Nurul Husna Mahmud


DALAM senarai pelukis ilustrasi, kebanyakan didominasi lelaki berbanding wanita.

Mengenai kerjaya pelukis ilustrasi pula, bukan sekadar menghasilkan karya yang menarik malah perlu tampilkan realistik supaya setiap karya tidak dikatakan 'kaku.'

Justeru, ramai melihat keperluan bakat pelukis ilustrasi tertumpu kepada bidang grafik terutama dalam pembuatan animasi, sedangkan pelukis ilustrasi boleh menyumbang dalam pelbagai keperluan industri.

Kata Anna Siihah Abdullah, 29, sepanjang pembabitannya selama enam tahun sebagai pelukis ilustrasi sepenuh masa, kemahiran itu ditagih dalam pelbagai bidang baik pembangunan produk mahupun penghasilan poster.

"Saya memilih untuk bekerja sendiri dan menghasilkan ilustrasi untuk klien dari pelbagai golongan. Kebanyakan mereka ini adalah usahawan dan ada juga saya hasilkan untuk agensi pengiklanan.

"Saya selesa bekerja di rumah dan tidak terikat dengan mana-mana syarikat kerana saya lebih bebas untuk berkarya serta menghasilkan lebih banyak ilustrasi menarik untuk lebih ramai orang," katanya.

Melihat setiap karyanya yang pernah dihasilkan dan dikongsi menerusi platform media sosial serta Instagram, hampir semuanya menampilkan figura dan potret wanita.

'Stroke' dan kemasan cukup teliti serta perincian termasuk 'mood' terhadap setiap karya membuatkan Anna Siihah memiliki lebih ribuan pengikut termasuk dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Britain dan Indonesia.

"Saya gemar menggunakan platform media sosial untuk kongsikan karya kerana ia lebih meluas dan dapat bantu saya dapat komen langsung daripada peminat seni.

"Ada juga mereka ini juga dalam bidang sama, pada saya penting untuk bina nama dahulu dengan perkenalkan karya sebelum boleh pergi jauh dalam bidang ini.

KARYA Anna Siihah mengangkat keanggunan wanita.
KARYA Anna Siihah mengangkat keanggunan wanita.

"Kebanyakan klien kenal saya menerusi platform media sosial dan mereka ini menghargai bakat selain sukakan imej saya bawa pada setiap karakter iaitu mengenai keanggunan wanita," katanya.

Menyentuh berkenaan kurangnya kemunculan pelukis ilustrasi wanita pula, Anna Siihah berpendapat masyarakat umum hanya menumpu kepada pembabitan pelukis ilustrasi dalam bidang komik dan animasi semata-mata.

"Memang dahulu saya jatuh cinta dengan bidang ini disebabkan minat terhadap kartun dan animasi. Saya banyak berangan serta melukis. Malah boleh dikatakan betapanya saya suka melukis sehingga habis dinding rumah diconteng.

"Tetapi, ahli keluarga tidak pula menghalang malah memberi sokongan sehingga saya menyambung pengajian peringkat Ijazah Muda Rekaan Grafik dengan major dalam bidang Ilustrasi.

"Masa peringkat pengajian universiti itu saya terbuka minda dan menyedari ilustrasi bukan hanya kartun dan komik, sebaliknya beberapa bidang atau industri memerlukan pelukis ilustrasi,

" katanya.

ANNA SIIHAH mendapat sokongan penuh suami, Mohd Muaz Maula Mohd Azmi.
ANNA SIIHAH mendapat sokongan penuh suami, Mohd Muaz Maula Mohd Azmi.

Tambah Anna Siihah, bagi pelukis ilustrasi wanita kebanyakan mereka cemerlang dalam diceburi dan mempunyai peranan penting kepada syarikat diceburi.

"Pelukis ilustrasi tidak kurang pentingnya dalam pembinaan imej produk atau perniagaan. Sebagai contoh jenama besar atau rekaan pakaian menggunakan khidmat pelukis ilustrasi.

"Kebanyakan jenama terkenal termasuk produk kecantikan, orang di belakang rekaan logo, poster atau jenama mereka adalah pelukis ilustrasi dan ramainya adalah wanita," katanya.

Namun kata Anna Siihah, selain memfokuskan khidmatnya dalam mereka produk atau imej syarikat, dia lebih tertarik untuk mengukuhkan dahulu jenama dan mempunyai agensi kreatif sendiri pada masa depan.

"Saya kalau boleh mahu menjual karya dan bina reputasi sendiri dalam kerja kreatif. Kalau sudah ada jenama sendiri dan orang kenal karya saya sebagai pelukis ilustrasi, jadi saya ada 'kuasa' atas karya serta lebih dihargai.

KARYA dikongsi Anna Siihah.
KARYA dikongsi Anna Siihah.

"Bukan apa kadangkala cabaran bagi saya sebagai pelukis ilustrasi, ada masanya 'hilang suara' untuk beri pendapat. Kadangkala tidak puas hati dengan karya dihasilkan kerana terikat.

"Tetapi, kalau ada nama dan orang cari saya sebab sukakan karya itu satu kepuasan pada saya sendiri selaku pelukis ilustrasi," katanya.

Tambah Anna Siihah, dia mahu karyanya pergi jauh sehingga diterima pihak luar dan membawa identiti negara yang mempunyai kekuatan tersendiri.

"Nasihat saya pada generasi baharu sebaiknya mereka bawa karya ke satu tahap lebih tinggi iaitu dengan ciri-ciri lebih autentik selain menampilkan ciri identiti dan tidak terikut dengan ilustrasi dari negara luar," katanya.

Ditanya mengenai aktiviti masa lapang, kata Anna Siihah, dia akan bermain dengan kucing peliharaan sebagai terapi apabila stres bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 7:01 AM