KAKI buli di pejabat boleh ‘membunuh’ bakat orang lain. - FOTO Google
KAKI buli di pejabat boleh ‘membunuh’ bakat orang lain. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


SIAPA yang sanggup untuk bekerja dalam persekitaran toksik? Maksudnya berdepan dengan manusia yang sentiasa wujud rasa iri hati, dengki, pemalas, pengampu, membunuh bakat syarikat atau dalam kata lainnya negatif!

Si pemangsa juga tidak kira, kadang-kala rakan yang setaraf jawatan sehinggalah pengurus. Mereka ini sentiasa mencari peluang memanipulasi seseorang supaya dirinya kelihatan menonjol cemerlang tetapi dalam masa yang sama menjatuhkan orang lain.

Pensyarah Kanan UiTM Perak dan Saintis Sosial Multi Disiplin, Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, ada kalanya manusia menjadi toksik sebagai manifestasi gangguan keperibadian narsis, gangguan bipolar atau penyakit mental serius yang lain.

"Manusia toksik di tempat kerja bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana mereka ini adalah golongan pembuli mental dan fizikal yang boleh dikatakan profesional. Dalam diam mereka membunuh mental dan kemampuan orang lain.

"Misalnya, golongan toksik ini tidak mempunyai sesuatu kebolehan yang orang lain ada, jadi mereka akan berusaha untuk menjadikan mangsa yang berkebolehan itu kelihatan tidak bijak. Sekali gus membunuh bakat yang boleh dikembangkan dan memberi manfaat kepada syarikat," katanya.

Jelasnya, pengurus atau bos yang toksik sebagai contoh, akan mendatangkan kesan buruk kepada kakitangan bawahan yang juga bakal menjadi toksik.

HUBUNGAN rakan sekerja perlu dalam keadaan harmoni bagi meningkatkan prestasi kerja. - FOTO Google
HUBUNGAN rakan sekerja perlu dalam keadaan harmoni bagi meningkatkan prestasi kerja. - FOTO Google

Dr Airil Haimi berkata, lebih membimbangkan manusia toksik dalam kalangan rakan sekerja boleh memberi kesan kepada tekanan hidup mangsa kerana bagi golongan pekerja setiap lima hari, lapan jam atau lebih mereka berada di tempat kerja.

"Dalam kes yang saya kendalikan, kebanyakan tertekan di tempat kerja bukan kerana tidak tahan dengan 'limpahan' kerja yang perlu dibuat tetapi tidak tahan dengan kelakuan manusia toksik di sekeliling mereka seperti pengurus atau pekerja lebih senior.

"Jadi mangsa merasakan tekanan emosi daripada pemangsa ini lebih membebankan keadaan. Kita juga risau jika mangsa manusia toksik di tempat kerja boleh menjejaskan kesihatan mental pada jangka masa panjang kerana terlalu tertekan," katanya.

Dr Airil Haimi menasihatkan, mereka yang menjadi mangsa manusia toksik di tempat kerja perlu bijak mengendalikan diri supaya terus tidak menjadi mangsa.

"Pertamanya, terdapat sesetengah majikan atau tempat kerja yang sudah terkenal toksik atau tempat perbuatan buli berlaku secara meluas. Jadi, sebelum menerima tawaran bekerja di satu-satu tempat, terlebih dahulu anda patut tahu keadaan dalaman atau suasana 'politik' tempat kerja itu.

"Tanya orang dalam, misalnya supaya anda boleh membuat keputusan terbaik sama ada untuk menerima atau menolak tawaran kerja yang diterima. Tidak mengapa untuk tidak berkerja dalam keadaan negatif kerana anda perlu tahu, kesihatan mental anda perlu dilindungi terlebih dahulu," katanya.

TABIAT ‘membawang’ rakan sekerja boleh menjadikan keadaan tempat kerja tidak harmoni. - FOTO Google
TABIAT ‘membawang’ rakan sekerja boleh menjadikan keadaan tempat kerja tidak harmoni. - FOTO Google

Pakar itu menambah, di tempat kerja juga, individu selalu memburukkan orang lain itulah yang teramat toksik.

Jelasnya, individu seperti itu akan menjadikan orang lain sebagai mangsa jika diberi peluang. Manusia toksik seperti itu sememangnya bermuka-muka dan sebagai pekerja perlu jauhkan aktiviti 'membawang' dengan orang seperti itu.

"Tetapi, anda juga perlu tahu tidak semestinya apabila anda kekal neutral anda tidak akan 'dimangsakan' manusia toksik. Maka, persiapkan diri untuk lantang bersuara dan mempertahankan diri dari serangan mulut kaki buli dan orang toksik. Jangan biarkan diri anda dipijak-pijak dan menjadi mangsa keadaan," katanya.

Katanya, menetapkan sempadan psikologi dan emosi dengan manusia toksik sangat penting, walaupun agak mencabar.

"Ingat, anda layak bekerja bersama-sama staf lain yang hebat, yang menyokong dan dapat bekerjasama dengan anda secara positif.

"Hidup ini terlalu pendek untuk menghabiskan masa anda dengan orang yang tidak menolong anda menjadi diri anda yang paling hebat," katanya.

MANGSA toksik di tempat kerja boleh memberi tekanan kepada orang lain. - FOTO Google
MANGSA toksik di tempat kerja boleh memberi tekanan kepada orang lain. - FOTO Google

Tambahnya lagi, jika anda merasa tidak senang dengan diri sendiri akibat hubungan dengan manusia toksik, ambil masa untuk duduk dan menilai realiti.

"Manusia seperti ini mungkin tidak akan berubah, tetapi anda boleh. Timbang semua pro dan kontra, kemudian buat keputusan untuk membatasi masa anda dengan manusia toksik berkenaan," katanya.

Jelasnya, ketua juga perlu bijak mengendalikan keadaan apabila melihat terdapat kakitangan mempunyai sikap toksik kerana golongan seperti itu yang bakal melingkupkan kecemerlangan sesebuah organisasi.

"Jika anda seorang ketua atau bos, bersifat terbuka untuk bertanya situasi pekerja dan mengambil maklum keadaan mereka terutama membabitkan emosi kerana kita tidak mahu prestasi pekerja merosot akibat tekanan emosi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 7:00 AM