PROGRAM baraan atau marhaban ke rumah-rumah memeriahkan suasana raya tidak dapat dilaksanakan pada tahun lalu dan tahun ini. - Gambar Hiasan
PROGRAM baraan atau marhaban ke rumah-rumah memeriahkan suasana raya tidak dapat dilaksanakan pada tahun lalu dan tahun ini. - Gambar Hiasan
Nurul Husna Mahmud


TIADA ungkapan lebih tepat bagi menggambarkan kerinduan perantau yang ingin pulang dan berkumpul bersama keluarga di kampung halaman bagi meraikan Syawal kali ini.

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara bermula semalam kerana jumlah kes Covid-19 meningkat secara mendadak.

Bagi perantau kelahiran Batu Pahat, Johor, Shahariah Zainal, dia tidak menafikan menyimpan harapan besar untuk pulang ke kampung halaman pada tahun ini bagi meraikan bersama keluarga besarnya.

Kerinduan terhadap suasana beraya yang meriah selain tradisi tempatan yang biasanya malam raya akan dikunjungi kumpulan 'baraan' atau marhaban yang bergerak dari rumah

ke rumah.

"Memang saya menyimpan harapan besar untuk balik ke Batu Pahat, Johor. Maklumlah keluarga dan kawan ramai yang tinggal di sana dan ketika raya baru dapat berkumpul.

"Bukan kuih atau baju raya baharu yang buat raya itu seronok, sebaliknya dapat bertukar-tukar cerita dan bersua muka adalah satu pada saya nikmat ketika dapat meraikan raya bersama.

RAYA waktu Shahariah bertemu keluarga dan kenalan.
RAYA waktu Shahariah bertemu keluarga dan kenalan.

MOHD Zairuldi rindu meraikan raya bersama keluarga.
MOHD Zairuldi rindu meraikan raya bersama keluarga.

"Malah, malam sebelum raya sudah meriah. Rumah di kampung terletak berdekatan dengan surau. Selain mendengar takbir raya yang berkumandang, satu lagi membuatkan saya rindukan suasana beraya di kampung ialah didatangi kumpulan marhaban kampung.

"Mereka ini membuatkan suasana sangat berbeza. Rumah saya antara rumah terawal dan biasanya memang kami sudah sedia selepas Isyak menanti kedatangan kumpulan ini segerombolan," katanya.

Berkongsi raya tahun lalu yang tidak jauh bezanya tahun ini, kata Guru Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda Shah Alam itu, tahun ini lebih sukar kerana raya diraikan secara sederhana.

"Saya reda terpaksa meraikan hari raya tahun ini di Jalan Kebun Klang, Selangor bersama keluarga di sini. Tahun lalu tidak sesunyi tahun ini kerana bapa saya ada meraikan raya bersama.

"Dia yang kebetulan melawat cucunya ketika musim cuti sekolah tahun lalu tidak dapat pulang ke Johor kerana terkandas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.

"Waktu itu ada juga adik-beradik di sini boleh berkunjung atau beraya dengan kami. Tetapi, untuk raya tahun ini kami hanya menyediakan hidangan raya yang ringkas untuk dinikmati sendiri,"katanya.

Bagi perantau dari Kucing, Sarawak, Raanah Sidik yang mempunyai keluarga yang besar pastinya detik bergurau senda di pagi raya bersama 11 adik-beradiknya antara paling dirindui.

"Saya ini datang dalam keluarga yang besar dan apabila pulang ke Kuching memang suasana cukup meriah. Kami berkumpul di rumah ayah dan biasanya akan ambil kesempatan pulang awal iaitu dua atau tiga hari di penghujung Ramadan.

"Sempat juga saya nikmati bubur pedas Sarawak kerana juadah istimewa itu hanya muncul ketika Ramadan. Tahun lalu dan juga tahun ini terpaksa sediakan juadah itu sendiri kerana tidak dapat pulang ke Kuching.

"Saya terpaksa minta adik kirim rempah bubur pedas bagi memenuhi kerinduan terhadap juadah tradisi itu," katanya.

KELUARGA besar Raanah.
KELUARGA besar Raanah.

Tambah Raanah, rutin setiap kali pulang pula, dia akan menyiapkan keperluan termasuk juadah biskut raya kerana di Sarawak, juadah raya berbeza dengan Semenanjung.

"Persiapan raya biasanya sejak minggu pertama lagi sudah sibuk termasuk biskut raya. Di Sarawak tidak banyak biskut atau kuih raya seperti Semenanjung.

"Kalau tradisi biasanya 'kuih raya' di sini ialah kek Sarawak. Tetapi, kebelakangan ini sudah banyak biskut dan kerepek disajikan rumah orang kampung di sini.

"Tiket sudah ditempat lebih awal. Tetapi, dalam dua tahun ini saya dan suami memutuskan untuk meraikan raya di Kuala Lumpur sahaja bersama empat anak. Situasi tidak menentu terutama dengan jumlah kes yang meningkat setiap hari membuatkan kami berasa lebih selamat meraikan secara sederhana bersama keluarga sendiri," katanya.

Sementara itu, perantau juga dari Sarawak iaitu daerah Serian, Mohd Zairuldi Saini berkata, dia mengakui perasaan rindu terhadap keluarga cukup dirasai apabila sudah tiga tahun tidak dapat pulang beraya ke kampung halaman.

"Memang saya rindu suasana raya bersama keluarga kerana sudah lama tidak pulang ke kampung. Saya menetap di Kuala Lumpur sendirian dan tiada keluarga tinggal berhampiran. Banyak menumpang suasana raya dengan kenalan yang sudah berkeluarga.

"Walaupun rasa sukar kerana beraya sendirian, tetapi urusan pulang kampung sangat remeh kerana prosedur operasi standard (SOP) seperti proses kuarantin dan sebagainya menjejaskan waktu kualiti yang ada untuk bersama keluarga.

"Saya rasa biar 'cuti' disimpan dan digunakan pada waktu yang sesuai berbanding mengambil risiko pulang ke kampung pada keadaan kes sedang meningkat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 7:00 AM