FIESTA Bunga Pahar baru-baru ini bantu suri rumah raih pendapatan sampingan melalui khidmat tempahan. FOTO Owee Ah Chun
FIESTA Bunga Pahar baru-baru ini bantu suri rumah raih pendapatan sampingan melalui khidmat tempahan. FOTO Owee Ah Chun
Fairul Asmaini Mohd Pilus


HULU Langat bakal menjadi hab baharu majlis perkahwinan dengan menawarkan segala kelengkapan yang diperlukan pasangan raja sehari.

Ia termasuk pelbagai pilihan lokasi untuk mengadakan majlis, perkhidmatan katering, perkhidmatan tempahan bunga pahar serta produk industri kecil dan sederhana (IKS) untuk cenderahati tanda kenang-kenangan.

Potensi Hulu Langat sebagai hab majlis perkahwinan disemarakkan lagi dengan usaha pihak Parlimen Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Serai, MPKK Kampung Batu 13 dan Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Selangor yang menganjurkan Fiesta Bunga Pahar, baru-baru ini.

Fiesta yang julung-julung kali diadakan itu turut mendapat kerjasama Persatuan Skil Wanita (PeLITA) Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Hulu Langat dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Dun Dusun Tua.

Ia menghimpunkan seramai 22 wanita yang dahulunya hanya suri rumah tetapi kini menawarkan perkhidmatan tempahan bunga pahar bagi menambahkan lagi pendapatan keluarga.

AZIAH bersama bunga pahar yang dihasilkannya. FOTO Owee Ah Chun
AZIAH bersama bunga pahar yang dihasilkannya. FOTO Owee Ah Chun

Pelbagai rekaan bunga pahar menarik menggunakan bahan seperti bunga tekap, songket, kertas, dip, renda, reben, benang kait, tali rafia, manik, bunga straw, sabun, stoking, rotan dan sebagainya ditampilkan untuk dijadikan pilihan.

Naib Presiden PeLITA, Suzana Mustafa berkata, fiesta itu diadakan bagi membantu penduduk setempat terutama suri rumah menjana pendapatan tambahan dengan memasarkan produk cenderahati perkahwinan yang bermutu tinggi dengan harga berpatutan.

Kata Suzana, 22 wanita terbabit adalah antara peserta program menggalakkan suri rumah bekerja dari rumah, ‘Skill To Income’ yang bermula awal tahun lalu.

“Peserta bukan sahaja diajar bagaimana untuk menghasilkan rekaan bunga pahar yang lebih menarik dan bermutu malah turut diajar cara untuk memasarkan ke pasaran dalam talian.

“Semua peserta juga dipantau teliti bagi memastikan apa yang dipelajari dapat membantu mereka menambahkan lagi pendapatan keluarga dan bukan hanya sia-sia,” katanya kepada Harian Metro.

PENGUNJUNG melihat  bunga pahar yang dipamerkan. FOTO Owee Ah Chun
PENGUNJUNG melihat bunga pahar yang dipamerkan. FOTO Owee Ah Chun

Peserta terbaik program berkenaan, Aziah Ibrahim, 70, bersyukur kerana minat dan kemahirannya membuat bunga pahar kini memberi pulangan yang memberangsangkan.

Aziah yang juga peserta tertua program itu berkata, sebelum ini dia hanyalah suri rumah dengan sedikit kemahiran membuat bunga pahar secara tradisional.

Katanya, selepas mempelajari pelbagai rekaan moden dari program berkenaan, bunga pahar yang dihasilkannya lebih pelbagai serta mengikuti aliran semasa.

“Dulu bunga pahar yang makcik hasilkan biasa-biasa sahaja, sekarang ada rekaan dan motif tersendiri.

“Selain menerima tempahan penduduk setempat, perkhidmatan yang makcik tawarkan juga sudah boleh didapati menerusi atas talian iaitu menerusi laman Facebook.

“Daripada hanya suka-suka, kini ia menjadi pendapatan tambahan dan setiap kali musim cuti sekolah, memang tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan,” katanya yang pernah mendapat tempahan bernilai ribuan ringgit ketika musim kenduri.

Sementara itu, fiesta berkenaan juga diadakan bagi mengekalkan tradisi Melayu menerusi pameran, jualan serta bengkel kemahiran kreatif.

Ia secara tidak langsung membantu rantaian ekosistem perniagaan berkaitan majlis perkahwinan di Hulu Langat dan pada masa sama, turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi di kawasan terbabit.

MENARIK antara rekaan bunga pahar yang dihasikan usahawan wanita di Hulu Langat. FOTO Owee Ah Chun
MENARIK antara rekaan bunga pahar yang dihasikan usahawan wanita di Hulu Langat. FOTO Owee Ah Chun

ANTARA rekaan terkini bunga pahar yang sesuai dijadikan pilihan oleh bakal raja sehari. FOTO Owee Ah Chun
ANTARA rekaan terkini bunga pahar yang sesuai dijadikan pilihan oleh bakal raja sehari. FOTO Owee Ah Chun

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 7:01 AM