ANIS bersama koleksi rekaannya.
ANIS bersama koleksi rekaannya.
Hafiz Ithnin


"SAYA bersyukur di dalam industri fesyen tempatan, walaupun dalam arena sebenar setiap pereka fesyen adalah pesaing tetapi kami sentiasa menyokong antara satu sama lain ketika berdepan dengan cabaran perniagaan akibat Covid-19.

"Tidak ada rasa kedekut ilmu dalam berniaga kerana kami ingin bersama-sama ingin memastikan periuk nasi masing-masing tidak terjejas," jelas pereka fesyen dan usahawan 36 tahun ini.

Bagi Noranis Che Aziz atau lebih mesra disapa Anis pengalaman membina perniagaan lima tahun lalu dengan mengetengahkan konsep gaya kasual dan jalanan mampu memikat selera peminat fesyen tempatan.

Apatah lagi, konsep yang ditawarkannya boleh digayakan dalam pelbagai majlis dan lokasi kerana ia tampak sopan serta selesa untuk bergerak terutama untuk wanita aktif.

Namun, tahun lalu bagi Anis, ia bagaikan mimpi ngeri apabila rangkaian koleksi yang dikeluarkannya tidak begitu laku akibat Covid-19.

"Bukan sahaja terduduk, rasanya keadaan itu membuatkan saya seperti tersungkur kerana situasi yang tidak dapat dijangka dan ia berlaku begitu

cepat sekali.

"Malah, akibat Covid-19 pembeli mula mempunyai sentimen lebih berhati-hati untuk berbelanja terutama pakaian baharu untuk ke tempat kerja memandangkan Sri Candy menawarkan konsep untuk wanita bekerjaya yang lebih tampak kasual ketika di tempat kerja," katanya.

SENTIASA mendapatkan ilmu untuk mengembangkan perniagaan.
SENTIASA mendapatkan ilmu untuk mengembangkan perniagaan.

Jelas pemegang Ijazah Muda Reka Fesyen dari Universiti Teknologi Mara itu, sejak menamatkan pengajian dia lebih berminat untuk berniaga sendiri.

Namun, anak kelahiran Kelantan dan dibesarkan di Labuan itu mengutip pengalaman bekerja dengan syarikat pengeluar pakaian terlebih dahulu sebelum mempunyai jenama sendiri pada 2016.

"Ketika bekerja dengan syarikat saya menjadi pemerhati dari segi kehendak pasaran dalam industri fesyen yang bukan sahaja rekaan pakaian semata-mata.

"Maka, menerusi pengalaman itu, saya mula mencipta rekaan sendiri mengikut cita rasa peribadi dan menggabungkan dengan kehendak pasaran. Ternyata, ia mendapat sambutan. Apatah lagi, saya menawarkan harga mampu milik," katanya.

Sebelum Covid-19 melanda, Anis mengeluarkan purata 10 adi busana dan antara tiga atau empat daripadanya untuk bertemakan perayaan.

Meskipun adi busana bertemakan perayaan tetapi ia boleh dipadankan dengan pakaian yang lain untuk kelihatan lebih kasual dan sesuai untuk pelbagai acara.

"Disebabkan konsep mudah suai padan yang ditawarkan saya, jadi koleksi yang dikeluarkan mudah mendapat sambutan.

"Namun, apabila pelanggan mula bekerja dari rumah dan lebih berhati-hati untuk berbelanja pakaian baharu, koleksi yang ditawarkan pada 2020 sukar untuk dijual," katanya.

GAYA yang mudah dipelbagaikan dengan situasi dan acara.
GAYA yang mudah dipelbagaikan dengan situasi dan acara.

REKAAN tradisional yang diberi nafas lebih moden.
REKAAN tradisional yang diberi nafas lebih moden.

GAYA santai dan bersifat jalanan menjadi idea rekaan kepada Anis.
GAYA santai dan bersifat jalanan menjadi idea rekaan kepada Anis.

Bagaimanapun, bagi Anis dia tidak cepat mengalah dengan keadaan itu dan sentiasa membina jaringan perniagaan dengan rakan-rakan usahawan fesyen yang lain bagi membantu antara satu sama lain.

"Apabila berlaku pandemik ini, kami sebagai pemain industri fesyen tidak kira baru atau sudah berpengalaman sentiasa membantu antara satu sama lain dari segi perkongsian idea.

"Jadi apabila bekerjasama kita dapat membantu menaikkan semula prestasi perniagaan masing-masing yang terkesan akibat Covid-19," katanya.

Anis berkata, pada musim perayaan pada tahun ini, dia seperti tidak menyangka pasaran kembali pulih apabila helaian pakaian daripada koleksinya untuk Aidilfitri terjual dalam minggu pertama puasa.

"Walaupun keadaan nampak sudah pulih tetapi sebagai pereka fesyen dan usahawan, kita tidak boleh cepat merasa puas kerana perlu bersedia jika berlaku kemungkinan yang tidak dapat dijangka pada masa depan," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 7:00 AM