DUA graduan perubatan turun padang laksana misi sukarelawan agih keperluan petugas barisan hadapan. FOTO Ihsan MYHEART
DUA graduan perubatan turun padang laksana misi sukarelawan agih keperluan petugas barisan hadapan. FOTO Ihsan MYHEART
Nurul Husna Mahmud

DALAM kesibukan orang lain menikmati waktu kualiti ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumah secara bersendirian atau bersama keluarga, dua graduan Jurusan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan Dr Atiqah Shazwani Ahad dan Dr Aimi Syakirah Baharudin memilih menjadi sukarelawan untuk membantu barisan.

Kedua-duanya bergerak dengan 'restu' pihak berkuasa menerusi Pertubuhan Jantung Kesihatan Malaysia (MyHeart) dan aktif memberi khidmat kepada 10 hospital terpilih dalam mengagihkan keperluan seperti pelindung muka, topeng muka, peralatan perlindungan peribadi (PPE), pensanitasi tangan dan pembinaan terowong sanitasi.

Meskipun dalam kesibukan PKP yang sudah masuk Ramadan, rasa penat dan letih tidak terasa apabila kedua-dua insan itu melahirkan rasa puas dapat membantu mereka yang memerlukan.

Melihat tubuh 'genit' tidak sangka kedua-dua gadis ini berupaya melaksanakan semua usaha murni yang biasanya dilakukan kumpulan sukarelawan besar.

Ini disebabkan had patuh jumlah sukarelawan yang dibenarkan untuk turun padang hanyalah dibenarkan dua orang menyebabkan laluan setiap misi sangat sukar.

DR AIMI tidak kisah kesusahan dalam membantu golongan memerlukan. FOTO Ihsan MYHEART
DR AIMI tidak kisah kesusahan dalam membantu golongan memerlukan. FOTO Ihsan MYHEART

Menurut Dr Aimi Syakirah biarpun terdapat pilihan selesa iaitu untuk bersama keluarga dalam mengharungi PKP, jiwanya terpanggil membantu apabila menyedari ramai pekerja barisan hadapan memerlukan peralatan perlindungan diri merawat pesakit.

"Saya terpanggil membantu 'frontliner' dalam bermula fasa pertama kerana melihat banyak 'frontliner' berdepan dengan ancaman Covid-19 dengan perlindungan diri yang tidak lengkap.

"Dunia mereka ketika ini merawat pesakit wabak sehingga terpaksa mengetepikan keluarga sebenarnya adalah gambaran masa depan saya juga.

"Pada saya mengapa perlu menunggu orang lain. Apatah lagi kami ini barisan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dibarisi doktor dan pakar perubatan, sewajarnya kami perlu membantu senior serta rakan tengah berjuang," katanya.

Tiada lain niat mereka melainkan berhasrat memudahkan perjalanan untuk membantu barisan hadapan biarpun berdepan cabaran.

"Susah memang susah sebab pada ketika itu semua tempat memerlukan bekalan yang sama, jadi untuk kumpulkan semua peralatan mencukupi untuk diagihkan menguji kesabaran.

MEMERIKSA stok sanitizer sebelum diagihkan. FOTO Ihsan MYHEART
MEMERIKSA stok sanitizer sebelum diagihkan. FOTO Ihsan MYHEART

BERSAMA rakan sukarelawan memberi sokongan. FOTO Ihsan MYHEART
BERSAMA rakan sukarelawan memberi sokongan. FOTO Ihsan MYHEART

"Saya terpaksa membuat banyak panggilan, bertemu ramai orang dan bergerak ke banyak tempat untuk mencari bekalan. Mulanya agak buntu tetapi kami dipermudahkan rakan atau senior yang mempunyai rangkaian hubungan baik termasuk pihak hospital untuk dapatkan bekalan.

"Mengenai pembelian ada yang bermurah hati, ada juga terpaksa terima hakikat harganya lebih mahal sekali sehingga dua kali ganda. Mujurlah kami dibantu saudara NGO lain seperti MyFundAction untuk sokongan terutama dana bagi pembelian barang," katanya.

Bercerita dorongan kepada usaha murni bersama rakan baiknya, kata Dr Aimi, senyuman dan ucapan terima kasih diterima setiap kali menyerahkan barang atau keperluan 'frontliner' buatnya lupa kepenatan sendiri.

"Mendengar cerita pengalaman mereka terutama Timbalan Pengerusi Persatuan MyHeart turut menyertai barisan hadapan sebenarnya peniup semangat kami untuk memberi lebih lagi kepada mereka.

"Mereka bercerita sendiri pengalaman tidak dapat bertemu keluarga apatah lagi ada antaranya mendapat jangkitan mungkin terfikir itu detik akhir mereka bertemu orang tersayang.

"Apabila turun padang, mereka yang kami temui masih mampu tersenyum, ternyata meminjamkan semangat itu untuk berada di samping mereka setiap hari," katanya.

Sementara rakannya, Dr Atiqah pula berkata dalam ramai melampirkan penghargaan terhadap usaha membantu barisan hadapan, segelintir memandang 'sinis' usaha dilakukan dia dan rakannya itu.

DR ATIQAH korban masa dan selesa untuk bantu keluarga. FOTO Ihsan MYHEART
DR ATIQAH korban masa dan selesa untuk bantu keluarga. FOTO Ihsan MYHEART

"Biasalah dalam orang memuji tentu ada kritikan dan kecaman. Golongan berkenaan mempertikaikan tindakan saya keluar pergi ke kawasan risiko hanya menyusahkan orang lain.

"Pada saya, bahasa mudahnya saya terangkan setiap hari apa yang dilakukan dan sebagai sukarelawan sudah biasa dengan misi, kami patuh dengan standard ditetapkan.

"Kalau perlu kami bergerak berdua, selebihnya kami lakukan berasingan kerana efisien itu penting dengan kekurangan tenaga," katanya.

Menyentuh kepada pandangan keluarga mengenai tugas sebagai sukarelawan dalam tempoh wabak, katanya dia akan memaklumkan setiap hari.

"Sebenarnya kerisauan mereka terhadap saya, tiada bezanya kerisauan saya sendiri dengan keadaan mereka.

"Keluarga saya ketika ini berada di zon paling panas iaitu di Tawau, Sabah dan memang saya minta mereka mengambil langkah berjaga-jaga.

"Kakak ipar pula sedang tunggu waktu bersalin turut bimbang untuk ke hospital kerana bimbang jangkitan wabak.

"Saya nasihat dan mujurlah selamat melahirkan anak menerusi pembedahan di hospital. Pada saya penting untuk memberi maklumat betul mengenai langkah penjagaan diri terhadap keluarga sendiri selain kepada orang ramai," katanya.

Kata Dr Atiqah lagi, keluarganya akur dengan situasi raya ini tanpa kehadirannya disebabkan tuntutan kerja amal selain tempoh kawalan pergerakan yang masih berkuat kuasa.

KELUARGA Dr Aimi sedia memahami tugasnya sebagai sukarelawan. FOTO Ihsan MYHEART
KELUARGA Dr Aimi sedia memahami tugasnya sebagai sukarelawan. FOTO Ihsan MYHEART

DR ATIQAH menjadi rujukan keluarganya di Tawau, Sabah untuk memahami mengenai wabak. FOTO Ihsan MYHEART
DR ATIQAH menjadi rujukan keluarganya di Tawau, Sabah untuk memahami mengenai wabak. FOTO Ihsan MYHEART

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 7:00 AM