MENGANTUK adalah antara gejala kelesuan.
MENGANTUK adalah antara gejala kelesuan.
Muhamaad Razis Ismail

UMUMNYA kelesuan di tempat kerja boleh ditakrifkan sebagai keadaan biologi terhadap rasa yang sangat penat, tidak bertenaga, keinginan untuk tidur dan kekurangan kapasiti untuk berfungsi.

Ia seperti kelaziman akibat daripada tuntutan kerja yang panjang dan mendesak, tidur yang tidak mencukupi atau terganggu mahupun tekanan kerja yang berpanjangan.

Kelesuan ini boleh menjadi lebih teruk dan signifikan apabila melakukan suatu tugasan yang sama, tetapi berulang sehingga menimbulkan rasa bosan.

Terdapat pelbagai dimensi kelesuan termasuk membabitkan emosi, kognitif atau mental dan fizikal.

Doktor Kesihatan Pekerjaan, Dr Khairil Idham Ismail berkata, kelesuan di tempat kerja adalah sukar secara praktikalnya untuk diperkatakan.

Katanya, hal ini berlaku kerana ia sesuatu yang sukar untuk diukur secara objektif kuantitinya kerana masih wujud taboo, stigma dan pelaporan yang rendah.

MENGUAP antara punca kurang tidur yang menyebabkan kelesuan di tempat kerja.
MENGUAP antara punca kurang tidur yang menyebabkan kelesuan di tempat kerja.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa indikator yang terbukti daripada kajian saintifik berkenaan kelesuan di tempat kerja yang berkait rapat dengan faktor tidur dan kebarangkalian kesan-akibatnya.

"Sebagai contoh, jika seseorang itu berjaga dalam tempoh 17 jam, tahap kelesuannya adalah bersamaan dengan paras alkohol sebanyak 0.05 peratus dalam darah.

"Manakala jika berjaga dalam tempoh 20 jam, ia bersamaan dengan paras alkohol sebanyak 0.1 peratus. Ini adalah paras lebih tinggi bagi penguatkuasaan undang-undang pemanduan di bawah pengaruh alkohol di kebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga pengasas dan penggerak gerakan Kempen Kesedaran Pengurusan Kelesuan (MyREST) peringkat Kebangsaan berkata, dalam negara, walaupun ia berbentuk anekdot, terdapat kebimbangan yang tinggi mengenai keselamatan anggota keselamatan dan kesihatan yang bertugas secara syif apabila terbabit kemalangan yang berkaitan pemanduan ulang-alik atau kemalangan berkaitan pekerjaan.

MENERIMA watikah pelantikan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar 2019/2020.
MENERIMA watikah pelantikan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar 2019/2020.

"Indikator lain yang selalu menjadi rujukan organisasi dalam menilai prestasi termasuk ketidakhadiran (absenteeism) dalam pekerjaan.

"Apa yang lebih membimbangkan adalah satu lagi fenomena yang dinamakan sebagai 'presenteeism' di mana individu itu mungkin hadir ke tempat kerja, tetapi tidak dalam keadaan yang baik ataupun optimum sehingga menjejaskan produktiviti," katanya.

Jelasnya, apabila seseorang mengalami kelesuan, ia adalah satu bentuk ancaman di tempat kerja terutama apabila mengendalikan suatu tugasan kritikal seperti tindak balas yang perlahan, sukar melakukan keputusan, kesilapan, kecuaian, terlelap sejenak (microsleep) dan pelbagai lagi.

"Beberapa tragedi besar dalam sejarah dunia membuktikan perkaitan kelesuan pekerja dengan bencana besar seperti bencana kebocoran loji nuklear di Chernobyl, tumpahan minyak Exxon Valdez dan tragedi kebocoran gas di Bhopal.

"Bencana besar dalam sejarah dunia ini memberikan kesan bukan sahaja kepada organisasi, malah membabitkan kerugian wang, kehilangan nyawa, reputasi sesebuah organisasi dan negara serta bermacam-macam lagi," katanya.

Menurutnya, tiada perbezaan kesan kelesuan di tempat kerja, sama ada lelaki dan wanita, namun sekiranya diambil kira daripada faktor penyebab dan risikonya barangkali terdapat perbezaannya.

