MENDAKI ke laluan glacier di Iceland pada 2019.
MENDAKI ke laluan glacier di Iceland pada 2019.
Hafiz Ithnin


PERTEMUAN empat mata dengan wanita berusia 40 tahun ini sedikit pun tidak menunjukkan sisinya sebagai pengembara lasak.

Mana tidaknya, secara zahir apabila di hadapan khalayak, pemilik nama Yaya Mohammad begitu 'gah' sebagai seorang pemimpin kepada 136 kakitangan yang berkhidmat di bawah tujuh syarikat miliknya.

Bagi Yaya, terdapat sesetengah usahawan melangkah masuk ke dalam dunia perniagaan kerana ingin mendapatkan kejayaan dari segi kemewahan dan kestabilan dalam kehidupan.

Namun, bagi anak kelahiran Johor ini, dia memilih terjun ke dunia perniagaan kerana cemburu kepada insan yang mampu mengembara ke seluruh pelusuk dunia tanpa perlu memikirkan soal batas kewangan dan masa.

"Sebelum menjalankannya perniagaan, saya bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat telekomunikasi. Pendapatan sederhana sebagai orang makan gaji dan paling penting ialah kita tidak boleh mengambil cuti lama untuk mengembara.

"Pada 2008, saya nekad untuk berhenti kerja dengan bermodalkan hanya sekitar RM300 menjadi ejen menjual produk orang lain sehingga mampu mempunyai produk dan kilang sendiri," katanya.

MENGEMBARA ke Mongolia dan melihat keraian Ice Festival di Kovsgol Lake pada 2018.
MENGEMBARA ke Mongolia dan melihat keraian Ice Festival di Kovsgol Lake pada 2018.

Meraih pelbagai anugerah dalam dunia perniagaan antaranya penerima anugerah 10 syarikat terbaik Asia, Yaya terus melangkah ke hadapan untuk mengejar cita-citanya.

Katanya, bermula 2008 sehingga 2014 dia hanya memfokuskan kepada perniagaan kerana baginya asas pendapatan perlu berada di tahap kukuh sebelum mencapai impian menjadi pengembara bebas.

"Pada 2015, baharu saya aktif menjadi pengembara dan negara pertama saya berkelana adalah Thailand. Ketika itu masih menggunakan khidmat pemandu pelancong.

YAYA melihat mengembara dapat memberi kesan positif ke dalam dirinya.
YAYA melihat mengembara dapat memberi kesan positif ke dalam dirinya.

"Kemudian, saya mula memberanikan diri untuk mengembara seorang diri atau bersama rakan-rakan tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong iaitu ke Iceland," katanya yang kini sudah mengembara ke 55 buah negara.

Bagi Yaya mengembara secara solo atau bersama rakan-rakan tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong sebenarnya memberikan kepuasan yang tersendiri.

Apatah lagi dapat melangkah kaki ke negara yang kurang membangun amat memberi kesan kepada dirinya sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan ketua di dalam sebuah syarikat.

"Sebelum ini, saya banyak mengembara dengan mereka yang gemar ke destinasi bandar-bandar mewah dunia dan akhirnya saya merasakan ia sesuatu yang membosankan.

"Saya kemudian bertemu dengan kumpulan pengembara di Malaysia dan mereka ini mempunyai status di dalam masyarakat tetapi sama seperti saya sudah bosan dengan destinasi mewah seperti itu. Jadi, saya mula menerokai destinasi negara kurang membangun," katanya.

Jelasnya, ketika mengembara dia juga memilih untuk menjadi seperti pengembara lain yang lebih ringkas dan tidak lagi mahu keadaan terlalu selesa kerana ia lebih puas dan memberi kesan positif kepada diri sendiri.

Yaya berkata, berkelana di negara kurang membangun juga sebenarnya lebih indah kerana ia memberi pelbagai 1,001 pengalaman dan mampu mampu kesan kepada kehidupan hariannya.

MENGHAYATI kehiduan masyarakat setempat menjadi suatu kewajipan untuk Yaya ketika berkelana.
MENGHAYATI kehiduan masyarakat setempat menjadi suatu kewajipan untuk Yaya ketika berkelana.

Katanya, sebagai contoh dia mengembara ke Mongolia sekitar 2018 dan dia bersama rakan-rakan pengembara menuju ke kawasan yang kurang mendapat kunjungan pelancong asing.

"Ketika berada di Utara Mongolia, kehidupan masyarakat setempat amat ringkas dan mereka tidak mempunyai kemudahan untuk pelancong seperti kami perlu tinggal di dalam khemah yang hanya menjadi tempat untuk berehat sahaja. Tiada tandas!," katanya.

Katanya, pengalaman yang diperoleh daripada mengembara menjadikan dia lebih terbuka, berani dan tidak mudah menghukum apabila berlaku sesuatu perkara.

"Ketika mengembara ke sesuatu tempat kita akan berdepan dengan pelbagai perkara sukar diramal dan situasi ini membuatkan saya lebih kuat sebagai usahawan yang sememangnya mempunyai cabaran tersendiri.

"Lebih terbuka dan tidak mudah menghukum itu juga penting kerana saya mempunyai kakitangan yang agak ramai dan ia memerlukan saya menjadi seorang ketua yang tahu mengendalikan pelbagai sikap manusia," katanya.

Katanya, mengembara juga menjadikan dirinya lebih memahami keadaan masyarakat dunia terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Ketika mengembara saya gemar melihat keadaan sesuatu masyarakat dan paling menarik apabila mereka masih boleh hidup walaupun di mata kita ia adalah kekurangan.

"Namun, itulah yang dikatakan apabila kita mengembara, ia dapat membuka minda untuk tidak mudah menilai kehidupan orang lain yang sebenarnya lebih baik dan indah walaupun tidak di mata kita yang memandang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 7:01 AM