BAU mulut dapat dihindari sekiranya kebersihan mulut dijaga.
BAU mulut dapat dihindari sekiranya kebersihan mulut dijaga.
Hafiz Ithnin


SABAN tahun apabila menjelang Ramadan, isu mulut berbau pasti berbangkit dalam kalangan kita. Apatah lagi ketika ini, kita perlu 'merasai' bau mulut sendiri kerana memakai pelitup mulut dan hidung!

Pakar Pergigian Periodontik Universiti Malaya, Dr Zamri Hussin menjelaskan, terdapat dua jenis situasi mulut berbau iaitu sama ada sementara atau berpanjangan. Bagi jenis sementara, mulut berbau disebabkan pelbagai faktor.

Salah satunya menikmati makanan berbau kuat seperti bawang putih dan durian atau nafas di awal pagi selepas bangun tidur. Selalunya, masalah bau seperti ini akan hilang selepas memberus gigi dengan cara yang betul.

Katanya, jenis kedua iaitu berpanjangan berkemungkinan disebabkan masalah kesihatan yang lain apabila bau mulut boleh menjadi simptom berlakunya penyakit yang dihadapi seseorang.

"Kebanyakan kes mulut berbau, hampir 80 hingga 90 peratus, berpunca dari rongga mulut. Bau busuk terhasil daripada pelbagai gas yang terbebas hasil tindakan kuman bakteria di dalam mulut.

"Ia boleh dikaitkan dengan selaput kuning atau putih di permukaan atas lidah. Semakin tebal selaput ini, semakin banyak kandungan bakteria dan sel mati dan semakin kuat bau busuk!" katanya.

Katanya, mulut yang tidak bersih dan tidak sihat yang dipenuhi dengan tahi gigi, gigi berlubang dan jangkitan kuman juga menjadi faktor mulut berbau.

"Selain itu, gusi yang tidak sihat iaitu mulut tidak bersih, gusi mudah berdarah, gusi menyusut dan gigi mula bergoyang juga antara penyebabnya. Mulut kering di mana jumlah air liur berkurang turut boleh menyumbang masalah berkenaan," katanya.

PASTIKAN air sentiasa cukup bagi memastikan mulut tidak berbau walaupun ketika berpuasa.
PASTIKAN air sentiasa cukup bagi memastikan mulut tidak berbau walaupun ketika berpuasa.

Pakar itu berkata, 10 hingga 20 peratus kes mulut berbau bukan berpunca daripada rongga mulut dan mungkin antara petanda masalah kesihatan lain yang serius seperti jangkitan salur pernafasan, pencernaan, masalah buah pinggang dan hati.

Katanya, mulut berbau boleh dirawat apabila seseorang itu berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan yang menyeluruh.

"Terdapat beberapa tip yang boleh dipraktikkan mereka yang mengalami masalah mulut berbau antaranya berus gigi dengan cara yang betul.

"Paling penting ialah berus gigi sebelum tidur dan 30 minit selepas makan sahur untuk mengurangkan bakteria di dalam mulut. Pastikan berus gigi dalam keadaan yang baik dan gunakan ubat gigi berfluorida," katanya.

BERJUMPA dengan doktor bagi mendapatkan nasihat dan rawatan adalah langkah terbaik.
BERJUMPA dengan doktor bagi mendapatkan nasihat dan rawatan adalah langkah terbaik.

Dr Zamri berkata, sebenarnya bagi mengelakkan bau mulut berlaku, memberus gigi sahaja tidak mencukupi. Mereka yang mengalami masalah itu boleh menggunakan juga flos dan berus 'interdental' untuk membersihkan plak tahi gigi dan sisa makanan yang tersembunyi di celah-celah gigi dan gusi. Nafas akan lebih segar apabila mulut lebih bersih.

"Anda juga disarankan untuk menggunakan berus dan ubat gigi atau pembersih lidah, untuk memberus lidah terutamanya di bahagian belakang sekali.

GUNAKAN ubat gigi berfluorida.
GUNAKAN ubat gigi berfluorida.

"Caranya, jelirkan lidah keluar dan berus lidah dari belakang ke hadapan dengan teliti beberapa kali. Untuk lebih selesa, sentiasa bernafas dari hidung ketika memberus lidah," katanya.

Nasihatnya lagi, berkumur selama 30 saat dengan ubat pengkumur selepas memberus gigi sebelum tidur dan selepas makan sahur juga boleh membantu mengelakkan bau mulut.

"Pengkumur mulut berfluorida dengan bahan aktif antibakteria dan tanpa alkohol adalah digalakkan kerana ia boleh mengawal plak gigi, mencegah gigi berlubang dan menyegarkan nafas.

"Di bulan puasa, minum air kosong secukupnya ketika sahur, berbuka dan sebelum tidur supaya badan anda sentiasa terhidrat serta mulut tidak kering.

GUNAKAN flos pemegang untuk membersihkan celah gigi.
GUNAKAN flos pemegang untuk membersihkan celah gigi.

"Amalkan gaya hidup sihat. Ambil kesempatan bulan yang mulia ini untuk tidak merokok atau berhenti merokok. Merokok bukan sahaja menyebabkan bau mulut, malah menambahkan risiko untuk penyakit gusi dan pelbagai masalah kesihatan seperti kanser serta penyakit jantung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 7:01 AM