KATA hati positif boleh membawa manfaat kepada diri sendiri. - FOTO Google
KATA hati positif boleh membawa manfaat kepada diri sendiri. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


SETIAP kali melihat cermin, kadangkala terdetik dalam hati mengenai kekurangan dan kelebihan diri sendiri.

Perkara yang membimbangkan adalah terdetik suara hati negatif berkaitan fizikal, tingkah laku dan sikap seperti merasa diri terlalu gemuk, pemalu dan sebagainya.

Situasi tidak sihat ini membentuk diri sehingga menjatuhkan mood dan motivasi untuk meneruskan hidup.

Perkara ini dinamakan sebagai 'Mental Self Image' (MSI) atau dalam bahasa yang mudah difahami adalah monolog dalam diri atau bagaimana melihat diri sendiri.

Pakar Motivasi Kepimpinan Diri, Keluarga dan Organisasi, Dr Azuraida Shahadan berkata, ia adalah perasaan, bayangan, kata-kata hati, pendapat mengenai diri sendiri.

Katanya, suara hati sama ada negatif atau positif ini yang akan membentuk diri.

"Kajian yang dijalankan mendapati 80 peratus daripada diri kita dibentuk melalui dalaman dan hanya 20 peratus membabitkan fizikal serta pakaian.

IBU bapa perlu tunjukkan contoh yang baik untuk membentuk MSI positif. - FOTO Google
IBU bapa perlu tunjukkan contoh yang baik untuk membentuk MSI positif. - FOTO Google

"Contoh yang mudah, apabila melihat cermin kemudian suara hati kadang-kadang akan berkata 'eh kenapa aku gemuk'? Suara negatif ini yang akan membentuk diri kita yang sebenar tanpa kita sedari.

"Begitu juga sebaliknya apabila suara hati kita bercakap 'aku cantik,' 'aku baik hati,' 'aku kuat' maka ia akan membentuk diri kita seperti apa yang diperkatakan dalam hati," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan pakar psikologi pada 1965, mendapati apa sahaja perkataan yang terdetik dalam hati akan membentuk emosi.

"Ia adalah satu arahan yang diberikan kepada otak yang kemudian diproses (otak) untuk menjadikannya sebagai kenyataan. Oleh itu, apa yang diproses di otak adalah apa yang ada dalam diri individu itu.

"Kita boleh beritahu betapa gembiranya hidup namun apabila hati sedih maka dalaman akan menjadi sebaliknya kerana otak menerima arahan dari dalaman," katanya.

Menurutnya, kata hati ini terbentuk sejak kecil iaitu 0 hingga 7 tahun apabila otak 'disumbat' pelbagai imej tertentu.

"Oleh itu, ibu bapa diingatkan supaya memiliki ilmu keibubapaan untuk elakkan sebarang percakapan atau tingkah laku negatif yang boleh diserap anak yang masih kecil. Sebagai contoh sekiranya kita selalu marahkan anak dengan kata-kata negatif, perkataan itu akan membentuk dirinya apabila dewasa.

MSI terbentuk sejak kecil. - FOTO Google
MSI terbentuk sejak kecil. - FOTO Google

"Apabila sudah terbentuk, ia (MSI negatif) akan terus melekat dalam diri dan kata hati ini akan terdetik apabila melihat diri sendiri," katanya.

Tambahnya, terdapat banyak faktor bagaimana MSI negatif ini terbentuk antaranya kurang perhatian dan bimbingan pada awal usia kanak-kanak dan remaja.

"Selain itu, perbandingan berterusan antara adik-beradik membabitkan ciri fizikal, kemahiran, bakat, akal serta ibu bapa memberi tekanan untuk cemerlang dalam pelajaran turut menyumbang kepada masalah ini.

"Penderaan emosi, fizikal dan bahasa, kurang pujian serta penampilan kurang kemas antara sebab mengapa MSI negatif sentiasa berada dalam diri," katanya.

Katanya, terdapat beberapa teknik yang boleh diaplikasikan untuk mengubah MSI negatif kepada positif termasuk sentiasa bercakap perkara positif kepada diri sendiri berulang kali.

"Selain itu, anda boleh cuba teknik 'tapi' iaitu tulis kekurangan diri dan ditambah perkataan tapi untuk menaikkan kembali semangat.

"Anda juga cuba teknik sentiasa menegur diri sendiri, kejutkan diri dan mencabar diri untuk menambah keyakinan diri menjadi lebih positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 6:45 AM