HUBUNGAN kekeluargaan dapat meningkatkan produktiviti kerja
HUBUNGAN kekeluargaan dapat meningkatkan produktiviti kerja
Muhamaad Razis Ismail


VOLVO Cars memperkenalkan 'The Volvo Cars Family Bond' iaitu polisi cuti bersalin kepada semua 40,000 kakitangan di seluruh dunia termasuk di negara ini.

Menerusi polisi ini, pekerja akan diberi cuti selama enam bulan dengan 80 peratus gaji.

Lebih menarik, suami yang bekerja di syarikat automotif terkemuka itu turut menerima manfaat sama menerusi polisi yang dilaksanakan sejak 1 April lalu.

Ketua Bahagian Pengalaman Manusia Volvo Car Malaysia, C Rema berkata, semua pekerja yang berkhidmat sekurang-kurangnya setahun di Volvo Cars layak untuk memperoleh cuti bersalin bergaji ini.

"Menerusi polisi ini, pekerja boleh mengambil cuti pada bila-bila masa dalam tempoh tiga tahun pertama menjadi ibu bapa.

"Sejak dilaksanakan pada 1 April lalu, seorang pekerja di negara ini sudah menikmati manfaat ini selepas isterinya melahirkan anak baru-baru ini ," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

VOLVO Cars sentiasa mengutamakan kebajikan pekerja
VOLVO Cars sentiasa mengutamakan kebajikan pekerja

Beliau berkata, prosedurnya juga cukup mudah apabila pekerja hanya perlu memaklumkan lebih awal kepada ketua jabatan dan jabatan sumber manusia mengenai tarikh kelahiran anak tanpa perlu membuat sebarang permohonan.

"Langkah ini untuk memastikan pihak syarikat dapat mengurangkan beban tugasan pekerja yang bakal bercuti ini supaya mereka boleh membuat persiapan awal menerima kehadiran ahli keluarga baru.

"Pada masa sama, syarikat dapat membuat perancangan penyelarasan dan pembahagian tugas kepada pekerja lain sepanjang individu terbabit bercuti," katanya.

Menurutnya, rata-rata pekerja di Volvo Malaysia memberi maklum balas positif terhadap polisi ini yang dilihat memberi manfaat kepada mereka.

"Polisi ini dilaksanakan untuk memberi peluang kepada pekerja menjalankan tanggungjawab kepada keluarga kerana kami menyokong keibubapaan yang sama rata untuk semua jantina.

IBU dapat meluangkan lebih masa dengan anak
IBU dapat meluangkan lebih masa dengan anak

"Kami percaya menerusi polisi ini tuntutan pekerjaan dan keluarga dapat diseimbangkan. Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan jurang jantina dan dapat bekerja dengan cemerlang," katanya.

Selain itu, inisiatif ini dapat memberi ruang kepada ibu bapa meluangkan lebih masa dengan anak sekali gus dapat memberi impak positif terhadap perkembangannya.

"Secara tidak langsung, apabila kebajikan pekerja terjaga dengan baik, mereka akan bekerja lebih lama di sini dan memberi yang terbaik untuk bersama-sama memajukan syarikat," katanya.

REMA Chetty
REMA Chetty

Beliau percaya menerusi polisi ini, pihaknya mampu menarik lebih ramai tenaga kerja berbakat dari seluruh dunia untuk bersama-sama Volvo Cars.

"Kami berharap lebih banyak syarikat dapat mengambil langkah sama pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:15 AM