NOR Hashimah dipilih memenangi Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s.
NOR Hashimah dipilih memenangi Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s.
Hidayatidayu Razali


"DALAM rezeki kita sebenarnya ada rezeki orang lain. "Wang ringgit insya-Allah boleh dicari dan apa yang penting, pelajar kurang berkemampuan dapat dibantu bagi memastikan mereka tidak menjadikan kesusahan hidup sebagai halangan untuk berjaya," kata Nor Hashimah Abdul Rahman, 48.

Prinsip wanita yamg juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Saadong, Kota Bharu, Kelantan itu wajar dicontohi kerana dia bukan sahaja sanggup berkorban masa dan tenaga malah wang ringgit demi memastikan pelajarnya tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Menurut Nor Hashimah, dia sentiasa berpegang kepada prinsip sentiasa berbuat baik sesama insan terutama golongan yang kurang bernasib baik.

Dia yang pernah menjual barangan kemas demi membantu pelajar turut menggadai gelang emas kesayangan pemberian ibunya pada tahun 2017.

"Kebiasaan saya akan menggunakan gaji atau simpanan, namun ketika itu saya terpaksa menjual dan menggadai barang kemas kerana simpanan banyak digunakan untuk rawatan kesuburan Persenyawaan In-Vitro (IVF) dan membina rumah.

"Semua itu bagi membantu meringankan beban mereka yang kebanyakannya daripada keluarga susah.

"Tidak sangka, pengorbanan kecil itu dikenang bekas pelajar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Mali, Gunong, Bachok, baru-baru ini.

Isteri kepada bekas pensyarah dan penceramah bebas, Mustaffa Mat Daud itu berkata, dia berasa lega jika dapat membantu meringankan beban pelajar yang dianggap sebagai anak angkatnya.

Ini kerana kata Nor Hashimah, masalah kewangan yang dihadapi keluarga sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pelajaran pelajar.

JASA Nor Hashimah mendorong Muhammad Afiq Aiman menghantar penyertaan kepada McDonald’s.
JASA Nor Hashimah mendorong Muhammad Afiq Aiman menghantar penyertaan kepada McDonald’s.

"Ada yang tidak dapat membayar yuran dan ada juga yang tidak membawa wang saku ke sekolah.

"Sebagai guru dan mungkin juga dianggap sebagai ibu, saya cuba membantu dengan sebaik mungkin termasuk mengumpul wang untuk membayar yuran pelajar yang dikategorikan dalam keluarga tidak mampu.

"Bukan saya sahaja malah ramai lagi guru lain yang turut sama membantu pelajar yang kurang bernasib baik termasuk menyumbang wang ringgit bagi memberi semangat kepada mereka untuk terus belajar dan berjaya demi mengubah nasib pada masa hadapan," katanya.

Pengorbanan Nor Hashimah dan rakan sejawatnya nyata berbaloi apabila ramai pelajar yang dibantu berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Selain itu, dia juga tidak berkira menyumbang tenaga dan meluangkan masa membawa pelajar ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Tidak cukup dengan itu, sifat keibuan Nor Hashimah juga terserlah apabila sanggup membantu menghantar pelajarnya pulang ke rumah pada hujung minggu.

"Semua ini dilakukan kerana mahu memastikan mereka yang di bawah jagaan saya selamat dan sihat untuk terus menuntut ilmu demi masa depan yang lebih cerah.

RAKAN sejawat yang tidak pernah jemu membantu meringankan beban pelajar.
RAKAN sejawat yang tidak pernah jemu membantu meringankan beban pelajar.

"Doa saya, apabila mereka sudah berjaya kelak, mereka akan dapat membantu orang lain pula," katanya.

Jasa dan bakti Nor Hashimah sememangnya dikenang ramai. Tidak hairanlah jika antara ribuan guru yang ada, dia dipilih memenangi Anugerah Guru Inspirasi McDonald's pada Mei lalu.

Pemilihan itu melayakkan wanita berhati waja berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Mengulas mengenai pemilihan itu, Nor Hashimah mengakui masih terkejut kerana tidak menyangka bekas pelajarnya, Muhammad Afiq Aiman Talib, 20, yang mencalonkan pemilihannya.

Katanya, dia hanya mengetahui keputusan itu selepas dihubungi sendiri pihak McDonald's sebelum mereka datang ke rumah untuk menyerahkan hadiah yang dimenangi.

"Alhamdulillah, saya akan terus menabur bakti untuk mendidik pelajar sehingga mereka berjaya.

"Semua guru di luar sana pasti akan melakukan perkara yang sama namun mungkin ia tidak ditonjolkan kepada umum.

"Apa pun, dalam hal ini, saya memang benar-benar ikhlas untuk membantu mereka," katanya.

Sementara itu, Nor Hashimah yang kini mengajar subjek Sejarah bagi pelajar tingkatan empat dan lima serta turut mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan satu dan dua di sekolah berkenaan.

Nor Hashimah turut menggalas tanggungjawab sebagai warden asrama sekolah terbabit. Sebelum itu, dia juga pernah berkhidmat di SMK Karak, Pahang.

Kemurahan hati, keperibadian dan komitmen tinggi Nor Hashimah sememangnya layak dihargai serta tidak hairanlah jika wanita berkenaan sentiasa berada dalam doa bekas pelajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 7:00 AM