Nurul Husna Mahmud


"RATA-RATA yang pm (mesej peribadi) saya di Facebook (FB) atau Instagram panggil saya 'sis' kerana menyangkakan saya perempuan. Saya jelaskan kepada mereka semula saya ini 'bro," kata pembuat quilt Masnoor Saad, 55, ketika ditemui di kediamannya di Serendah, Selangor baru-baru ini.

Hasil produk teknik quilting biasanya dilakukan pada alas kaki, katil, cadar, selimut bayi dan pelbagai produk hiasan rumah. Aktiviti itu tidak ubah seperti kerja tangan menjahit atau menenun yang biasanya didominasi wanita.

Namun Masnoor yang juga bapa kepada sembilan cahaya mata sudah mula dengan kerja menghasilkan quilt sejak 1991 apabila membuat set tilam bayi untuk anak sulungnya.

"Saya belajar membuat quilt pertama kali ketika habis peperiksaan universiti di United Kingdom hanya menerusi majalah kraf di luar negara. Waktu itu belum ada perkembangan YouTube atau media lain seperti FB dan Instagram.

"Mungkin sebab ada bakat dan minat, saya boleh buat meski pun hanya merujuk majalah kraf berkenaan. Sejak itu saya asah skil dan lama-kelamaan ia jadi hobi serta terapi setiap kali saya bekerja," katanya.

PERLU ada kemahiran apabila setiap perincian itu perlu teliti bagi setiap pilihan motif, warna fabrik serta blok. FOTO & VIDEO Halimaton Saadiah Sulaiman
PERLU ada kemahiran apabila setiap perincian itu perlu teliti bagi setiap pilihan motif, warna fabrik serta blok. FOTO & VIDEO Halimaton Saadiah Sulaiman

MASNOOR kongsi salah satu quilt paling rumit yang dinamakan ‘scrapper’. FOTO & VIDEO Halimaton Saadiah Sulaiman
MASNOOR kongsi salah satu quilt paling rumit yang dinamakan ‘scrapper’. FOTO & VIDEO Halimaton Saadiah Sulaiman

Kata Masnoor, satu kepuasan tidak dapat digambarkan ditemui ketika membuat quilt apabila daripada satu motif boleh menghasilkan lebih banyak corak selain penggunaan pelbagai fabrik termasuk batik.

"Sepanjang hasilkan quilt, Saya tidak pernah draf atau lukis. Sebaliknya semua itu datang terus dalam fikiran. Saya akan gambarkan macam mana untuk hasilkan motif utama seperti bintang dan kemudian fikirkan warna, fabrik dan hasilkan blok.

"Ulang langkah itu sampai dapat saiz penuh seperti mana diinginkan baik pada selimut atau sarung kusyen. Saya ini teliti dan apabila sudah leka membuat satu quilt, saya akan siapkan satu bahagian dengan satu bahagian sehinggalah lengkap.

"Lebih mencabar kerja-kerja itu sepenuhnya menggunakan 'tangan' bersama jarum dan benang khas sebelum membeli mesin quilt November lalu," katanya yang pernah menjual hasil quilt tangan berharga RM3,000.

Menariknya mengenai hobinya itu sangat berbeza dengan latar belakang beliau yang mempunyai pendidikan dalam bidang kejuruteraan sivil. Malah jawatan terakhir pernah disandang adalah Pengurus Projek Pembinaan RAPID Petronas di Pengerang, Johor.

"Kerja saya sebagai jurutera kontrak Petronas banyak bawa saya merantau dan berjauhan dengan keluarga dalam tempoh yang lama. Satu tabiat saya apabila dalam situasi itu perlu ada aktiviti membabitkan kerja tangan.

"Saya akan buat quilt pada waktu rehat contohnya selepas jam 6 petang kemudian solat dan sambung semula. Balik rumah baharulah saya cantum dan siapkan seluruh rekaan diinginkan. Ada satu rekaan itu saya hanya dapat siapkan setelah tiga tahun disebabkan buat secara sambilan," katanya.

Demi hobi itu juga, kata Masnoor, dia sanggup berhabis duit pergi berkelana mencari fabrik berkualiti selain membeli mesin quilt yang bernilai sebuah kereta perodua Myvi.

MESIN quilt bernilai sebuah kereta Myvi. FOTO & VIDEO Halimaton Saadiah Sulaiman
MESIN quilt bernilai sebuah kereta Myvi. FOTO & VIDEO Halimaton Saadiah Sulaiman

"Untuk hobi ini saya sanggup berhabis dan isteri, Zalilah Abdullah, 55, faham selain sentiasa menyokong setiap perkara dilakukan termasuk menemani saya keluar negara.

"Terbaharu kami pergi ke Jepun Januari lalu selama lima hari bagi menghadiri Festival Quilt dan saya borong fabrik yang terbaharu selain mencari idea menarik untuk hasilkan rekaan terbaharu dan lebih moden.

"Ada juga saya beli ketika bertugas di luar negara atau bercuti seperti di Bali, Indonesia untuk koleksi batik. Motif quilt yang saya gunakan dinamakan 'ripple' iaitu sempena gelombang terhasil akibat lontaran batu dalam air.

"Ia antara 20 koleksi quilt yang saya simpan sebagai rujukan bagi projek penulisan buku. Ini antara usaha saya berkongsi minat mengenai seni tangan ini dengan lebih ramai orang," katanya.

Sama ada minat itu diwarisi anak-anak, kata Masnoor, ketika ini rata-rata memang disuruh membantu beliau agar skil itu boleh dipelajari.

MASNOR juga memiliki studio khas untuk kerja quiltnya. FOTO & VIDEO Halimaton Saadiah Sulaiman
MASNOR juga memiliki studio khas untuk kerja quiltnya. FOTO & VIDEO Halimaton Saadiah Sulaiman

"Setakat ini anak-anak saya upah untuk bantu jahit sembat atau bahagian yang mudah bagi menarik minat mereka. Tetapi saya perasan, dua daripada anak mempunyai minat dan bakat.

"Sekarang saya banyak galakkan mereka kerana lihat kemahiran seperti quilt boleh jana pendapatan jika mereka mahir dan mampu menghasilkan kerja tangan berkualiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 7:01 AM