SAAT manis menerima Anugerah Perdana Belia Negara 2020 kategori individu wanita baru-baru ini.
SAAT manis menerima Anugerah Perdana Belia Negara 2020 kategori individu wanita baru-baru ini.
Muhamaad Razis Ismail


DAHULU, dia seorang yang sangat pendiam, kurang yakin dan gemuruh ketika di khalayak ramai selain tidak berani mencabar diri sendiri.

Aktivis belia, Nurliana Muhammad, boleh dikategorikan sebagai seorang 'introvert' dalam kalangan rakan-rakannya.

Bagaimanapun siapa sangka anak kelahiran Kampung Sungai Karang Darat, Pahang ini yang pernah dianggap wanita biasa kini jauh berbeza.

Apa tidaknya, dia adalah penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2020 kategori individu wanita sempena Sambutan Hari Belia Negara 2020 yang berlangsung di Johor baru-baru ini.

Lebih manis, anugerah disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Malah pelbagai anugerah, jawatan dan aktiviti dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan belia yang dijalankan 2017 di dalam mahupun luar negara.

Dek kerana minat mendalam untuk membantu belia, Nurliana sanggup menolak tawaran biasiswa melanjutkan pengajian ke luar negara untuk menjadi seorang doktor

Malah pernah melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi penulis, guru, pencanting batik, jururawat, usahawan dan kini sebagai pengasas akademi usahawan, usahawan pakaian Muslimah serta penasihat kepada Hub Usahawan Digital dan Smart Belia Malaysia-Pahang.

Pada masa sama, Nurliana melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Pengurusan Projek di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

MENERIMA anugerah yang disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Ihsan Nurliana Muhammad
MENERIMA anugerah yang disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Ihsan Nurliana Muhammad

Dia yang mesra disapa Sis Liaa mengakui membesar dalam kalangan rakan yang mempunyai latar belakang keluarga bermasalah termasuk perceraian, terbabit dengan gejala dadah, kaki ponteng, mat rempit dan sebagainya.

"Keadaan ini membuat, saya tersedar dan terfikir bahawa golongan muda yang bakal mewarisi negara perlu didekati serta diberikan kesedaran bahawa mereka adalah golongan yang amat berharga.

"Oleh itu, fikir sesuatu perlu dilakukan untuk membantu mereka keluar daripada kepompong itu demi mencapai kejayaan sekali gus menjadi pemimpin di masa hadapan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Nurliana berkata, dia mula bergiat aktif dalam pelbagai program kepimpinan, motivasi, kesukarelawan, kesukanan yang dianjurkan pihak sekolah sejak berusia sembilan tahun.

"Hujung minggu saya terisi dengan mengikuti pelbagai program yang dianjurkan. Saya lebih tertarik untuk mengikuti program-program ini daripada membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah.

"Biarpun begitu, saya akui seorang pendiam dan tidak memiliki keyakinan diri yang tinggi. Namun, sepanjang saya mengikuti pelbagai program dianjurkan pihak kerajaan mahupun swasta saya menyedari bahawa 'kita adalah anugerah yang paling berharga dan mempunyai potensi' tersendiri, wajar digilap dari usia yang masih muda," katanya.

MENJADI moderator program Pembudayaan Usahawan Belia. FOTO Ihsan Asyraf Roslan
MENJADI moderator program Pembudayaan Usahawan Belia. FOTO Ihsan Asyraf Roslan

Menurutnya, pada 2007 dia mengambil jurusan Sains Kejururawatan di Kolej kejururawatan dan Sains Kesihatan Sri Manjung, Perak.

"Biarpun jauh daripada bidang berkaitan belia, sebenarnya ia adalah permulaan untuk mengenali kehidupan manusia bermula dari rahim ibu sehingga kematian.

"Selama enam tahun dalam bidang ini, saya terdedah dengan kemahiran insaniah yang amat berharga seperti berinteraksi antara manusia, epidemologi, psikologi, penyakit, anatomi dan fisiologi manusia, farmakologi dan banyak lagi yang saya gunakan dalam pembangunan belia," katanya.

Sepanjang berada di kolej kejururawatan, Nurliana menerima anugerah dekan dalam jurusan Sains Kesihatan pada setiap semestar sehingga ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang kedoktoran.

Malah dia juga tidak menafikan terinspirasi selepas melihat sekeping gambar seorang mat rempit yang berpeluang bergambar di sebelah Perdana Menteri pada 2016 apabila berjaya membuka perusahaan industri makanan.

TIDAK kekok mendekati golongan lebih berusia. FOTO Ihsan Nurliana Muhammad
TIDAK kekok mendekati golongan lebih berusia. FOTO Ihsan Nurliana Muhammad

"Dari situ saya lebih bergiat secara langsung dengan dunia belia. Bermula dengan mengikuti program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) sehingga berjaya dinobatkan sebagai Anugerah Peserta Terbaik Tunas TUBE 3.0 peringkat Pahang.

"Penghujung 2016, saya diperkenalkan dengan Kelab Nadikota yang membawa kepada pergerakan awal secara rasmi dalam pergerakan NGO belia dengan menumpukan aspek kepimpinan dan kesukarelawan dalam platform memperkasa usahawan belia dipermudahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 7:00 AM