MAKANAN laut antara terbaik disimpan beku. FOTO Sumber Google
MAKANAN laut antara terbaik disimpan beku. FOTO Sumber Google
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

ANDA yang sibuk, ada cara terbaik untuk menyediakan makanan awal ialah dengan membekukannya. Biasanya penyediaan awal di sebelah malam lalu digoreng atau dimasak ketika siang.

Manfaat lain langkah ini sesuai bagi menjimatkan wang kerana makanan bukan sahaja lebih tahan lama, ia boleh mengelak makanan terbuang.

Namun masih ramai tidak memahami kebaikan beku kerana terdapat mitos mengenai sajian dibekukan.

Antara mitos:

1. Makanan beku tidak sihat.

Berbanding proses penyediaan ini sihat atau tidak, sebenarnya ia terletak kepada jenis hidangan dan bahan dibekukan.

Kalau makanan diproses seperti piza, kentang dan makanan segera lain, ia semestinya tidak sihat.

Namun kalau membabitkan bahan segar seperti kisaran buah atau 'smoothies' tanpa gula, ia masih sihat dan lebih baik berbanding dibiarkan pada suhu bilik semalaman.

BERSIHKAN daging sebelum dibeku. FOTO Sumber Google
BERSIHKAN daging sebelum dibeku. FOTO Sumber Google

2. Nutrisi makanan terjejas apabila dibekukan.

Pembekuan tidak menjejaskan kalori, kandungan serat atau jumlah mineral.

Ia mungkin berbeza daripada kandungan vitamin seperti folat dan vitamin C.

Tetapi, kebanyakan nutrisi masih kekal selepas beku.

Begitu juga untuk jumlah lemak, protein, karbohidrat atau gula.

Cuma keadaannya ialah cecair dalam produk makanan itu berubah.

3. Kesegaran dan kualiti berbeza apabila dibeku.

Sebenarnya bekukan makanan bagi produk daging dan makanan laut adalah terbaik.

Berbanding ditangkap segar dan dibiarkan lama di luar pada suhu bilik, kualiti atau kesegaran akan terjejas serta-merta.

Selain itu, seperti ayam diletakkan terlalu lama pada suhu bilik boleh mengundang bakteria berbanding diletak dalam suhu lebih rendah atau beku.

Namun terdapat beberapa tip mudah untuk beku makanan segar.

1. Buah-buahan sebaiknya dipotong kecil dan diletak dalam pek kecil sebelum dibekukan.

2. Bagi sayur-sayuran ada dua kaedah:

i. Rebus dan jadikan stok bubur sayur atau pes dalam sup tertentu.

ii. Masukkan dalam air mendidih satu hingga dua minit dan kemudian rendam dalam air ais. Toskan dan simpan dalam plastik zip makanan. (kaedah 'blanching')

3. Daging, ayam dan ikan mentah boleh dicuci kemudian dibekukan untuk penyediaan mudah. Boleh juga diperap dengan bahan masakan sebelum dibekukan.

BUAH-buahan boleh dipotong pada saiz jari sebelum dibeku. FOTO Sumber Google
BUAH-buahan boleh dipotong pada saiz jari sebelum dibeku. FOTO Sumber Google

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 6:30 AM