MENAIKI belon panas di Cappadocia, Turki.
MENAIKI belon panas di Cappadocia, Turki.
Hafiz Ithnin


"SAYA juga ingin dilayan seperti orang biasa. Perlu diingatkan bahawa layanan 'istimewa' kepada orang kurangáupaya (OKU) bukan bermaksud mengangkat kelas yang lebih tinggi tetapi memberi hak sama seperti orang yang normal," jelas wanita OKU yang sudah mengembara 17 negara.

Hafiza Abdul Rahim dilahirkan normal tetapi ketikaákecil mengalami demam dan sudah takdirnya dia tidak boleh mendengar dan bercakap.

Namun, bagi anak kelahiran Kedah ini, ia bukan menjadi penghalang kepada dirinya untuk mengembara ke negara asing kerana tidak dilihat normal yang mungkin memberi cabaran kepada golongan sepertinya untuk berkomunikasi.

Baginya, status OKU bukan menjadi alasan untuk menjadi individu yang lemah dan tidak mampu menikmati keindahan alam semula jadi yang dicipta Tuhan untuk dirasai dan mensyukuri hambanya.

Daripada 17 buah negara itu, sudah enam kali Hafiza bergerak secara solo dan sebagai pengembara pastinya ada asam dan garam berkelana di negara asing.

Antara negara yang pernah dikunjunginya ialah Turki, Kemboja, Saudi, Singapura, Thailand, Indonesia, Maldive, Jepun dan India. Bagi mengembara secara solo, Hafiza pernah ke Singapura, Bali (Indonesia), Perth (Australia), Acheh (Indonesia) dan Jeju (Korea).

Wanita ini dikenali penulis menerusi Instagram dan kelihatan gambar-gambar yang diambilnya menarik. Jika tidak membaca biodata di atasnya ternyata tidak mengetahui Hafiza adalah seorang OKU pendengaran dan percakapan.

Hafiza berkata, minatnya di dalam dunia pengembaraan bermula apabila arwah bapanya, Abdul Rahim Hashim yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangkok, Thailand.

"Ketika itu, saya berusia 16 tahun dan rasa seronok dapat menaiki pesawat melawat pelbagai lokasi di Thailand antaranya Chiang Mai, Phuket dan Ayutthaya.

MENIKMATI keindahan di Maldives.
MENIKMATI keindahan di Maldives.

"Kemudian, ibu saudara saya juga seorang yang gemar mengembara dan ia juga menjadi inspirasi untuk saya untuk menjadi sepertinya berkelana di negara orang, melihat keindahan dan merasai sendiri pengalaman di luar negara," katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik itu juga berkata, ketika mengembara komunikasi sudah pasti menjadi cabaran untuknya.

Malah Hafiza turut menggunakan aplikasi yang membantunya menterjemahkan bahasa ibunda kepada bahasa asing ketika berada di luar negara.

"Telefon pintar dan kertas bersama pen adalah 'senjata' paling penting bagi saya untuk bergerak ke mana-mana kerana ia boleh memberitahu kepada orang lain jika saya ingin mendapatkan maklumat mengenai sesuatu lokasi atau tersesat.

"Malah, kebiasaannya orang asing amat membantu saya jika perlukan pertolongan untuk mencari destinasi tertentu ketika mengembara," katanya.

Hafizah berkata, sebelum mengembara ke sesuatu tempat pastinya dia membuat pembacaan mengenainya terutama membabitkan keselamatan.

"Jika saya mengetahui kawasan itu terdapat kes jenayah, mengembara secara berkumpulan menjadi pilihan dan jika ia dilihat selamat, saya akan pergi sendiri," katanya.

BERSAMA rakan-rakan istimewa, bersemangat membawa bendera Malaysia di Bromo, Surabaya.
BERSAMA rakan-rakan istimewa, bersemangat membawa bendera Malaysia di Bromo, Surabaya.

Ditanya mengenai kebimbangan keluarganya untuk Hafiza mengembara seorang diri, katanya, perkara itu sudah pasti terutama ibunya, Noraini Ali.

"Ketika pertama kali saya maklumkan untuk mengembara seorang diri ke Singapura, ibu tidak begitu risau tetapi ketika ke Jeju di Korea dan Fukuoka di Jepun, ibu agak risau sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku.

"Begitu kerap kami berbalas pesanan ringkas untuk maklumkan keadaan saya untuk ke sesuatu destinasi kerana dia risau saya sesat," katanya.

Hafiza berkata, dia juga pernah mengembara bersama rakan-rakan OKU di Malaysia untuk ke luar negara dan ada kalanya mereka berjumpa dengan pengembara dari negara asing ketika berkelana.

"Menarik jika berjumpa dengan pengembara OKU pendengaran dan percakapan dari negara asing kerana kita dapat mengetahui cara bahasa isyarat mereka yang agak berbeza," katanya.

Katanya lagi, sebagai pengembara dia akan membawa kad OKU bersama. Bukan ingin dilayan istimewa tetapi mahu mendapatkan hak yang sama seperti orang lain.

"Kadang-kala kita tanya mengenai diskaun untuk yuran masuk ke sesuatu tempat bukan kerana status itu tetapi mereka tidak dapat memenuhi akses untuk orang seperti kami.

BERGAMBAR bersama rakan-rakan pekak dari Acheh yang membawa Hafiza melawat tempat sejarah tsunami.
BERGAMBAR bersama rakan-rakan pekak dari Acheh yang membawa Hafiza melawat tempat sejarah tsunami.

"Sebagai contoh untuk orang yang buta mereka tidak dapat membaca dan pemilik premis pula tidak mempunyai sistem audio untuk memberi maklumat. Jadi, ia adalah layan yang tidak adil untuk tetamu OKU dan sudah semestinya ketidakbolehan mereka menyediakan kemudahan itu perlu diberi diskaun kepada golongan seperti kami kerana tidak mendapat akses seperti tetamu lain," katanya.

Bagi Hafiza, aktiviti mengembara yang digemarinya untuk mengisi waktu lapang dapat memberi inspirasi kepada golongan OKU yang lain.

"Kita juga seperti orang lain, boleh berusaha dan berdikari. Jika ada masalah, seperti orang lain juga perlu bijak menyelesaikannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 7:01 AM