BERSAMA kanak-kanak di perkampungan Takure, Nepal. FOTO Ihsan Noordiyana Farihah Mohamad Helmi
BERSAMA kanak-kanak di perkampungan Takure, Nepal. FOTO Ihsan Noordiyana Farihah Mohamad Helmi
Muhamaad Razis Ismail

KERJAYA sebagai pereka bentuk dalaman di sebuah syarikat terkemuka di Amerika Syarikat tidak menjadi penghalangnya untuk aktif dalam aktiviti kesukarelawan.

Malah dengan kepakaran yang dimiliki Noordiyana Farihah Mohamad Helmi, 27, turut turun padang membantu membina rumah untuk mereka yang memerlukan.

Selepas sembilan tahun di sana, kini, dia kembali ke Malaysia sejak Mac lalu untuk membantu meluaskan perniagaan keluarganya di Hulu Langat, Selangor.

Anak ketiga daripada enam beradik ini berkata, dia mula terbabit aktiviti sukarelawan selepas selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan membantu Zoo Negara pada 2011.

Katanya, pada 2015, dia menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘Happy Bank’ bersama rakan sekolah membungkus makanan raya untuk diberikan kepada masyarakat Rohingya yang menetap di Malaysia.

“Setahun selepas itu, saya babitkan diri dengan menjadi sukarelawan di Nepal dan sertai program NGO ‘Habitat For Humanity.’

“Sebenarnya saya pendiam dan pemalu. Melalui aktiviti sukarelawan saya dapat tingkatkan keyakinan diri selepas berkenalan dengan rakan baru, sekali gus menyumbang kebaikan kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, kehidupan di perantauan sejak berusia 18 tahun banyak mematangkan dirinya daripada segi pengurusan kewangan, pergaulan dan urusan seharian.

SALAH satu projek yang dihasilkan. FOTO Ihsan Noordiyana Farihah Mohamad Helmi
SALAH satu projek yang dihasilkan. FOTO Ihsan Noordiyana Farihah Mohamad Helmi

PENGALAMAN sukarelawan bantu Noordiyana Farihah tingkat keyakinan diri selain dapat kenal lebih ramai orang. FOTO Ihsan Noordiyana Farihah Mohamad Helmi
PENGALAMAN sukarelawan bantu Noordiyana Farihah tingkat keyakinan diri selain dapat kenal lebih ramai orang. FOTO Ihsan Noordiyana Farihah Mohamad Helmi

“Kepelbagaian kaum dan warna kulit di Los Angeles membuatkan saya selesa untuk bergaul dengan rakan di kampus tanpa mengabaikan nilai ketimuran.

“Mereka menerima saya seadanya biarpun berhijab dan memberi nama samaran ‘the hijab girl with scooter’ kerana saya menaiki skuter kaki di dalam kampus,” katanya.

Di Amerika Syarikat, dia sangat bertuah kerana dikelilingi pegawai Malaysia terdiri daripada Education of Malaysia Los Angeles, Tourism Malaysia Los Angeles dan Konsulat Jeneral Los Angeles yang berdedikasi.

“Mereka tidak jemu memberi nasihat dan garis panduan terutama mengenai urusan rasmi sebagai pelajar Malaysia di luar negara.

“Keakraban saya dengan keluarga ‘Malaysian Islamic Foundation of North America’ (MIFNA) serba sedikit mengubati rindu pada tanah air terutama ketika Ramadan serta sambutan Aidilfitri,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, dia juga berkerja di kampus sebagai pereka di Long Beach State University.

“Di situ, saya dilantik sebagai pembantu untuk mereka landskap kampus dan seni bina bangunan di kampus selama setahun.

MEMBINA kediaman mangsa gempa bumi di Nepal. FOTO Ihsan Noordiyana Farihah Mohamad Helmi
MEMBINA kediaman mangsa gempa bumi di Nepal. FOTO Ihsan Noordiyana Farihah Mohamad Helmi

“Melihat potensi yang dimiliki, Syarikat Glidewell Laboratories mengambil saya bekerja, sekali gus menjadi satu-satunya rakyat Malaysia berada di syarikat itu,” katanya.

Pada 2015 dia berpeluang mengikuti lawatan sambil belajar di Nepal untuk menambah pengalaman membina rumah daripada ‘earth materials.’

“Saya tinggal di sana (Nepal) selama 15 hari dan belajar dengan sukarelawan lain untuk membina bangunan termasuk pusat komuniti, sekolah, rumah anak yatim dan banyak lagi daripada bahan semula jadi termasuk blok tanah yang terdiri daripada tanah, pasir dan simen tempatan.

“Di sana kami hasilkan beg tanah yang diisi dengan tanah lembap dan tanah liat yang kemudian disusun seperti pemasangan batu bata untuk membina dinding sesebuah bangunan.

“Kepuasan yang diperoleh tidak dapat dinilai dengan wang ringgit apabila melihat kegembiraan yang terpancar di wajah mereka. Rasa lega apabila amanah dan tanggungjawab yang diberikan dapat diselesaikan,” katanya.

Tambahnya, dia turut menyertai NGO ‘Habitat for Humanity’ yang ditubuhkan sukarelawan di Amerika Syarikat untuk menyediakan rumah yang kondusif dan selesa kepada golongan yang kurang berkemampuan dalam bandar.

AKTIF dengan NGO ‘Habitat for Humanity’. FOTO Ihsan Noordiyana Farihah Mohamad Helmi
AKTIF dengan NGO ‘Habitat for Humanity’. FOTO Ihsan Noordiyana Farihah Mohamad Helmi

“NGO ini beroperasi di seluruh dunia dan membantu membina, mengubah suai dan membaiki lebih 800,000 rumah untuk melindungi lebih tiga juta orang di seluruh dunia,” katanya.

Dia bersyukur kerana keluarga sentiasa memberi sokongan dan galakan daripada segi moral serta kewangan dalam program sukarelawan yang disertainya.

“Pengalaman sukarelawan sangat membantu meningkatkan keyakinan diri selain dapat mengenali lebih ramai orang.

“Bagaimanapun, sebagai wanita saya akui sentiasa bimbang dengan keselamatan diri. Saya cekalkan hati dan sentiasa pastikan diri sentiasa bersedia daripada segi mental dan fizikal,” katanya.

Berkongsi panduan untuk menjadi sukarelawan yang baik, Noordiyana berkata, seseorang itu perlu proaktif dalam memberi pertolongan dalam memudahkan urusan semua pihak.

“Pada masa sama, kita perlu komitmen sepenuhnya dengan sentiasa menepati masa dan mengambil berat segala aktiviti yang dijalankan. Kita juga perlu sentiasa kreatif dalam memberi cadangan bernas dalam menyelesaikan masalah

“Harus berani untuk mencuba perkara baru untuk mendapat pengalaman yang dapat membantu mengembangkan aktiviti sukarelawan dan kerjaya yang diceburi,” katanya.

MEMBUNGKUS makanan untuk masyarakat Rohingya di Malaysia. FOTO Ihsan Noordiyana Farihah Mohamad Helmi
MEMBUNGKUS makanan untuk masyarakat Rohingya di Malaysia. FOTO Ihsan Noordiyana Farihah Mohamad Helmi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 7:00 AM