AWANG (kiri) memantau kawasan program sambil diiringi Presiden Youth Care Malaysia, Jabir Meftah dan Adam di Pendang, Kedah
AWANG (kiri) memantau kawasan program sambil diiringi Presiden Youth Care Malaysia, Jabir Meftah dan Adam di Pendang, Kedah
Muhamaad Razis Ismail

Sempena sambutan Aidilfitri, Pertubuhan Pendidikan Kesedaran & Minda Prihatin Malaysia atau dikenali sebagai Youth Care Malaysia (YCM) menganjurkan sebuah Program Infaq Raya 'Seikat Ketupat Semangkuk Rendang' (SKSR).

Pengagihan barangan infak kepada 280 keluarga asnaf ini dilangsungkan secara serentak di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pengarah Projek SKSR, Adam Hashel berkata, dengan membawa slogan #YouthCareKongsiRaya, program SKSR ini dianjurkan untuk berkongsi sinar kebahagiaan dan meraikan golongan kurang berkemampuan menikmati kegembiraan hari raya walaupun dalam situasi pandemik Covid-19.

"Keunikan yang ditampilkan adalah dengan mengembalikan keceriaan raya kepada beberapa golongan yang memerlukan.

"SKSR mempersembahkan simbolik konsep mangkuk tingkat sebagai medium pembungkusan makanan dengan menjadikan ketupat dan rendang sebagai hidangan utama dalam program ini," katanya.

Menurutnya, sudah menjadi tradisi YCM dalam penganjuran program, satu negeri akan dipilih sebagai penyelaras utama program dan kali ini YCM memilih Kedah.

AKTIVITI menyantuni keluarga asnaf oleh perwakilan YCM Selangor di Batu 4, Klang, Selangor.
AKTIVITI menyantuni keluarga asnaf oleh perwakilan YCM Selangor di Batu 4, Klang, Selangor.

PENYEDIAAN ketupat dan rendang di Kelantan.
PENYEDIAAN ketupat dan rendang di Kelantan.

"Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim turut hadir bersama bagi merasmikan program SKSR di Kedah selaku tuan rumah.

"Personaliti media sosial seperti Zafir Karipap, Nazafee Tee, Jabir Meftah dan Arifee Tee turut serta bagi menyantuni asnaf di Kedah," katanya.

Sementara itu, penyumbang, Dashineswer berkata, Program Infak Raya SKSR ini turut mendapat sokongan dan sambutan dari komuniti bukan Muslim.

"Saya lihat ia dari sudut seorang warga Malaysia membantu warga Malaysia yang lain dalam meraikan perayaan mereka kerana saya percaya kebahagiaan perlu dikongsi bersama" katanya.

Sepanjang program berlangsung, sukarelawan dan tetamu jemputan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

Pihak YCM mengeluarkan garis panduan dan tatacara pengendalian program yang diperketatkan bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 6:35 AM