PASTIKAN makanan sentiasa segar. FOTO Sumber Google
PASTIKAN makanan sentiasa segar. FOTO Sumber Google
Muhamaad Razis Ismail

PEMAKANAN penting ketika menghadapi penularan pandemik Covid-19 untuk mendapatkan nutrisi dan hidrasi yang betul.

Pengasas Dietfit Malaysia, Mohd Khairul Azuan Din berkata, mereka yang mengamalkan makan secara sihat akan mempunyai sistem pertahanan badan yang lebih kuat.

"Keadaan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar risiko mendapat penyakit kronik dan berjangkit.

"Semoga kita semua dapat bebas daripada pandemik ini secepat mungkin. Amalkan pemakanan sihat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini supaya kita dan keluarga sentiasa sihat selalu," katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa kaedah pemilihan makanan yang boleh diamalkan untuk pastikan sentiasa sihat dan cergas.

"Antara yang boleh dilakukan adalah makan makanan yang segar dan kurang proses setiap hari dengan mengambil buah buahan, sayuran, ayam, ikan, daging dan susu.

"Elakkan masak berlebihan kerana boleh menyebabkan kehilangan nutrien penting dan jangan ambil makanan dalam tin," katanya.

Beliau turut menasihatkan untuk mengambil lemak atau minyak dalam kuantiti sederhana.

MINUM sehingga tiga liter sehari. FOTO Sumber Google
MINUM sehingga tiga liter sehari. FOTO Sumber Google

"Pilih lemak tidak tepu seperti dalam ikan, avokado, zaitun, canola dan daging putih seperti ayam serta ikan berbanding daging merah. Elakkan daging yang diproses kerana tinggi lemak dan garam.

"Baca label untuk makanan rendah lemak dan elakkan lemak trans seperti dalam piza sejuk beku, makanan segera, biskut dan majerin," katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh mengamalkan minum sehingga tiga liter air sehari mengikut keperluan aktiviti seharian.

"Anda boleh perbanyakkan buahan yang tinggi kandungan air seperti tembikai, jus oren segar dan jus mangga segar.

"Namun elakkan jus buahan kordial, sirap, bergas atau yang mempunyai kafein tinggi," katanya.

Mengulas lanjut, orang ramai digalakkan mengurangkan penggunaan garam dan gula dalam masakan harian seperti kicap.

"Had garam seharian adalah kurang dari satu sudu teh.

"Pada masa sama boleh kurangkan minuman tinggi gula dan jus tinggi gula dalam botol atau kotak," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairul turut mengalakkan orang ramai supaya kurangkan makan di luar untuk elakkan jangkitan daripada orang yang tidak dikenali.

"Bagaimanapun sekiranya tiada pilihan, pastikan penjarakan sosial dijaga dan sentiasa membawa pensanitasi tangan serta sentiasa amalkan basuh tangan.

"Pakai penutup muka dan hidung ketika beratur di kedai," katanya.

MOHD Khairul Azuan. FOTO Ihsan Mohd Khairul Azuan
MOHD Khairul Azuan. FOTO Ihsan Mohd Khairul Azuan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 6:15 AM