MENDENGAR muzik boleh mengurangkan kebimbangan.
MENDENGAR muzik boleh mengurangkan kebimbangan.
HM Digital

MEKANISME penyesuaian diri yang baik terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang berkuat kuasa kini diperlukan bagi mengelak kesan psikologi jangka panjang akibat pandemik Covid-19.

Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Firdaus Abdul Ghani menasihati orang ramai supaya mengekalkan rutin harian yang biasa.

Selain itu, Dr Firdaus berkata, orang ramai juga perlu mengekalkan tabiat pemakanan yang sihat dan seimbang ketika duduk di rumah.

“Sentiasa bersenam, dapatkan tidur yang cukup, kurangkan pengambilan kafein dan elakkan minuman beralkohol, rokok dan dadah.

“Sebenarnya, inilah masa yang bagus untuk berhenti merokok,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Firdaus berkata, teknik bersantai seperti menarik nafas panjang, mendengar muzik dan pengenduran otot yang progresif boleh membantu mengurangkan kebimbangan.

Katanya, mengehadkan masa untuk media dengan menghentikan menonton, membaca atau mendengar berita termasuk dalam media sosial berkaitan pandemik ini, mungkin juga memberi manfaat.

AKTIVITI santai dapat membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan tekanan berada dalam rumah sepanjang masa.
AKTIVITI santai dapat membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan tekanan berada dalam rumah sepanjang masa.

“Bagaimanapun, orang ramai juga boleh terus berhubung dengan ahli keluarga dan rakan taulan menerusi panggilan telefon atau media sosial bagi mengelakkan pengasingan sosial.

“Ini kerana merancang aktiviti bersama atau pembelajaran secara maya yang mampu menyumbang secara positif terhadap kesihatan mental,” katanya.

Bagi kanak-kanak pula, Dr Firdaus mencadangkan supaya diwujudkan jadual pembelajaran dan aktiviti santai bagi membantu golongan ini menyesuaikan diri dengan tekanan berada dalam rumah sepanjang masa.

“Jawab soalan dan berkongsi fakta mengenai Covid-19 dengan cara yang anak atau remaja ini boleh faham.

“Selain itu, beri jaminan kepada anak anda mengenai keselamatan mereka dan langkah berjaga-jaga yang perlu diamalkan,” katanya.

Sementara itu, bagi pesakit yang memerlukan bekalan ubat-ubatan secara berterusan dan mempunyai pemeriksaan susulan berjadual, Dr Firdaus berkata adalah lebih baik menghubungi hospital setempat mengenai khidmat yang masih ditawarkan kerana ia mungkin berbeza berdasarkan penetapan dan sumber yang ada.

Katanya, mereka yang tertekan sepanjang tempoh PKP, turut digalakkan menggunakan khidmat sokongan psikososial secara dalam talian yang disediakan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan.

“Khidmat psikososial disediakan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Mercy Malaysia. Orang ramai juga boleh menghubungi Befrienders, katanya.

GUNAKAN khidmat sokongan psikososial secara dalam talian yang disediakan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan.
GUNAKAN khidmat sokongan psikososial secara dalam talian yang disediakan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 6:30 AM