DAPAT sokongan keluarga, rakan pelajar perubatan untukrealisasi impian.
DAPAT sokongan keluarga, rakan pelajar perubatan untukrealisasi impian.
Nurul Husna Mahmud

PENGALAMAN paling meninggalkan kesan buat aktivis kemanusiaan antarabangsa, Siti Asmah Shahidan, 29, ini ialah ketika melaksanakan misi pertama di Kemboja.

Beliau yang juga setiausaha agung kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Hospitals Beyond Boundaries (HBB), menyaksikan sendiri kedaifan masyarakat kemboja terutama golongan minoriti jauh bezanya dengan keselesaan dinikmati masyarakat Malaysia.

"Dalam banyak kenangan saya berkhidmat bersama masyarakat Kemboja terutama minoriti Melayu Champa, paling menyentuh hati saya adalah saat melihat anak kecil yang comot menjual biji teratai pada harga 1 USD (RM4.20).

"Ketika itu misi pertama saya di Kemboja dan anak kecil ini bersungguh-sungguh menagih supaya saya membeli jualannya. Saya terus terbayangkan anak saudara yang berada di Malaysia.

"Kehidupan anak saudara saya jauh lebih baik kerana boleh bersekolah dan menikmati hidup selayak dengan umurnya," katanya.

Terkesan dengan kedaifan masyarakat itu, kata anak kelima daripada sembilan beradik ini tidak pernah berhenti beri komitmen terhadap kerja kebajikan termasuklah misi HBB.

MAHU bina hospital sendiri untuk bantu golongan memerlukan.
MAHU bina hospital sendiri untuk bantu golongan memerlukan.

BERSAMA rakan sukarelawan HBB.
BERSAMA rakan sukarelawan HBB.

"Sejak di bangku sekolah saya aktif dengan aktiviti luar tidak terkecuali kerja-kerja kebajikan. Cuma dengan HBB lebih istimewa kerana impian saya bersama kembar, Siti Sarah sejak di bangku persekolahan untuk membina hospital suatu hari nanti.

"Apabila rakan dalam kalangan pelajar perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) iaitu Dr Lutfi, Dr Hannan, Dr Izza Arsyika dan kembar saya yang juga doktor berada pada peringkat perbincangan untuk merealisasikan idea itu.

"Kemudian saya panjangkan idea ini kepada rakan- rakan satu fakulti perakaunan UiTM saya Khairul Izwan, Muhammad Akmal dan Izzati Inani di mana kami bersetuju bersatu hati menubuhkan NGO dinamakan Hospital Beyond Boundaries.

"Misi pertama kami ialah pada tahun 2013 dan mempunyai sokongan multidisiplin kepakaran kerana sukarelawan kami dari pelbagai bidang seperti perubatan, pergigian, perakaunan dan kejuruteraan," katanya.

DEKAT dengan masyarakat Cham.
DEKAT dengan masyarakat Cham.

Tidak lupa dorongan pasukan rakan sukarelawan yang banyak memberi kekuatan selain restu keluarga terutama ibunya, Zuraidah Abbas.

"Ibu saya antara pendorong kuat terhadap pembabitan dalam kerja sukarelawan kerana ia membantu dalam pembangunan sahsiah yang baik.

"Sementara bapa, Ahmad Shahidan Said juga sering terbabit dalam kerja amal di bawah program yang dianjurkan Ummatic Mission Relief Association of Malaysia (UMR). Kebanyakan disertai alumni Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim SMSAH dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang sering melaksanakan Ibadah korban di Kemboja. Saya juga sering ambil bahagian dalam program terbabit," katanya.

Pada masa sama, gadis manis itu turut berkongsi pengalaman getir lain termasuk kekangan dari segi kewangan kerana di awal menggerakkan HBB kos penerbangan dan pengangkutan lain adalah inisiatif sendiri.

AKTIF dalam program atau latihan  antarabangsa.
AKTIF dalam program atau latihan antarabangsa.

"Detik paling mencabar ialah ketika menyambung pengajian di Ireland pada tahun 2015.

"Ketika itu, saya bergelar pelajar tidak mempunyai sumber kewangan kukuh untuk terbang pulang ke Malaysia dan seterusnya ke Kemboja bagi pembukaan secara rasmi klinik HBB di Kemboja.

"Mengenang kembali detik itu, kesusahan saya apabila melakukan kerja sambilan seperti menjaga orang-orang tua, bertugas sebagai kerani pendaftar di klinik dan mengasuh anak-anak kecil di Dublin bagi menampung perbelanjaan itu," katanya turut belajar bahasa Cham dan Khmer untuk rapat dengan komuniti berkenaan.

KELUARGA antara pendorong terkuat Siti Asmah.
KELUARGA antara pendorong terkuat Siti Asmah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 8:47 AM