"Ini termasuk beban perkongsian tuntutan kerja atau tuntutan di luar kerja seseorang itu, kesaksamaan dalam pekerjaan, sejarah penyakit dan banyak lagi.

"Terdapat sesetengah pekerjaan sangat berkait rapat dengan emosi seperti jururawat yang banyak melihat kesakitan anak kecil, kesengsaraan pesakit menemui ajal dan banyak lagi. Ada juga pekerjaan membabitkan tuntutan kognitif yang tinggi seperti menganalisis, mengkaji, menghafal dan lain-lain.

"Kedua-duanya boleh memberi kepelbagaian bentuk kelesuan seseorang itu yang mana ia boleh jadi berkait dengan jantina mahupun juga tidak. Mungkin seorang jururawat itu mempunyai lebih kelesuan yang berbentuk emosi. Kelesuan fizikal pekerja di sektor binaan pula yang banyak terdedah kepada bebanan dan tuntutan yang bersifat fizikal seperti mengangkat barang berat, banyak pergerakan dan pelbagai lagi.

"Lebih-lebih lagi apabila profesion tertentu lebih didominasi jantina tertentu walaupun jurang itu dilihat semakin mengecil dewasa ini," katanya.

Tambahnya, mengurus kelesuan di tempat kerja adalah tanggungjawab bersama antara majikan dan pekerja.

"Majikan antara lain berperanan memastikan tiada pelanggaran waktu jam bekerja, waktu rehat yang sewajarnya, panjang dan waktu tertentu menjalani syif, rehat antara syif, peluang tidur yang mencukupi dan tidak terganggu serta kebajikan lain.

"Manakala pekerja pula bertanggungjawab terhadap faktor di luar pekerjaan seperti faktor di rumah, gaya hidup yang sihat, kebolehupayaan untuk bekerja bagi satu-satu tugasan (fitness to work), pekerjaan sampingan termasuk tingkah laku tidur yang sihat," katanya.

Katanya, pengurusan kelesuan di tempat kerja perlu bermula dengan budaya kerja yang baik dengan melihat kepada ancaman kelesuan sebagai salah satu ancaman dan risiko di tempat kerja terutama kepada mereka yang golongan berisiko.

"Majikan dan pekerja perlu bersama-sama berperanan dalam menangani isu kelesuan di tempat kerja terutama membabitkan sektor kritikal yang lazimnya kelesuan ini sering berlaku seperti di sektor kesihatan, pembinaan dan pengangkutan," katanya.

Faktor menyebabkan masalah

kelesuan di tempat kerja dan bukan di tempat kerja

I) Faktor di tempat kerja

a) Penjadualan kerja

Jadual kerja terlalu panjang contohnya melebihi 12 jam dalam satu syif

Pusingan syif melawan jam

Tidak mematuhi jam biologi (kitaran sirkadian)

Tempoh rehat antara dua syif yang terlalu singkat

b) Waktu ketika bekerja

Jendela sirkadian rendah (Window of Circadian Low) antara jam 2 pagi hingga 6 pagi dan 2 petang hingga 6 petang

c) Beban kerja

Jenis bebanan kerja sama ada bersifat emosi, kognitif mahupun fizikal. Kerja bersifat 'monotonous' ataupun membosankan. Atau terlalu lama untuk satu tugasan.

II) Faktor bukan di tempat kerja

a)Kerja kedua

b)Penjagaan keluarga dan rumah

Anak kecil atau ibu bapa yang tua, mengemas rumah dan lain-lain.

c) Perjalanan ulang-alik

Jarak dan tempoh yang dilalui.

d) Kesihatan diri

Penyakit kronik tertentu seperti kencing manis, penyakit berkaitan tidur seperti 'obstructive sleep apnea', narkolepsi dan sindrom kaki gelisah (RLS).

Gejala kelesuan:

1. Fizikal

Menguap berkali-kali

Berat mata

Menggosok-gosok mata

Tersengguk-sengguk

Rasa mengantuk

Sakit kepala

Pening

2. Mental

Kesukaran untuk fokus

Mudah alpa atau melakukan kesilapan kecil

Komunikasi yang tidak berkesan

3. Masalah emosi

Kurang motivasi

Mudah terasa

Mudah marah

Memendam atau mendiamkan diri

Mudah terganggu

RITA dan Rashidi sebagai pasangan suami isteri.
RITA dan Rashidi sebagai pasangan suami isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 7:01 AM