TEKANAN sewaktu kanak-kanak boleh memberi kesan kepada pembesaran mereka.
TEKANAN sewaktu kanak-kanak boleh memberi kesan kepada pembesaran mereka.
MENDIDIK anak perlu lihat kepada persekitaran dan tidak boleh dibandingkan dengan kehidupan kanak-kanak ibu bapa.
MENDIDIK anak perlu lihat kepada persekitaran dan tidak boleh dibandingkan dengan kehidupan kanak-kanak ibu bapa.
Hafiz Ithnin

"Kalau aku tengok mat saleh didik anak, rasa macam geram je. Kalau buat salah tangan tu berat nak angkat, suara pulak tak tinggi.

"Cuba mak-mak Asia, kau tengok, anak buat silap, kalau suara tak macam petir, tangan tu dah pantas cubit. Macam kata pepatah sayang anak tangan-tangankan. Tapi janganlah sampai patah riuk!," kata rakan penulis yang gemar menonton siri televisyen dari Barat.

Maka, ternyata perkara ini memberi persoalan kepada penulis, sebenarnya ilmu keibubapaan Asia atau Barat yang mana lebih sesuai dalam mendidik anak-anak?

Menjawab persoalan itu, Pengamal Pendidikan Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata, sebenarnya antara Barat dan Asia dari segi ilmu keibubapaan tidak ada sempadannya tetapi perkara yang paling penting ialah kefahaman ibu bapa berkenaan ilmu mendidik itu sendiri.

Jelasnya, mungkin pada zaman dahulu kita sudah biasa 'merasa' dirotan atau ditengking ibu bapa jika melakukan kesilapan kerana orang tua ingin mendidik si anak untuk menjadi seseorang yang mendengar cakap dan membesar dengan baik.

"Namun, dalam keadaan sekarang ini kita boleh lihat perkembangan teknologi dan situasi semasa memberi pengaruh dalam mendidik si kecil.

DR PUTRI
DR PUTRI

"Jika dahulu, duduk di kampung atau tinggal di kawasan yang tidak padat memberi peluang kepada si kecil apabila dimarah atau dikenakan tindakan disiplin oleh ibu bapa untuk 'melarikan' diri seketika di luar rumah dengan selamat. Perkara ini memberi ruang kepada mereka boleh melepaskan rasa tekanan selepas dimarah," katanya.

Tambahnya, dalam keadaan tinggal di kawasan yang padat terutama di bandar, situasi itu tidak lagi sama kerana anak-anak sudah tidak ada tempat untuk melepaskan perasaan mereka.

"Jika tinggal di kawasan strata misalnya, sudah tentu sebagai ibu bapa kita tidak akan benarkan anak yang masih kecil dengan mudah bermain tanpa pemantauan kerana terdapat risiko kemalangan atau hilang.

"Jadi, mereka ini apabila dimarah atau dikenakan tindakan disiplin seperti dirotan misalnya akan terus 'terkurung' di dalam rumah dan tidak dapat menenangkan diri di kawasan lain," katanya.

Katanya, perkara paling utama ialah ibu bapa itu sendiri perlu menjadi model terbaik kepada anak-anak terutama di peringkat usia enam tahun pertama.

IBU bapa perlu bijak mengawal kemarahan diri untuk mendidik anak-anak.
IBU bapa perlu bijak mengawal kemarahan diri untuk mendidik anak-anak.

Jelasnya, dalam peringkat usia itu, si kecil dalam proses membentuk 'bluprint' identiti dan begitu cepat meniru tindakan golongan yang paling dekat dengan mereka.

"Jadi, dalam usia enam tahun pertama ini kita sendiri kena tunjukkan sikap yang baik kepada anak-anak supaya mereka boleh meniru dan menjadikannya sebagai ikutan.

"Jika kita seorang yang berlemah lembut dalam mendisiplinkan mereka (bukan bermaksud tiada ketegasan) maka si kecil akan dapat menilainya sebagai satu didikan dan bukan hukuman," katanya,

Dr Putri Afzan Maria memberi contoh, apabila anak membuat sesuatu yang dilihat salah di mata ibu bapa, jangan terus menghukum tetapi memberi mereka peluang untuk memberitahu perkara sebenar kemudian baru mengambil satu keputusan yang rasional tanpa ada perasaan marah untuk memberi pengajaran kepada si anak.

"Ibu bapa ketika mendengar penjelasan si kecil perlu mengawal kemarahan kerana tindakan bersama kemarahan akan memberi satu tindakan yang tidak rasional dalam menilai kesalahan anak.

"Apabila anak-anak merasakan hukuman dijatuhkan tanpa sebab yang kukuh, ia boleh memberi tekanan dan paling dikhuatiri menyebabkan gangguan kesihatan mental," katanya.

ANAK-ANAK perlu diberi peluang untuk mempertahankan diri sekiranya melakukan kesilapan.
ANAK-ANAK perlu diberi peluang untuk mempertahankan diri sekiranya melakukan kesilapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 6:45 AM