MASALAH jantung dalam kalangan ibu bapa muda semakin meningkat. FOTO: Sumber Google
MASALAH jantung dalam kalangan ibu bapa muda semakin meningkat. FOTO: Sumber Google
Muhamaad Razis Ismail

MELIHAT peningkatan risiko penyakit jantung dalam kalangan ibu bapa muda, pakar perubatan bersetuju bahawa pengurusan kolesterol antara amalan yang sangat penting untuk kesihatan.

Ini bukanlah satu senario yang baharu kerana Jabatan Statistik Malaysia - Perangkaan Sebab Kematian Malaysia pada 2019 merekodkan penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian dalam kalangan orang dewasa.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi oleh Kementerian Kesihatan pada 2019 menunjukkan bahawa kadar kolesterol tinggi menjadi faktor risiko utama penyakit jantung yang menjejaskan lapan juta atau 40 peratus orang dewasa di Malaysia.

Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Dr Beni Rusani berkata, kini pilihan gaya hidup yang tidak sihat.

Katanya, tabiat pemakanan yang tidak sihat, peningkatan tahap stres, gaya hidup, merokok dan jadual kerja yang padat mendedahkan anda kepada risiko kolesterol tinggi dan penyakit kronik tidak berjangkit (NCD).

"Penyakit jantung lazimnya dikesan dalam kumpulan usia 50-60 tahun. Namun begitu, NCD bukan penyakit yang berlaku dalam masa sehari, malah ia berpunca daripada tabiat buruk yang berlarutan selama kira-kira 20 tahun.

MAKANAN segera memiliki kolesterol tinggi. FOTO: Sumber Google
MAKANAN segera memiliki kolesterol tinggi. FOTO: Sumber Google

"Lebih membimbangkan, pesakit jantung di Malaysia adalah yang termuda berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata, anda terutama pasangan suami isteri kini mempunyai lebih banyak sebab untuk mengambil berat mengenai kesihatan jantung dan kolesterol tinggi sejak awal lagi.

"Bagi memerangi kolesterol tinggi, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Malahan, cara ini sebenarnya lebih murah.

"Oleh sebab kolesterol tinggi disebabkan kesan tabiat buruk jangka panjang, semakin lama diabaikan, semakin sukar untuk dirawat sekali gus akan menyebabkan kos ubat-ubatan dan rawatan meningkat," katanya.

Menurutnya, ramai yang mengeluh, pencegahan lebih mudah diucapkan daripada dilakukan.

"Jika ibu bapa sukar untuk berbuat demikian, lakukanlah demi anak-anak.

SENTIASA jalani kehidupan sihat dengan bersenam. FOTO: Sumber Google
SENTIASA jalani kehidupan sihat dengan bersenam. FOTO: Sumber Google

"Kanak-kanak cenderung untuk meniru tingkah laku ibu bapa mereka. Dalam erti kata lain, ibu bapa harus menunjukkan teladan yang lebih baik seperti mengamalkan diet yang seimbang dan bersenam secara konsisten supaya menjadi ikutan anak-anak mereka.

"Menerusi pendekatan ini, kita dapat memutuskan kitaran negatif anak mengulangi tabiat buruk ibu bapa mereka sebelum menempuh alam dewasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Dietetik, Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Rozanna M Rosly berkata, memutuskan kitaran negatif mungkin kedengaran seperti satu tanggungjawab yang besar.

Beliau percaya perkara itu bermula dengan menambah baik tabiat pemakanan seseorang.

"Sebagai rakyat Malaysia, tidak dinafikan selera makan kita memang 'sihat,' apatah lagi dengan pilihan makanan segera, makan di luar dan khidmat penghantaran makanan.

"Namun, terdapat beberapa perubahan gaya hidup positif berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti amalan memasak di rumah dan peningkatan masa untuk mengeratkan ikatan keluarga.

IBU bapa perlu tunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. FOTO: Sumber Google
IBU bapa perlu tunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. FOTO: Sumber Google

"Ini meyakinkan saya bahawa kita sebenarnya mampu menjadikan tabiat makan yang sihat suatu kebiasaan baharu," katanya.

Tambahnya, diet untuk kesihatan jantung tidak rumit untuk diamalkan, malahan tidak memerlukan perubahan yang drastik dengan mengamalkan beberapa petua yang sangat mudah biarpun memiliki jadual padat.

"Mulakan dengan Pinggan Sihat Malaysia, petua yang berdasarkan konsep membahagikan satu pinggan makan kepada tiga bahagian, iaitu 'suku-suku-separuh.' Suku pertama diisi dengan protein (seperti ikan, ayam, daging dan kekacang), manakala suku kedua diisi dengan karbohidrat (seperti nasi, mi, roti dan bijirin). Separuh yang selebihnya pula terdiri daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Fokus adalah pada yang 'separuh,' iaitu pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan serat, vitamin dan mineral. Diet yang tinggi dengan serat makanan dapat membantu mengurangkan risiko NCD termasuk kolesterol tinggi," katanya.

DR Beni
DR Beni

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 7:00 AM