BERI peluang anak untuk bermain.
BERI peluang anak untuk bermain.
Muhamaad Razis Ismail


ANAK yang dilahirkan pada Disember dikatakan perkembangannya akan jauh ketinggalan berbanding bulan lain.

Pandangan ini sedikit sebanyak menggusarkan ibu bapa yang bimbang dengan perkembangan anak mereka kelak.

Perunding keibubapaan, Noor Afidah Abu Bakar berkata, ibu bapa perlu sedar bahawa setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza bergantung kepada faktor genetik dan persekitaran.

"Jika dilihat kepada peringkat atau fasa perkembangan, kanak-kanak yang dilahirkan pada hujung tahun ini bukannya lewat atau perlahan perkembangannya tetapi mereka mengikut fasa dan kadar perkembangan yang sepatutnya.

"Cumanya apabila berada dalam satu 'setting' yang sama, mereka yang dilahirkan pada penghujung tahun mungkin kelihatan agak terlewat pada beberapa aspek perkembangan berbanding yang dilahirkan lebih awal," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya perkembangan adalah satu proses yang diukur mengikut peringkat ataupun fasa.

Katanya, sering kali julat usia dijadikan penanda aras kerana ia adalah ukuran yang paling mudah dinilai.

"Secara umumnya, benar, kanak-kanak yang dilahirkan setahun lewat akan berkembang dengan lebih lewat berbanding kanak-kanak lahir setahun awal.

"Contohnya jika dilihat dari segi perkembangan fizikal, kanak-kanak berusia setahun ada sudah boleh berjalan sedangkan bayi yang baharu lahir kita sedia maklum keadaannya.

"Begitu juga kanak-kanak yang berusia setahun sudahpun diberi makanan pejal sedangkan yang baharu sebulan usianya masih lagi menyusu. Kanak-kanak yang berusia setahun sudahpun bertutur beberapa patah perkataan dan bayi hanyalah merengek dan menangis," katanya.

Bagaimanapun katanya, apabila meningkat ke satu usia, kanak-kanak yang dilahirkan hujung tahun ini akan 'catch up.'

"Kedua-duanya mempunyai keupayaan berlari dan bertutur yang hampir sama," katanya.

Tambahnya, dari segi perkembangan kognitif, kajian oleh Dr Sebastian Sugate dari University of Otago mendapati bahawa kanak-kanak mula belajar membaca baik pada usia lima tahun atau pada usia tujuh tahun, mempunyai tahap keupayaan membaca yang sama apabila berusia 11 tahun.

"Oleh itu tidak perlulah dipaksa anak, biar anak berkembang mengikut kadar dan rentaknya yang tersendiri.

"Berikan sokongan kepada anak agar dia terus mendapat stimulasi dan perkembangannya terus terbangun dengan normal," katanya.

MEMBACA dengan anak dapat membantu menguasai proses itu.
MEMBACA dengan anak dapat membantu menguasai proses itu.

Jelasnya, keadaan ini diakui menyebabkan sindrom yang dikenali sebagai 'The Hurried Child' iaitu kanak-kanak yang digesa-gesakan untuk membesar sebelum waktunya.

"Ia berlaku akibat daripada rasa panik ibu bapa, tekanan sistem pendidikan, keinginan untuk mencapai sesuatu standard dalam masyarakat dan juga akibat dari sikap suka membanding-bandingkan yang memberi kesan kepada perkembangan mental dan emosi kanak-kanak," katanya.

"Di negara kita sendiri antara perkara yang sering memberi tekanan dan kegusaran kepada ibu bapa adalah keupayaan anak membaca pada awal usia terutama sebelum memasuki sekolah rendah.

"Keupayaan untuk membaca tidak ada kena mengena dengan usia. Kebolehan membaca ataupun literasi banyak bergantung kepada stimulasi persekitaran, teladan ibu bapa dan amalan membaca yang digalakkan di rumah sehingga menimbulkan minat untuk membaca," katanya.

Sementara itu, bagi pensyarah Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Hazhari Ismail berkata, di Malaysia, kanak-kanak masuk ke alam persekolahan atau mengira umur mengikut tahun.

"Contohnya, kanak-kanak berusia lima tahun yang lahir pada Januari dan Disember tetap akan dimasukkan ke dalam kelas sama kerana kita mengira usia kanak-kanak itu mengikut tahun.

"Cuba kita ubah mengikut bulan, kanak-kanak Januari berusia 49 bulan berbanding kanak-kanak Disember akan berusia 37 bulan.

"Sudah semestinya, kanak-kanak Januari mempunyai perkembangan yang terkehadapan sebab perbezaan bulan ini. Bukanlah kita katakan kanak-kanak yang lahir pada Disember mempunyai perkembangan yang perlahan, tetapi itulah perkembangan mereka yang sebenar," katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya membuat persediaan dengan memantapkan diri dengan ilmu keibubapaan.

"Kita tidak mahu anak sulung menjadi bahan eksperimen ibu bapa baharu. Kita mahukan sebelum mereka memperoleh anak, ibu bapa bersiap sedia untuk mempunyai ilmu mengenai perkembangan dan pendidikan kanak-kanak.

"Selain itu, dunia akan bergerak laju. Sebutlah apa sahaja, Pendidikan abad ke-21, kelestarian dan pembangunan mapan, teknologi dan sebagainya.

"Usah sekali-kali untuk kita meletakkan tahap perkembangan kanak-kanak di peringkat kedua. Ia perlu berada di hadapan dan menjadi yang keutamaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 7:01 AM