BERI tugasan yang sesuai dengan usia anak.
BERI tugasan yang sesuai dengan usia anak.
Muhamaad Razis Ismail


SETIAP ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak mereka sehingga sanggup lakukan apa sahaja.

Bagaimanapun ramai dalam kalangan ibu bapa 'lawnmower' yang tidak menyedari tindakan mereka itu boleh beri kesan kepada perkembangan anak di masa hadapan.

Dengan kata lain ibu bapa ini sanggup menghapuskan segala rintangan di hadapan anak supaya berjalan lancar tanpa berdepan kesusahan atau kegagalan.

Mereka umpama mesin pemotong rumput yang mencantas dan memotong rumput atau kemuncup untuk menghasilkan hamparan yang terbentang indah.

Sedangkan hakikatnya anak-anak akan menghadapi cabaran dalam hidup dan harus belajar untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi dan menguruskannya sendiri.

Perunding keibubapaan, Noor Afidah Abu Bakar berkata, antara tanda-tanda ibu bapa 'lawnmower' adalah termasuk sering bercakap bagi pihak anak sedangkan anak boleh bercakap sendiri.

"Selain itu, mereka menyelesaikan masalah untuk anak sedangkan anak perlu belajar mencari solusi bagi masalah yang dihadapi.

"Mereka juga sering melakukan tugasan untuk anak dan melindungi kesilapan anak sedangkan anak perlu belajar akibat daripada kesilapan yang dilakukan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berkata, pada awalnya mereka yang dikenal pasti sebagai ibu bapa 'lawnmower' ini golongan yang berada dan berpelajaran tinggi namun menular di setiap lapisan masyarakat.

PERLINDUNGAN berlebihan boleh beri kesan kepada perkembangannya.
PERLINDUNGAN berlebihan boleh beri kesan kepada perkembangannya.

"Ia berikutan perkembangan media sosial yang menggalakkan perkongsian mengenai kebahagiaan keluarga, kemewahan, aktiviti anak-anak, kejayaan anak-anak, kemasukan anak ke sekolah elit dan institusi pendidikan terkemuka sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa terhadap anak masing-masing secara tidak sedar.

"Ibu bapa melalui kegusaran dan kebimbangan yang melampau mengenai anak sehinggakan mereka tidak mahu anak bergelut atau mengalami sebarang kesukaran atau cabaran.

"Kegusaran ini melahirkan ibu bapa 'lawnmower' yang sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan agar mereka tidak ketinggalan dan anak setanding orang lain yang dilihat di media sosial walaupun tindakan itu tidak membantu perkembangan anak.

"Selain itu, ada juga yang menjadi ibu bapa 'lawnmower' kerana ingin menjaga imej sendiri," katanya.

BIARKAN anak berusaha sendiri.
BIARKAN anak berusaha sendiri.

Tambahnya, kanak-kanak perlu dilatih dengan kemahiran hidup dari usia awal lagi.

"Antara emahiran yang sangat penting dalam hidup yang perlu dikuasai oleh anak adalah skil untuk menguruskan emosi, menghadapi cabaran, kesukaran dan kegagalan.

"Kanak-kanak juga perlu dilatih dengan skil untuk menguruskan diri sendiri. Jika ibu bapa melakukan semuanya untuk anak dan menghapuskan segala rintangan di hadapan anak, anak tidak akan belajar dan menguasai skil ini.

"Anak tidak akan tahu bagaimana untuk berhadapan dengan kegagalan. Ini akan membawa kepada mudarat yang besar dan berpanjangan dalam hidup anak," katanya.

Tindakan ibu bapa 'lawnmower' juga boleh mengurangkan keyakinan anak terhadap kemampuan dirinya sendiri kerana tidak pernah diberi peluang untuk mencuba, peluang untuk belajar dari kesilapan dan peluang untuk bangkit dari kegagalan.

ANAK perlu belajar mencari solusi bagi masalah yang dihadapi.
ANAK perlu belajar mencari solusi bagi masalah yang dihadapi.

"Sekiranya ibu bapa 'lawnmower' ini sudah biasa dengan amalan memberi arahan tanpa hormat kepada guru atau sesiapa sahaja untuk menguruskan anak mereka di sekolah, ia akan memberi isyarat yang salah kepada anak bahawa kita tidak perlu menghormati orang lain asalkan kita dapat apa yang kita mahu," katanya.

Beliau berkata, kesedaran masih kurang kerana ibu bapa menyangkakan apa yang mereka lakukan adalah kerana sayangkan anak sedangkan tindakan mereka memudaratkan anak.

"Di negara kita, ia bukan hanya dilihat berlaku di peringkat sekolah, ia juga berlaku di peringkat universiti di mana ibu bapa mencampuri urusan pembelajaran anak," katanya.

Menurutnya, kesedaran dalam diri ibu bapa bahawa satu hari nanti kita harus melepaskan anak.

"Proses melepaskan anak bukannya proses yang mudah tetapi sekiranya dari awal kita tidak melatih anak dengan skil, anak akan menghadapi kepayahan dalam hidup untuk menguruskan diri dan masalah sendiri.

"Lepaskan anak peringkat demi peringkat dengan membekalkan mereka dengan kemahiran hidup. Beri anak peluang untuk melakukan tugasan yang sesuai dengan usia mereka.

Beliau berkata, menjadi ibu bapa 'lawnmower' belum tentu akan membahagiakan dan menggembirakan.

"Namun ia sudah tentu akan menghasilkan anak yang tidak tahu apa yang harus dilakukan apabila menghadapi kepayahan, kekecewaan dan kegagalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 7:00 AM