WAKTU makan adalah tempoh untuk bersama keluarga.
WAKTU makan adalah tempoh untuk bersama keluarga.
Hafiz Ithnin

ISU kanak-kanak yang sentiasa berdamping dengan peranti elektronik atau gajet bukan sesuatu yang baru. Malah, ada segelintir ibu bapa yang menjadikan peranti itu sebagai bahan untuk kanak-kanak 'diam' atau tidak mengganggu masa mereka.

Bagaimanapun, ada yang merasakan tindakan itu tepat kerana menjadikan mereka leka seketika daripada mengganggu tugas ibu bapa sehinggakan ia sudah menjadi rutin.

Juruterapi pekerjaan, Norliyana Raya berkata, apabila kanak-kanak sudah terbiasa untuk menjadikan peranti elektronik sebagai alat yang tidak mengganggu ibu bapa, maka mereka akan menjadi terlalu bergantung kepada perkara itu.

Beliau berkata, sebenarnya dalam zaman teknologi pada masa kini tidak boleh membiasakan anak-anak untuk menjadikan gajet sebagai teman setia mereka sehinggakan waktu makan juga terpaksa dek kerana menggunakan peranti itu sebagai elemen memujuk.

“Kadangkala kita lihat ibu bapa mengeluarkan telefon pintar atau tablet untuk memujuk anak mereka makan di kedai makan dan ia satu kaedah yang tidak sesuai kerana waktu makan antara tempoh untuk si kecil bersama ibu bapa.

“Memang kedengaran agak sukar, tetapi kita perlu mengajar atau mendidik anak dengan tegas supaya mendengar arahan terutama waktu makan. Lebih penting teknik untuk memancing si kecil itu penting, katanya.

Norliyana berkata, rumah adalah lokasi pertama untuk menjadikan anak-anak untuk lebih faham dengan kehendak atau arahan ibu bapa kerana jika dari rumah mereka dididik untuk tidak sering berdampingan dengan gajet, anak-anak akan tahu mengenainya apabila berada di luar rumah.

Katanya, ketika di rumah ibu bapa boleh menjadikan waktu makan itu sesuatu yang menyeronokkan dan bukan memberi tekanan kepada mereka.

WUJUDKAN suasana gembira anak untuk menikmati makanan.
WUJUDKAN suasana gembira anak untuk menikmati makanan.

Contohnya menyediakan makanan yang tampak menarik dari segi warna, bau dan rasa.

“Selain itu, ketika makan kita juga jangan wujudkan suasana yang tegang dengan anak-anak seperti manjakan mereka dengan memberi kata-kata lembut atau memeluk.

“Wujudkan juga suasana untuk mereka lebih mudah ketawa ketika ingin menjamu selera dengan bercerita perkara yang lucu sebelum menghidangkan makanan kerana memancing emosi kanak-kanak itu penting, katanya.

Katanya, untuk memujuk kanak-kanak sememangnya sukar, tetapi jika kita bijak seperti tidak terlalu berkasar dengan membiarkan mereka menikmati cara tersendiri menjamu selera juga adalah langkah yang boleh dilakukan.

“Kanak-kanak suka keadaan yang bersepah termasuk waktu makan, tetapi itu adalah cara mereka menikmati hidangan. Pada peringkat permulaan, biarkan dahulu mereka makan dengan cara diinginkan.

“Sebagai ibu bapa kita jangan cepat marah apabila melihat cara makan mereka yang bersepah di rumah kerana si kecil memerlukan masa untuk memahami mengenai disiplin. Mungkin seminggu kita biarkan mereka makan dengan cara mereka. Masuk minggu kedua kita tunjukkan cara makan yang betul. Objektif utama ialah tidak menjadikan mereka bergantung kepada gajet ketika makan, katanya.

Norliyana berkata, apabila anak-anak sudah diajar dari rumah makan cara yang tertib dan tidak bergantung dengan peranti elektronik, ketika makan di restoran atau di rumah orang mereka sudah tahu mengenai disiplin itu.

“Diingatkan juga sebagai ibu bapa kita jangan pula bermain gajet atau sibuk memegang peranti elektronik kerana mereka akan melihat ia adalah suatu contoh. Jangan menjadi seperti ketam, ingin ajar anak berjalan lurus, tetapi ibu dan bapanya sendiri berjalan senget, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 6:30 AM