SUAMI tidak pernah menghalang Norsheila bercuti bersama teman-temannya.
SUAMI tidak pernah menghalang Norsheila bercuti bersama teman-temannya.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


RAMAI menyangkakan kehidupan bekas pramugari penerbangan khas haji dan umrah, Norsheila Ramli, 36, selepas mengahwini pasangannya berdarah Arab Palestin, Abdullah Youseff Al Jakhlab, 46, akan terkongkong.

Namun, kata wanita itu yang kini menetap di Jeddah, suaminya tidak pernah menghalang apatah lagi mengongkong setiap apa yang dia ingin lakukan termasuk pergi bercuti bersama rakan.

"Persepsi ramai orang mengenai lelaki Arab ialah gemar mengongkong isteri. Bukan orang luar sahaja berfikiran sebegitu malah dalam kalangan saudara sendiri juga bimbang saya akan dikurung suami.

"Sedangkan dalam kalangan lelaki Arab ini, wanitanya dilayan seperti 'permaisuri' dengan memberikan perlindungan dan dipelihara maruahnya. Dalam kes saya yang mengahwini suami pula, dia memberi kebebasan untuk melakukan perkara yang saya suka termasuk pergi bercuti.

"Pada saya tidak semua lelaki Arab bersikap posesif terhadap pasangannya. Ia bergantung kepada bagaimana cara dia dibesarkan.Tambahan pula dalam keluarga suami, adik-beradiknya semua sudah berhijrah ke luar negara seperti Jerman dan Kanada. Itu menunjukkan mereka ini sudah berubah kepada gaya hidup yang lebih moden selain bersikap terbuka," katanya.

Menyingkap sejarah perkenalan dia dengan suami, kata Norsheila, suaminya itu adalah pekerja syarikat pelancongan.

"Saya mengenali suami ketika bekerja sebagai pramugari penerbangan khas untuk haji dan umrah. Suami saya salah seorang pekerja syarikat pelancongan yang menjaga urusan penginapan kru kabin penerbangan di Makkah termasuklah dari Malaysia.

"Perkenalan kami singkat sahaja. Ketika ibu dan ayah datang menunaikan umrah, saya temukan mereka dengan suami dan keluarganya. Selepas itu terus sahaja kami 'diikatkan' sebagai pasangan.

NORSHIELA bersama suami ketika di Malaysia.
NORSHIELA bersama suami ketika di Malaysia.

"Tidak seperti dalam perkahwinan Melayu yang banyak aturan, di Jeddah mudah. Kami kahwin di Mahkamah Perkahwinan dengan kehadiran tiga saksi dan tiada langsung perempuan. Apabila balik ke rumah barulah ada sambutan keluarga dan sebagainya.

"Meskipun perkahwinannya ringkas, tidak pula keperluan isteri terabai. Dalam masyarakat Arab, satu kewajipan lelaki yang ingin mengahwini pasangannya untuk menyediakan semua peralatan di rumah sebelum isteri masuk," katanya.

Kata Norsheila, kehidupan bersama suami yang berbeza budaya itu sangat harmoni apatah lagi mendapat layanan baik daripada keluarga mentua dan adik-beradiknya.

"Alhamdulillah keluarga mentua melayan sangat baik dan untuk dekat dengan mereka, saya pelajari bahasa Arab Palestin kerana arwah bapa mentua, Omar Youseff berasal dari Yafah, Palestin tetapi kini menjadi milik Israel selepas perang Nakhbah pada tahun 1948.

"Ibu mentua pula orang Saudi meskipun ada susur galur darah Palestin kerana lahir di Saudi. Mereka tidak boleh berbahasa Inggeris seperti adik-beradik suami yang lain kerana banyak berhijrah ke luar. Mahu tidak mahu kena kuasai dialek Arab Palestin supaya dapat berkomunikasi dengan ibu dan arwah bapa mentua," katanya.

Cara hidup masyarakat Arab juga sedikit berbeza dengan budaya rakyat Malaysia terutama dalam meraikan Ramadan.

"Sama seperti Malaysia, bulan ini dilihat sebagai fokus untuk beribadah iaitu berpuasa dan juga bertarawih selain mula menghias rumah.

KETIKA menjadi pramugari bagi penerbangan haji dan umrah.
KETIKA menjadi pramugari bagi penerbangan haji dan umrah.

"Kalau di Malaysia hendak dekat raya baru sibuk dengan kerja menghias atau dekorasi raya, di tanah Arab pula kemeriahan lebih terasa ketika mendekati Ramadan. Orang di Jeddah akan sibuk membeli-belah pelbagai hiasan untuk dekorasi rumah.

"Saya sendiri turut menghias rumah dengan lampu hiasan selain dekorasi tambahan pada ruang utama bagi meraikan kemeriahan Ramadan. Selain itu budaya menarik dalam Ramadan juga bagi orang di sini ialah mereka akan berbuka di rumah saudara mara.

"Kalau bukan pandemik, setiap hari akan ada giliran bertandang ke rumah adik-beradik atau ibu bapa mahupun ke peringkat datuk nenek. Cuma tahun ini sukar kerana dihadkan berkumpul hanya 20 orang dalam satu perjumpaan," katanya.

Kata Norsheila mengenai penerimaan sajian dan masakan Malaysia, suaminya adalah peminat sajian Melayu terutama gulai kurma ayam, sementara keluarga suaminya pula meminati sajian sate dan pau kaya.

"Saya juga belajar sajian kegemaran keluarga mentua seperti maqlubah selain waraq aynab iaitu nasi dibalut dalam daun anggur. Bagi hidangan bulan puasa, biasanya kena ada sup dan samosa," katanya.

Meskipun sudah berhenti daripada kerjaya sebagai pramugari lebih 10 tahun, kata Norsheila, dia tidak 'goyang kaki' sebaliknya menceburi bidang kreatif sebagai pelukis ilustrasi dan pereka grafik sambilan.

"Untuk kerjaya sekarang pula, saya menawarkan perkhidmatan sebagai pelukis ilustrasi dan pereka grafik. Klien saya pelbagai golongan daripada fesyen hinggalah kepada penerbitan buku.

"Saya sendiri pernah hasilkan buku dengan tiga buku kanak-kanak yang menggunakan sentuhan ilustrasi sepenuhnya daripada saya. Malah saya turut sertai Picture's Book Association Malaysia bagi mengembangkan kerjaya," katanya yang turut menganjurkan kelas seni kepada anak-anak warga Malaysia yang menetap di Makkah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 7:00 AM