumbang kepada bau yang kurang enak jika dipakai berulang kali.

7. Untuk dapatkan rambut yang sihat, amalkan pemakanan sihat dan tidur dengan cukup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:38 AM