MASALAH nafkah boleh beri kesan kepada bekas isteri dan anak.
MASALAH nafkah boleh beri kesan kepada bekas isteri dan anak.
Muhamaad Razis Ismail

Tuntutan demi tuntutan berkaitan nafkah isteri dan anak yang difailkan di mahkamah syariah sudah cukup menjelaskan senario yang melanda isteri, bekas isteri atau ibu di negara ini.

Apa yang menyedihkan, walaupun perintah berjaya diperoleh namun kelompok ini masih bergelut untuk mencukupkan perbelanjaan nafkah terutama nafkah anak.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor, Mohammad Radzi Sadiman berkata, hal ini berlaku apabila pengingkar nafkah yang terdiri daripada suami, bekas suami atau bapa enggan mematuhi perintah mahkamah syariah.

PENYELESAIAN kes tunggakan nafkah oleh BSK.
PENYELESAIAN kes tunggakan nafkah oleh BSK.

Katanya, sebahagian daripada mereka beranggapan masih berpeluang bebas tanpa sebarang tindakan yang boleh diambil.

"Tidak pasti sama ada pengingkar nafkah sedar atau tidak, perlakuannya mempunyai kesan besar di sisi undang-undang.

"Yang nyata, kerugian pastilah berlaku di pihak yang seharusnya menerima faedah ke atas perintah yang dikeluarkan (ibu atau anak) yang mana hak mereka dikompromikan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, ruang untuk memperolehi hak nafkah bagi mereka yang teraniaya diperuntukkan di dalam undang-undang.

"Pengingkar nafkah boleh berdepan dengan tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah secara agresif apabila mereka bertindak untuk tidak mematuhi perintah mahkamah yang dikeluarkan berkaitan dengan nafkah," katanya.

MOHAMMAD Radzi
MOHAMMAD Radzi

Secara asasnya, perbuatan ingkar terhadap mana-mana perintah mahkamah, termasuk soal nafkah terjumlah kepada perbuatan menghina mahkamah yang apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman pengkomitan/penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000.

Beliau berkata, sekiranya mahkamah mengeluarkan perintah nafkah isteri dan anak, suami atau yang bertindak mengabaikannya, tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan.

"Saman penghutang, pemenjaraan, tahanan pendapatan, penyitaan harta benda antara contoh tindakan yang boleh dikenakan.

"Hal yang demikian ini bagi menjaga kemaslahatan isteri dan anak yang menjadi mangsa kezaliman pengingkar nafkah," katanya.

Mohammad Radzi berkata, sikap tidak mengendahkan perintah nafkah sehingga membentuk sikap selesa terhadap ketidakpatuhan perintah adalah suatu kelaziman yang tempang.

"Proses mengakses keadilan di mahkamah syariah sudah tidak sama seperti pada era 90-an kerana kini banyak usaha diambil bagi memperkemas sistem pentadbiran keadilan supaya wibawa Institusi Kehakiman Syariah dapat dipertingkatkan.

"Sebagai contoh, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di mahkamah syariah seluruh Malaysia diwujudkan untuk menangani isu berkaitan dengan nafkah sama ada membabitkan isteri, anak, idah serta mutaah," katanya.

Justeru, sebagai bahagian yang tidak mengenakan sebarang caj perkhidmatan terhadap pelanggan, BSK seharusnya menjadi pilihan utama pelanggan terpalit dengan permasalahan seumpamanya, terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan.

"Tidak kira di manapun pihak yang dizalimi berada, perkhidmatan BSK tersedia di mahkamah syariah di setiap negeri" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:16 AM