PEMASANGAN pendakap gigi bukan kerana gaya semata-mata dan perlu mendapat nasihat pakar. - FOTO Google
PEMASANGAN pendakap gigi bukan kerana gaya semata-mata dan perlu mendapat nasihat pakar. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


MEMAKAI pendakap gigi bukanlah sesuatu yang asing. Malah, ia menjadi keinginan sesetengah individu yang melihat ia mampu menyerlahkan gaya.

Pemilik bersama Klinik Pergigian Verde Amani Dental Care, Dr Verde Wigid Putra berkata, sesetengah individu yang ingin memakai pendakap gigi kerana fesyen dan bukan kerana fungsi boleh mendatangkan mudarat.

Jelasnya, memakai pendakap gigi bukanlah sesuatu yang menyenangkan kerana ia memberi kesan keselesaan kepada si pemakai.

"Jika memakai pendakap gigi tanpa ada keperluan boleh mengakibatkan gigi bergerak jadi lagi teruk. Kebersihan gigi dipertaruhkan sebab susah untuk dijaga.

"Malah, boleh menyebabkan mulut berbau dan terdapat kotoran jika tidak dijaga dengan betul. Selain itu, ia boleh menyebabkan ulser di bibir, gusi atau mulut," katanya.

Dr Putra berkata, secara umumnya pemakaian pendakap gigi terdapat dua fungsi iaitu pertama kerana masalah fungsi gigi dan kedua estetik.

"Fungsi gigi sedia maklum, untuk makan. Apabila sukar untuk makan disebabkan susunan gigi, mungkin kita perlukan rawatan gigi berkenaan.

"Berkaitan estetik, selalunya berkait dengan gigi depan yang jarang atau tak tersusun cantik dan kemas. Ia bererti terdapat gigi tambahan yang menyebabkan susunan jadi pelik atau gigi taring terkeluar yang dipanggil gigi 'ginsul," katanya.

Jelasnya, pemakaian pendakap gigi hanya boleh ditentukan oleh doktor gigi bertauliah kerana terdapat standard susunan gigi yang perlu dipatuhi.

"Ia boleh juga ditentukan pesakit yang lebih kepada rawatan estetik tetapi ia perlu mendapat nasihat daripada doktor pakar terlebih dahulu.

"Jika tiada masalah, tidak boleh memakainya sebab pendakap gigi bukan aksesori atau hiasan. Ia adalah alat untuk gerakkan dan mengukuhkan struktur gigi," katanya.

Katanya, orang ramai juga jangan terpedaya dengan khidmat doktor gigi palsu untuk memakai pendakap gigi kerana ingin gaya dan murah.

"Perkhidmatan tidak bertauliah ini amat merbahaya kerana mereka tidak menggunakan alat pergigian yang dinyah kuman yang boleh menyebabkan jangkitan ('cross infection') dan penyebaran virus seperti hepatitis dan Covid-19.

"Malah perkhidmatan sebegini juga selalunya tidak menggunakan material yang mengikut standard, disebabkan pembekal alatan perubatan hanya diberikan kepada klinik dan doktor berdaftar dan bertauliah sahaja," katanya.

Tambahnya, penggunaan material yang tidak standard boleh juga memberikan kesan racun kepada tubuh badan tanpa disedari," katanya.

"Jika perlu memakai pendakap gigi kerana terdapat masalah kesihatan yang sudah ditentukan oleh doktor, juga jangan ambil jalan mudah dengan menggunakan khidmat doktor palsu atau tidak bertauliah.

"Ketika ini, kos pemasangan pendakap gigi sudah boleh dibayar secara ansuran dan pesakit juga sentiasa dipantau secara berjadual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 6:44 AM