BANTAL menjamin kualiti tidur baik.
BANTAL menjamin kualiti tidur baik.
Nurul Husna Mahmud


JIKA sehari anda tidur menggunakan bantal sama kira-kira untuk tempoh lapan jam selama setahun, bermakna sudah menghabiskan lebih 2,500 jam bersama bantal itu.

Melihat kepada tempoh itu, ia tidak jauh beza dengan tempoh anda habiskan bersama dengan seorang teman baik dan pada pengamatan penulis, itu membuatkan bantal cukup penting.

Bagi Klinikal Psikologi dan Felo The American Academy of Sleep Medicine Amerika Syarikat Michael J Breus, seseorang perlu 'melabur' dalam mendapatkan bantal baik kerana itu kunci untuk tidur nyenyak.

Kata Micheal, selain tilam, bantal antara elemen penting dalam menyokong postur tidur yang sihat di mana tubuh dalam kedudukan sejajar, dari lutut dan pinggul, melalui tulang belakang ke dada dan bahu, kepala dan leher.

"Bantal perlu diganti sebaiknya dalam tempoh 18 bulan namun ia bergantung kepada jenis sama ada bantal busa memori boleh bertahan tiga tahun dan bagi menggunakan bahan semula jadi seperti kekabu mungkin lebih lama.

"Namun menggunakan bantal berusia lima atau enam tahun, pengguna tidak mendapat sokongan sepatutnya dan boleh menjejaskan kualiti tidur. Itu boleh dikenal pasti menerusi ujian mudah termasuklah penglihatan, bau dan lipat," katanya.

Pentingnya ujian berkenaan menurut pakar itu, ia bagi memastikan bukan sahaja bantal dalam keadaan memuaskan ketika tidur, malah membantu menjaga kesihatan termasuk kelancaran sistem pernafasan ketika tidur.

TERDEDAH kepada bakteria atau kuman jika terlalu lama pakai bantal sama.
TERDEDAH kepada bakteria atau kuman jika terlalu lama pakai bantal sama.

"Sekiranya anda tidak pasti sama ada bantal boleh digunakan, boleh lakukan ujian mudah seperti ujian penglihatan yang mana dengan cara tanggalkan sarung dan periksa bantal. Karakter seperti terdapat noda, keadaan koyak atau berbau menandakan bantal perlu diganti.

"Bantal sering dipakai diselaputi sel kulit mati, kulit, kutu bantal atau bakteria. Secara tidak langsung keadaan itu membuatkan pengguna bantal berkenaan mendapat serangan alergi termasuk gangguan pernafasan ketika tidur.

"Selain ujian terbabit, ujian lipatan kaedah terbaik yang mana bantal dilipat separuh dan diletak pada permukaan rata seperti atas tilam atau lantai. Jika ia kekal sedemikian, bermakna bantal itu adalah bantal 'mati'," katanya.

Terdapat beberapa teknik lain boleh digunakan antaranya lipat dan letakkan bahagian tengah lengan dan guna pemberat seperti kasut. Jika bantal tidak kembali kedudukan asal bermakna sudah masanya ia ditukar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 6:10 AM