AURA positif boleh memberi kebaikan kepada orang lain.
AURA positif boleh memberi kebaikan kepada orang lain.
Hafiz Ithnin


DALAM kehidupan seharian, kita akan berdepan dengan individu yang sentiasa bersikap negatif dan apa sahaja yang berlaku di hadapannya pasti tidak ada jangkaan yang baik 'dikeluarkan.'

Kadangkala kita bosan dengan individu yang bersikap sedemikian kerana secara tidak langsung ia boleh 'menjangkiti' orang lain.

Justeru, Ramadan ini antara langkah terbaik untuk kita bersikap positif dan meninggalkan pemikiran negatif.

Mengulas mengenai perkara itu, Ahli Berdaftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, Profesor Barbara Fredrickson dan kumpulan penyelidik beliau membawa kejutan apabila mereka berkongsi data saintifik yang membuktikan berfikir cara positif dan mengekalkan keterbukaan hati (reda) dengan hal buruk dan negatif, dapat menjadikan seseorang lebih bersedia untuk menghadapi hari esok yang tidak tentu.

PEMIKIRAN positif dituntut dalam agama.
PEMIKIRAN positif dituntut dalam agama.

Jelasnya, perasaan yang positif ternyata membangkitkan daya kebingkasan (resilience) dalam diri seseorang. Minda yang positif bukan sekadar membuatkan kita tenang, tetapi juga membantu menerbitkan rasa reda dengan segala ketentuan dalam hidup, baik yang elok dan terutama yang buruk.

MENGINSAFI diri dan bertekad untuk menjadi insan positif penting bagi menjadi individu yang mudah didekati.
MENGINSAFI diri dan bertekad untuk menjadi insan positif penting bagi menjadi individu yang mudah didekati.

"Maka, jika berpuasa bererti menahan diri daripada lapar dan dahaga serta berhenti melakukan perkara yang membatalkan ibadah itu, elok juga kalau kita berlatih untuk mempunyai minda yang positif.

"Minda yang positif memang penting, tetapi lebih utama adalah kemampuan untuk berusaha dengan cara positif dan produktif. Marah, merajuk dan sedih misalnya, bukan emosi yang membawa kebaikan malah sering membawa kemudaratan," katanya.

DR Airil Haimi
DR Airil Haimi

Dr Airil Haimi berkata, setiap orang tidak kira wanita atau lelaki perlu melatih diri untuk berfikir secara positif dan menerima takdir yang tidak kita sangka. Dalam konteks ini, data sains kognitif bergerak seiring dengan ajaran agama.

"Misalnya, Islam tidak membenarkan kita bersangka buruk dengan ketentuan Ilahi. Malah, menyimpan harapan untuk hari esok lebih baik menjadi suatu pesan yang amat penting buat kita umat Islam," katanya.

Katanya, fikiran yang negatif sebenarnya boleh menjadi seperti lurah atau lembah begitu dalam. Kita akan terjerumus dan tidak dapat memanjat keluar dengan mudah, jika kita terlalu cenderung memikirkan hal buruk, tidak elok lagi negatif.

"Anda tentu kenal insan yang terlampau negatif dalam hidup anda. Apakah perasaan anda apabila dekat dengan orang seperti ini?

POSITIF dapat menjadikan emosi diri lebih baik.
POSITIF dapat menjadikan emosi diri lebih baik.

"Letih bukan melayan kerenah mereka? Keletihan ini akan mematahkan pula semangat anda apabila mereka seperti sudah tiada perkara yang baik untuk diperkatakan. Hampir semuanya negatif belaka!," tegasnya.

Katanya, manusia seperti ini patut dielakkan dan dijauhi kerana mereka sudah terlalu lama berada di tempat paling gelap serta negatif itu. Malah, kita perlu berhati-hati kerana rasa negatif sebenarnya amat mudah merebak kepada orang lain.

NEGATIF mampu mengeluarkan perasaan marah.
NEGATIF mampu mengeluarkan perasaan marah.

"Orang seperti ini gagal menyimpan harapan di hati, akhirnya mereka hanya melihat segala kemungkinan yang buruk lagi teruk.

"Kalau pun perkara yang positif berlaku, mereka percaya bahawa itu semua kerana nasib sahaja," katanya.

Katanya, dalam bulan puasa yang mulia ini, usaha konkrit perlu diambil supaya kita tidak menjadi terlalu negatif seperti kelompok insan berkenaan. Menahan diri daripada memikirkan hal yang negatif pada setiap masa perlu diusahakan.

"Kemudian, belajar pula memikirkan hal positif yang sudah, sedang dan mungkin akan berlaku dalam hidup anda.

"Simpan harapan untuk hari esok dan berusaha sebaik mungkin. Kemungkinan yang positif memerlukan usaha, bukan nasib sahaja," katanya.

Jelasnya, untuk umat Islam, diwajibkan bersabar dan mendirikan solat sebagai usaha positif untuk mengeluarkan diri daripada kesempitan serta kesusahan.

"Kata kunci di sini adalah 'usaha.' Selain minda positif hanya dapat wujud dalam tubuh yang rajin berusaha dan bekerja," tambahnya.

Katanya, antara sebab utama segelintir orang mempunyai pemikiran dan pembawaan diri yang negatif adalah kerana mereka mungkin selalu gagal apabila mereka diuji. Akhirnya, rasa negatif itu bermaharajalela dalam diri.

"Bangkit apabila anda terjatuh, biar betapa sakit pun anda rasa. Bingkas dan cepat bangun jika terjatuh atau dijatuhkan adalah ciri positif yang terpuji.

"Anda tidak akan berfikir terlalu lama berkenaan untung nasib atau marah kepada takdir, tetapi anda menerima sesuatu ujian yang berlaku dan anda bersedia menanganinya," katanya.

Katanya, dalam keadaan ini, berfikir perlu dikemudiankan. Pada tempat pertama dan yang utama adalah kemampuan untuk bertindak dan berusaha.

"Sambil menjalani ibadah puasa, minda pun perlu dibersihkan daripada 1001 ciri-ciri negatif yang membawa kerosakan dan kerugian serta akhirnya, penyesalan pada kemudian hari.

"Usaha ini tidak mudah, tetapi tidak juga mustahil. Mulakan dengan membiasakan diri memikirkan kesudahan baik untuk segala macam usaha anda. Latih tubi diri untuk melihat segala kemungkinan, tetapi jangan cenderung memikirkan yang buruk dan teruk sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 7:00 AM