AIS melihat yoga semakin mendapat perhatian wanita yang mempunyai gaya hidup yang sibuk. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
AIS melihat yoga semakin mendapat perhatian wanita yang mempunyai gaya hidup yang sibuk. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Oleh Hafiz Ithnin

SENAMAN yoga sememangnya antara aktiviti kesihatan yang mempunyai pengikutnya tersendiri. Malah, tidak dinafikan kebanyakan wanita yang sibuk memilih senaman itu sebagai aktiviti untuk mengeluarkan peluh.

Meskipun senaman yoga seakan-akan aktiviti akrobatik dan mengerikan bagi mereka yang tidak biasa dengannya namun setiap pergerakan dalam posisi itu mempunyai kesan baik kepada pelakunya.

Jurulatih Yoga, Ais Rashid berkata, perkara itu benar kerana setiap individu yang melakukan aktiviti yoga perlu memahami kemampuan tubuh badan mereka untuk melakukan pelbagai posisi.

Beliau berkata, sekiranya pada peringkat awal satu posisi itu dilihat sukar untuk dilakukan, tetapi dengan latihan yang betul, ia dapat dilaksanakan dengan mudah dan lebih penting selamat.

“Senaman yoga mempunyai banyak kelebihan kepada individu yang melakukannya tanpa mengira lelaki atau perempuan kerana ada yang beranggapan ia lebih sinonim dengan wanita.

“Ketika ini, saya melihat ramai wanita berkerjaya, terutama yang mempunyai keluarga memilih untuk melakukan senaman yoga kerana ada banyak manfaatnya,” katanya.

Ais berkata, senaman yoga mampu memberi kesan yang baik kepada tubuh badan dan bukan semata-mata untuk menampilkan posisi seakan akrobatik sahaja.

Katanya, bagi sesetengah orang, untuk mendapatkan tidur yang cukup adalah sukar terutama bagi mereka yang menghidapi insomnia. Namun, senaman yoga dapat meningkatkan kualiti tidur yang baik.

YOGA dapat membantu menenangkan fikiran dan melepaskan tekanan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
YOGA dapat membantu menenangkan fikiran dan melepaskan tekanan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

DENGAN memahami pergerakan badan, peminat yoga boleh melakukan pelbagai posisi. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
DENGAN memahami pergerakan badan, peminat yoga boleh melakukan pelbagai posisi. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

YOGA mempunyai pelbagai posisi yang baik untuk kecergasan badan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
YOGA mempunyai pelbagai posisi yang baik untuk kecergasan badan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

“Perkara ini kerana masalah tidur berikutan otak berfungsi dengan lebih kerap sehingga tidak dapat direhatkan. Di dalam senaman ini ada pelbagai posisi yang boleh merehatkan badan pelakunya seperti ‘child pose’ yang dapat merehatkan minda dan melegakan tekanan dalam badan.

“Posisi ‘chilid pose’ ini juga memerlukan individu itu menarik nafas panjang dan bertenang. Ia sekali gus membantu melancarkan peredaran darah dalam tubuh dengan baik,” katanya.

Jelasnya, selain itu, senaman yoga jika dilakukan secara berterusan boleh membantu meningkatkan kemampuan paru-paru berfungsi dengan baik kerana individu yang melakukannya perlu mempunyai teknik pengawalan pernafasan untuk melakukan pelbagai posisi senaman.

“Tambahan, senaman yoga juga boleh menguatkan otot dan tulang belakang jika ia dilakukan dengan cara yang betul seperti contoh ketika duduk atau berdiri. Sekali gus membantu anda mendapatkan kedudukan badan yang betul.

“Senaman yoga juga dapat meningkatkan fleksibiliti, ada antara kita yang mungkin merasa badan kaku dan keras. Namun, jika senaman ini dilakukan secara berterusan anda dapat merasai perubahannya sendiri apabila duduk secara bersila dalam tempoh lama,” katanya.

Ais berkata, kebanyakan individu mungkin tidak mengetahui bahawa posisi senaman yoga juga boleh dilakukan untuk menangani masalah migrain menerusi posisi ‘downward dog pose’ yang boleh meningkatkan aliran darah ke otak, sekali gus merehatkan tekanan di bahagian kepala.

“Bagaimanapun, ia perlu dilakukan secara berterusan dan paling utama mendapatkan latihan yang betul bagi mengelakkan posisi dilakukan tepat dan tidak memberi kecederaan.

“Selain itu, dengan melakukan senaman ini, wanita yang inginkan bentuk badan menarik juga boleh mendapatkannya kerana meskipun senaman ini kelihatan lembut, namun ia memberi kesan yang mendalam kepada otot dan pembakaran lemak,” katanya.

Jelasnya, mereka yang aktif dalam senaman yoga juga akan secara automatik menjaga pemakanan bagi memastikan dapat melakukan pelbagai posisi. Sekali gus menjadikan individu itu menjalani gaya hidup yang sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 6:45 AM