BERSAMA koleksi foto kesukaan memaparkan gambar ketika bertugas di luar. FOTO: Mohd Fadli Hamzah
BERSAMA koleksi foto kesukaan memaparkan gambar ketika bertugas di luar. FOTO: Mohd Fadli Hamzah
Nurul Husna Mahmud

SELAIN sekeping foto dan kenyataan media yang dikongsi pihak Wisma Putra baru-baru ini mengenai lantikan wakil negara sebagai duta ke luar, tidak banyak penulis tahu perihal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Haznah Md Hashim.

Tanggapan penulis semestinya wanita itu bukan calang-calang berdasarkan namanya tersemat antara individu penting dalam memikul tanggungjawab besar mewakili negara menguruskan hal-hal diplomatik di negara Asia Selatan itu.

Lain pula halnya sebaik bertentang mata, wanita kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan itu memiliki pesona tersendiri apatah lagi di sebalik pembawaan diri yang lembut dan tutur kata tersusun membuatkan sesiapa bertemu mudah selesa.

Kata beliau, tanpa 'restu' Sang Pencipta dan kedua-dua orang tuanya, perjalanan untuk sampai ke tahap hari ini iaitu mewakili negara dalam menjayakan dasar luar terutama hubungan erat Malaysia dan Bangladesh tidak akan kesampaian.

Malah kata Haznah, seawal zaman belajar lagi beliau tidak menjangka akan menjadi diplomat yang mempunyai tanggungjawab penting dalam membantu merangka dan melaksanakan dasar luar oleh kementerian, mahupun menjadi 'wakil' negara yang berperanan menyuarakan dan menjaga kepentingan negara dalam hubungan dengan negara lain.

"Saya hanya mengetahui kewujudan jawatan pegawai tadbir dan diplomatik ini ketika mengenali pegawai daerah yang bertugas di Seremban ketika saya bergelar penasihat undang-undang waktu itu.

KOMITED dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pegawai diplomatik. FOTO: Mohd Fadli Hamzah
KOMITED dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pegawai diplomatik. FOTO: Mohd Fadli Hamzah

"Saya berminat untuk memohon jawatan berkenaan kerana tertarik dengan kewibawaan dan kepemimpinan beliau.

"Jadi saya memohon jawatan berkenaan dan berjaya melepasi semua tapisan sehingga menjalani latihan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur sebelum ditempatkan di Wisma Putra sehinggalah hari ini," katanya.

Bermula dengan jawatan Penolong Setiausaha Kementerian Luar itu, beliau sudah berdepan dengan pelbagai cabaran menarik termasuk dalam kes membabitkan isu kedaulatan negara.

"Selesai sahaja latihan dan ditugaskan ke Kementerian Luar, saya terbabit dalam kes kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulan Sipadan kemudian Pulau Batu Puteh.

"Dua isu ini pada saya sangat penting meskipun ketika itu hanyalah sebagai penolong setiausaha yang berperanan dalam draf awal terhadap penyediaan dokumen bagi mempertahankan kedaulatan negara dalam kedua-dua kes berkenaan.

"Banyak pengorbanan perlu dilakukan termasuk terpaksa meninggalkan orang tua ketika mereka sakit untuk perbicaraan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague tahun 2002 bagi kes kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan, selain berikutnya bagi kes Pulau Batu Puteh sedang berlangsung," katanya.

KETIKA menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei ketika penempatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di Bandar Seri Begawan. FOTO: Ihsan Wisma Putra
KETIKA menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei ketika penempatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di Bandar Seri Begawan. FOTO: Ihsan Wisma Putra

MENGHADIRI Majlis Resepsi Diplomatik oleh Kedutaan Asing ketika penempatan di Bandar Seri Begawan. FOTO: Ihsan Wisma Putra
MENGHADIRI Majlis Resepsi Diplomatik oleh Kedutaan Asing ketika penempatan di Bandar Seri Begawan. FOTO: Ihsan Wisma Putra

Kata Haznah, untuk mengimbangi antara kerjaya dan keluarga, beliau terpaksa berkorban dari segi tenaga dan masa apabila sanggup berulang-alik dari Putrajaya ke Seri Menanti.

"Selepas bapa, Md Hashim Paan meninggal dunia, saya mengambil keputusan untuk berulang-alik dari Seri Menanti ke Putrajaya demi ibu, Hamidah Omar, 83,

"Tidak dinafikan kadangkala rasa penat itu ada apabila pulang jam dua tiga pagi balik rumah orang tua, tetapi saya berasa puas kerana masih dapat bersama orang tua. Mereka ini adalah sumber kekuatan dan dorongan kuat untuk saya berjaya sehingga ke hari ini," katanya.

Tidak lokek amalan dikongsi beliau setiap kali menyiapkan tugasan adalah keikhlasan selain mengamalkan sikap berterus-terang apabila berdepan dengan anak buah.

"Pada saya setiap kali saya lakukan perlu disertakan dengan keikhlasan kerana setiap satunya adalah kepentingan negara.

"Segi kepimpinan pula, saya seorang yang berterus-terang dan jika tidak berpuas hati atau rasa ada sesuatu tidak kena dengan tugasan anak buah, teguran diberikan secara personal dan bukannya di khalayak ramai.

"Malah ketua setiausaha (KSU) kementerian sendiri pernah menasihati agar tidak lakukan perkara yang tidak disukai orang kerana diri sendiri tidak akan suka jika orang lain melakukan perkara sama terhadap kita," katanya.

KETIKA terima watikah daripada Yang di-Pertuan Agong.  FOTO: Ihsan Wisma Putra
KETIKA terima watikah daripada Yang di-Pertuan Agong. FOTO: Ihsan Wisma Putra

Pandangan Haznah mengenai sejauh mana masyarakat memandang isu memperkasakan wanita, katanya membesar dengan Adat Perpatih membuatkannya menyedari wanita juga mempunyai kedudukan istimewa dalam masyarakat.

"Pada saya yang lebih utama ialah hal pembawaan diri sebagai Pesuruhjaya Tinggi yang bertugas demi kepentingan negara, dalam menjaga hubungan dua hala dengan Bangladesh sebagai rakan dagang ke-22 negara menerusi jumlah dagangan RM12.78 bilion dan antara pasaran utama kepada sawit negara.

"Dalam pada itu penempatan di Bangladesh juga menggalas tugas berat kerana ia berkait rapat dengan isu Rohingya yang menjadi keutamaan Yang Berhormat Menteri Luar Negeri," katanya yang juga pemegang Sarjana Undang-undang dari Liverpool, United Kingdom.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 7:00 AM