KANAK-kanak mudah cemas apabila berada dalam situasi yang tidak biasa. - FOTO Google
KANAK-kanak mudah cemas apabila berada dalam situasi yang tidak biasa. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


BAGI ibu bapa yang mempunyai anak pastinya kadangkala memerlukan privasi untuk tidur berdua dengan pasangan. Maka, bilik si anak disiapkan penuh bersemangat dengan harapan si kecil mahu tidur asing.

Namun, pasti ada yang berdepan 'masalah' dengan anak tidak mahu tidur di bilik sendiri.

Malah, merenggek apabila disuruh tidur di bilik sendiri.

Kaunselor berdaftar, Maznah Ibrahim menjelaskan terdapat beberapa sebab ia berlaku antaranya, si kecil belum bersedia kerana faktor usia.

"Kematangan kognitif dan emosi kanak-kanak belum cukup faham keperluan tidur di bilik sendiri kerana sebelum ini mereka tidur dalam bilik sama dengan ibu bapa agak lama sama ada sekatil atau sebilik, tetapi berbeza tempat.

"Kedua kerana mereka tidak biasa atau tidak dilatih tidur bersendiri dan terdapat bayi dilatih awal maka sudah biasa tidur di katil dan bilik asing. Kanak-kanak yang tidak biasa, mereka perlukan transisi dan latihan untuk tidur sendiri bagi satu tempoh yang sesuai," katanya.

Tambahnya, kanak-kanak turut mudah berasa takut, cemas dan bimbang tidur sendirian di bilik lain terutama bagi yang tidak biasa sejak bayi kerana mungkin omokan cerita hantu dan mimpi ngeri.

MENDIDIK anak untuk tidur di bilik sendiri memerlukan masa. - FOTO Google
MENDIDIK anak untuk tidur di bilik sendiri memerlukan masa. - FOTO Google

Dari situasi itu, si kecil akan berasa lebih selamat apabila berada berdekatan ibu bapa.

"Bilik berdekatan, sedikit cahaya dan pintu terbuka kadangkala dapat membantu mengurangkan isu kanak-kanak yang ketakutan atau kebimbangan supaya anak anda boleh segera mendapatkan ibu bapa," katanya.

Maznah berkata, antara yang dapat dilakukan ibu bapa menangani perkara itu ialah mulakan dengan menyebut kepada anak-anak yang nanti mereka akan tidur di bilik sendiri kerana sudah tiba masanya.

"Sayang sudah besar dan boleh tidur di bilik sendiri yang lagi baik. Ibu dan ayah akan teman masa awal tidur, jangan bimbang. Antara dialog yang boleh digunakan selalu sebelum tidur. Ia mungkin memakan masa dalam tiga hingga enam bulan juga. 'Selling the idea' namanya!

"Peringkat permulaan, anak masih boleh tidur di bilik sama dengan ibu bapa namun di katil berbeza. Untuk ini, susun atur bilik supaya katil anak muat di bilik ibu bapa. Transisinya ialah dari katil ibu bapa kepada katil sendiri di bilik sama, tetapi di ruang berbeza," katanya.

Tambahnya, selain itu sediakan bilik untuk anak dengan katil kanak-kanak yang menarik, alas katil yang bertema sesuai dengan minat anak, hiasan dinding dan karpet yang bersesuaian, sedikit mainan atau buku supaya mereka teruja untuk tidur di bilik sendiri.

"Tentunya beza tema bilik ibu bapa dan tema bilik kanak-kanak bukan? Mainan minima dan buku ini sebagai hiasan untuk rutin persiapan tidur," katanya.

BILIK tidur yang ceria bantu tarik perhatian si kecil untuk tidur di bilik sendiri. - FOTO Google
BILIK tidur yang ceria bantu tarik perhatian si kecil untuk tidur di bilik sendiri. - FOTO Google

Katanya, secara psikologinya ada elemen tertentu yang membantu si kecil mudah tidur.

Contohnya, cat bilik tidur sedikit kelam walaupun masih tema ceria, bunyian seperti 'white noise' kapal terbang, hujan, air terjun untuk tenangkan diri sendiri serta lampu tidur dipasang ketika proses nak tidurkan anak. Ia membantu untuk suasana tidur dan teruja untuk tidur di bilik sendiri.

"Agak sukar untuk anak yang tidak biasa tidur di bilik sendiri sejak bayi untuk tidur bersendirian di bilik tidur baharu mereka. Sebaiknya ibu bapa temani anak tidur dengan tidur di sebelah mereka sebentar, tepuk-tepuk, bacakan surah atau dodoi sehingga anak anda benar-benar tidur.

"Anak-anak juga akan membaca doa sebelum tidur supaya memori akhir sebelum tidurnya adalah memori baik, selamat, tenang dan indah. Selepas anak tidur ibu bapa boleh tinggalkan anak dan pantau dari jauh," katanya.

Menurut Maznah, latihan anak tidur di bilik sendiri tetap memerlukan beberapa peringkat bukan terus berlaku dengan mudah.

"Kebanyakan kanak-kanak perlukan latihan dalam tiga hingga enam bulan dan akan semakin baik dalam berdikari tidurnya. Latihan seawal usia empat bulan iaitu sebelum anak mengalami 'separation anxiety' pada usia lapan hingga 10 bulan adalah lebih baik.

"Namun apa jua keputusan dan tindakan ibu bapa akan mengikut keselesaan serta kemampuan, budaya keluarga selain kepercayaan masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 6:28 AM