NURUL Atikah lebih kuat buktikan  mampu realisasi impian jadi  perunding imej profesional bertauliah. FOTO Nurul Atiqah Noor Halim
NURUL Atikah lebih kuat buktikan mampu realisasi impian jadi perunding imej profesional bertauliah. FOTO Nurul Atiqah Noor Halim
Muhamaad Razis Ismail

PERNAH digelar 'bodoh' antara cabaran yang terpaksa ditempuhi selepas membuat keputusan untuk menjadi perunding imej profesional bertauliah.

Hal ini kerana dia sanggup mengambil risiko keluar daripada zon selesa sebagai seorang penjawat awam yang memperoleh pendapatan bulanan yang agak selesa pada ketika itu.

Bagi Nurul Atikah Noor Halim, 34, dugaan yang diterimanya sebenarnya tidak melemahkan semangatnya malah lebih kuat dalam membuktikan dia mampu merealisasikan impiannya.

Kini, dia muncul antara perunding imej profesional yang cukup disegani dan memiliki syarikat sendiri untuk melangkah lebih jauh dalam bidang diceburi.

Malah dalam tempoh beberapa hari lagi, produk penjagaan diri pertamanya bakal dilancarkan.

Nurul Atikah berkata, sejak daripada kecil dia sememangnya suka mengajar dan berhasrat untuk menjadi seorang pensyarah.

KETIKA menjadi jemputan program iMotivator. FOTO Nurul Atiqah Noor Halim
KETIKA menjadi jemputan program iMotivator. FOTO Nurul Atiqah Noor Halim

Katanya, bagaimanapun impiannya itu tidak tercapai atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Sebelum itu, saya sudah pun bertugas sebagai Pegawai Sains Mikrobiologi selama empat tahun sebelum berkhidmat di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kuala Lumpur sehingga 2016.

"Ketika di IMR saya sudah ceburi perniagaan secara sambilan bermula 2015, setahun kemudian berhenti untuk jalankan perniagaan sepenuh masa sehingga kini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, dia membuat keputusan sertai kursus di Akademi Perunding Imej Profesional bagi meneruskan minatnya sebagai perunding imej profesional.

"Alhamdulillah selepas mendapat pentauliahan sebagai perunding imej profesional, saya tidak pandang belakang dan terus bergerak ke hadapan.

"Saya bersyukur, impian menjadi seorang pengajar akhirnya tercapai biarpun dalam bidang yang berbeza," katanya.

BERSAMA keluarga yang banyak beri dorongan. FOTO Nurul Atiqah Noor Halim
BERSAMA keluarga yang banyak beri dorongan. FOTO Nurul Atiqah Noor Halim

Skop tugasnya adalah memberi rundingan atau latihan berkaitan imej sama ada secara individu atau berkumpulan.

"Saya membantu memberi nasihat dalam membuat penambahbaikan imej seseorang dengan memberi panduan kepada mereka cara berpenampilan dan membawa diri secara profesional.

"Ia merangkumi aspek pemakaian, tingkah laku dan komunikasi yang berkait rapat dengan syarikat tempat mereka bertugas," katanya.

Malah dia turut menawarkan beberapa modul mengikut pilihan pelanggan.

"Antara modul yang mendapat permintaan tinggi adalah mengenai penampilan diri. Menerusi modul ini, pelanggan diajar pelbagai cara untuk tampil lebih menarik termasuk pemilihan warna, cara bersolek, pemilihan aksesori dan sebagainya.

"Selain itu, saya turut mengajar mereka cara berkomunikasi dengan baik dan menunjukkan tingkah laku membuktikan sebagai seorang profesional.

"Program ini sama ada dijalankan di pejabat saya di Rawang, Selangor, dijemput ke syarikat atau secara dalam talian," katanya.

KETIKA mengendalikan kelas. FOTO Nurul Atiqah Noor Halim
KETIKA mengendalikan kelas. FOTO Nurul Atiqah Noor Halim

Mengulas lanjut, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, dia mengakui perniagaannya terjejas apabila beberapa program yang sudah dirancang terpaksa dibatalkan atau ditunda.

"Pada minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan saya tidak tahu nak buat apa-apa.

"Sebenarnya ada hikmah di sebaliknya, apabila saya dapat meneroka peluang baharu dengan mengadakan program secara dalam talian sekali gus dapat memberi peluang lebih ramai peserta untuk sertai termasuk dari Sabah dan Sarawak," katanya.

Ditanya mengenai kesedaran dalam menjaga penampilan diri di negara ini, ibu kepada dua anak ini mengakui ia masih lagi rendah.

"Setiap daripada kita perlu sedar bahawa penampilan bukan untuk orang lain tetapi untuk tunjukkan bagaimana kita hargai diri sendiri. Pada masa sama, sebagai pekerja kita membawa imej syarikat ke mana-mana sahaja.

DAPAT banyak jemputan untuk berkongsi ilmu berkenaan penjagaan imej. FOTO Nurul Atiqah Noor Halim
DAPAT banyak jemputan untuk berkongsi ilmu berkenaan penjagaan imej. FOTO Nurul Atiqah Noor Halim

"Oleh itu, dengan kata lain tugas sebagai perunding imej ini sangat berat untuk beri kesedaran betul kepada orang ramai bahawa betapa pentingnya menjaga imej," katanya.

Katanya, untuk menjadi seorang perunding imej yang baik, seseorang itu perlu memiliki tahap ketahanan diri yang tinggi kerana berdepan pelbagai cabaran. Selain itu, perlu memiliki sifat ingin meneroka perkara baharu dan perlu amalkan pemikiran terbuka.

"Pada masa sama, seseorang itu perlu ada perancangan teliti dalam setiap apa yang dilakukan untuk pastikan ia berjalan dengan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 7:00 AM