RAMBUT mahkota wanita.
RAMBUT mahkota wanita.
Nurul Husna Mahmud

SETIAP hari rambut dikatakan gugur kira-kira 50 hingga 100 helai adalah sesuatu yang normal bagi individu.

Namun apabila menyikat rambut, jumlah rambut terlekat menjangkau segenggam, itu menandakan anda mengalami masalah keguguran rambut yang teruk.

Bagi wanita, rambut adalah ‘mahkota’ dan dilihat faktor penting dalam memberi takrifan cantik pada ketrampilan diri.

Justeru, apabila melihat rambut makin menipis sehingga menampakkan kulit rambut pastinya memberi kesan psikologi terutama kepada wanita yang mengandung.

Pengasas Caremesphere Sheryl Chai berkongsi pengalaman beliau yang mengalami masalah keguguran rambut ketika mengandung sehingga melahirkan anak.

Kata Sheryl, kebanyakan wanita ketika mengandung rambut lebih tebal dan berseri, tetapi berbeza dengan beliau menyifatkan rambut lebih kusam dan tidak bermaya.

“Ketika mengandung biasanya wanita pada keadaan hormon yang paling baik di mana estrogen tinggi dan memberi pertumbuhan baik untuk kulit, kuku dan rambut.

“Tetapi, pengalaman saya berbeza iaitu apabila mengandung masuk bulan kedua, saya perasan rambut makin banyak gugur selain tekstur kasar dan tidak bermaya.

SHERYL runsing dengan masalah rambut gugur ketika mengandung.
SHERYL runsing dengan masalah rambut gugur ketika mengandung.

“Meskipun saya suka menyimpan rambut panjang, masa mengandung anak pertama rambut gugur teruk dan saya terpaksa potong pendek.

“Saya sentiasa risau dan mula menukar syampu untuk elak rambut terus gugur. Saya terpaksa mencuba pelbagai produk dan tengok serasi ataupun tidak, katanya.

Apabila terlalu kerap menukar produk, Sheryl tidak menolak kebimbangan lain iaitu komplikasi daripada bahan kimia dalam produk penjagaan berkenaan.

“Biasalah waktu mengandung saya perlu lebih berhati-hati terhadap produk penjagaan rambut.

“Hendak warnakan rambut pun bimbang sebab khuatir bahan kimia dalam kandungan produk boleh beri kesan buruk kesihatan bayi dalam kandungan.

“Jadi saya fokus cari syampu organik, selain guna perapi dan serum untuk tingkatkan kekuatan pada akar selain menjaga kesihatan kulit kepala menerusi urutan lembut untuk lebih relaks, katanya.

Tidak dinafikan apabila wanita berada dalam keadaan stres, paras hormon androgen boleh dihasilkan dengan aktif. Itu boleh menyebabkan masalah keguguran rambut dan pada satu tahap yang serius, pakar perubatan akan memberikan pil anti-androgen.

Namun bagi situasi Sheryl, opsyen lain perlu digunakan kerana bimbang pengambilan hormon boleh nemberi komplikasi kepada bayi.

Antara disarankan doktor supaya Sheryl mengamalkan makanan berkhasiat seperti bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran serta makanan berprotein tinggi.

“Saya amalkan diet sihat iaitu makanan seimbang selain pengambilan rendah gula dan garam.

“Awal mengandung saya amalkan asid folik kerana ia menolong melindungi bayi dalam kandungan daripada kecacatan dalam sistem sarafnya (kecacatan tiub neural) seperti spina bifida.

Spina bifida berlaku apabila pelindung yang melitupi saraf tunjang bayi tidak tertutup dengan sempurna. Ini boleh menyebabkan kerosakan saraf kekal.

“Saya turut amalkan makanan tambahan khas untuk rambut iaitu biotin, niasin, zink, vitamin B6, B12, A dan E. Tidak lupa saya amalkan ‘Aether’, tablet kunyah campuran beri dan roselle untuk makanan tambahan harian, katanya mengakui masalah rambut gugur makin berkurangan apabila mengambil langkah penjagaan rapi kesihatan sepanjang mengandung sehingga bersalin.

SHERYL ketika berambut pendek.
SHERYL ketika berambut pendek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 6:30 AM