GULAI lemak ketam cili api sedap dan mudah dimasak. FOTO Ihsan Chef Taufiq Halim
GULAI lemak ketam cili api sedap dan mudah dimasak. FOTO Ihsan Chef Taufiq Halim
Hafiz Ithnin

BAGI mereka yang tinggal berjauhan sudah pasti merindui masakan ibu tersayang kerana selama ini insan itu yang menjadi cef terbaik dalam kehidupan.

Apatah lagi, ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini dalam Ramadan, pasti ada antara si bujang yang gemarkan makanan laut terutama ketam, tetapi tidak yakin untuk memasaknya kerana dianggap berisiko masakan tidak menjadi.

Dalam Wanita Metro (WM) kali ini, Chef Taufiq Halim memberitahu memasak ketam antara menu yang paling mudah untuk si bujang yang jarang ke dapur, tetapi berkeinginan untuk menikmati juadah itu ketika berbuka.

Chef Taufiq berkata, ketam adalah hidupan laut yang mudah didapati di pasaran dan jenis ketam bunga antara yang boleh dijadikan pilihan kerana ia mudah masak dan paling penting terdapat banyak isi di dalamnya.

"Untuk pembaca WM, saya ingin kongsikan resepi gulai lemak ketam cili api yang sebenarnya tidak sesusah mana untuk dimasak dan sesiapa sahaja boleh menghasilkannya termasuk orang bujang yang jarang ke dapur.

"Lebih penting kita mempunyai keberanian untuk mencuba dan jangan bandingkan dengan hasil air tangan ibu yang pastinya tiada galang gantinya," katanya.

Di bawah ini adalah resipi gulai lemak ketam cili api dikongsikan Chef Taufiq.

BAHAN - bahan. FOTO Ihsan Chef Taufiq Halim
BAHAN - bahan. FOTO Ihsan Chef Taufiq Halim

Bahan-bahan:

a) Lima ekor ketam

b) Tiga biji bawang merah

c) Tujuh batang cili api

d) Suku inci kunyit hidup

e) Setengah inci halia

f) 300ml santan pekat

g) 300ml air

h) 1/2 sudu besar garam kasar

i) Secubit perasa

Cara-cara:

a) Tumbuk bawang merah, halia, kunyit dan cili api sehingga lumat.

b) Panaskan periuk dan masukkan santan pekat dan air.

c) Kemudian masukkan bahan yang ditumbuk tadi.

d) Masukkan ketam.

e) Akhir sekali masukkan garam kasar dan perasa.

f) Masak kira-kira 10 minit.

g) Sedia dihidangkan besama nasi dan ulam-ulaman.

CHEF Taufiq Halim bersama resepi masakannya. FOTO Ihsan Chef Taufiq Halim
CHEF Taufiq Halim bersama resepi masakannya. FOTO Ihsan Chef Taufiq Halim

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 6:30 AM