SAKIT sendi juga kerap berlaku apabila duduk dalam tempoh lama.
SAKIT sendi juga kerap berlaku apabila duduk dalam tempoh lama.
Hartini Mohd Nawi


PERUBAHAN gaya hidup hari ini memaksa rakyat Malaysia untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu termasuk berada di dalam rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Memandangkan ramai yang mula bekerja dari rumah demi memastikan keselamatan, jadi kepentingan untuk kekal aktif harus diutamakan.

Kesedaran baharu terhadap penjagaan kesihatan badan boleh dilihat dalam kalangan kita yang giat mencari alternatif lain untuk kekal cergas di rumah dan pada masa sama turut memberi perhatian terhadap kesihatan mental.

Pakar Perunding Ortopedik & Pembedahan Trauma, Sunway Medical Centre Velocity, Dr Chang Kok Chun menasihatkan supaya rakyat Malaysia sentiasa memberi tumpuan dan perhatian kepada simptom-simptom berlainan yang dialami kerana ia mungkin berkait rapat dengan kesihatan tulang belakang dan sendi.

"Kehausan boleh berlaku di seluruh rangka tulang badan kita, jadi anda harus sedar mengenai kesakitan ini dan mencari amaran yang mungkin diberikan daripada setiap satunya. Pastikan mendapat rawatan yang diperlukan supaya anda boleh menangani punca masalah itu dengan segera," katanya.

Menurut Dr Chang, penjagaan tulang belakang dengan rapi amatlah penting untuk memastikan fungsi fizikal yang sempurna bagi melakukan aktiviti kehidupan harian seperti bersenam dan rekreasi, membeli-belah atau melancong. Bagaimanapun, ramai yang mengambil mudah.

"Untuk tulang belakang, simptom biasa termasuk sakit belakang, kekebasan atau kelemahan kaki. Sciatica pula kesakitan yang bercabang dari bahagian bawah tulang belakang dan turun ke bawah kaki.

"Satu punca yang agak biasa terhadap pesakit muda adalah disebabkan cakera yang tergelincir atau degenerasi yang berlaku akibat daripada aktiviti mengangkat beban berat ketika bertugas atau bekerja, angkat dumbbell berat dengan cara yang salah atau duduk diposisi yang sama terlalu lama dengan pergerakan yang minimal.

"Ini boleh dielakkan dengan bekerja dalam keadaan dan persekitaran yang lebih ergonomik, sentiasa membetulkan postur duduk ketika bekerja serta mendapatkan khidmat seorang jurulatih di gimnasium yang boleh membantu anda bersenam pada tahap optimal tanpa mencederakan tulang belakang," katanya

DR CHANG
DR CHANG

Dr Chang turut menjelaskan berkenaan dengan pesakit lebih berusia, perhatian biasanya tertumpu pada pengekalan kekuatan tulang dan memulihkan fungsi fizikal mereka daripada sebarang gangguan degeneratif.

Osteoporosis (ketumpatan tulang yang berkurangan) yang amat biasa berlaku terutama dalam kalangan wanita selepas menopaus, boleh menjadi lebih teruk dengan ketiadaan aktiviti fizikal, lebih-lebih lagi ketika PKPB ini.

"Untuk ini, dicadangkan supaya anda menjalani saringan prosedur Ketumpatan Mineral Tulang (BMD) melalui imbasan DEXA (dual energy X-ray absorptiometry), yang boleh diulangi setiap satu hingga dua tahun.

"Pesakit dengan degenerasi tulang belakang (spondylosis) boleh mengalami spinal stenosis iaitu penyempitan saluran tulang belakang yang akhirnya memberikan tekanan ke atas saraf yang bergerak melalui tulang belakang itu.

"Walaupun sakit belakang mungkin kelihatan agak biasa, adalah penting untuk kita supaya sentiasa memberi perhatian terhadap tanda-tanda bahaya dan mendapatkan rawatan dengan segera. Tanda-tanda ini boleh merangkumi sakit belakang yang tidak sembuh lebih daripada enam minggu, kesakitan yang membuat anda terjaga dari tidur pada sebelah malam, kelemahan atau kekebasan kaki dan masalah dalam mengawal air kencing," kata Dr Chang.

Malah Dr Chang turut menjelaskan kepentingan mempunyai tulang belakang dan sendi yang sihat serta bagaimana ia berkorelasi terhadap peningkatan kualiti kehidupan secara keseluruhan.

"Sudah tiba masanya untuk kita memberikan perhatian yang lebih bagi penjagaan tulang belakang dan sendi supaya kita boleh bergerak serta menjalani kehidupan yang lebih baik," katanya.

Dr Chang mengesyorkan supaya pesakit yang mengalami kesakitan atau ketidakselesaan berpanjangan untuk segera berjumpa doktor bagi mengelakkan daripada menjalani rawatan pembetulan pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 6:10 AM