DR Tan
DR Tan
Siti Zarinah Sahib


SECARA realitinya wanita lebih kerap terdedah kepada kesakitan kronik disebabkan kerja harian yang dilakukan mereka. Misalnya membuat pengulangan kerja rumah setiap hari menyebabkan kesakitan pada pinggang, belakang dan bahu.

Bagi wanita yang sudah menopaus pula perubahan hormon memberi kesan kepada keadaan tulang. Ini turut terjadi kepada wanita yang baru sahaja melahirkan cahaya mata. Kekerapan menyusu, tidur dalam keadaan tidak betul turut menjadi faktor utama mengapa wanita lebih terkesan berhadapan dengan kesakitan kronik berbanding lelaki.

Menurut Naib Presiden Pertubuhan Perubatan Sukan dan Senaman Malaysia, Dr C H Tan, sakit kronik sering disalah anggap sebagai sakit yang mungkin tiada penawar atau jalan penyelesaian untuk sembuh.

Namun sebenarnya adabeberapa tahap dalam sakit kronik dan ia masih boleh diatasi dengan ubat-ubatan dan senaman.

Sakit kronik boleh didefinisikan sebagai sakit yang berlangsung sekurang-kurangnya selama dua minggu dengan kesakitan itu berasa tajam dan membuatkan muka anda kelihatan lemah, ia menyerang pada bila-bila masa dan tanpa sebab yang jelas.

DR CHUA menyarankan wanita mengurangkan keletihan dengan berehat sebentar.
DR CHUA menyarankan wanita mengurangkan keletihan dengan berehat sebentar.

“Sakit kronik boleh terjadi kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana bahagian badan. Kesannya, ia boleh mengurangkan kekuatan dan ketahanan fleksibiliti. Beberapa jenis sakit kronik yang paling biasa terjadi adalah sakit kepala, sakit belakang, arthritis dan psikogenik,” katanya yang bercakap ketika sesi perbincangan mengenai sakit kronik anjuran Pusat Rawatan Yap Chan Kor (PRYCK) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Tan lagi, kesakitan kronik biasanya disebabkan oleh kecederaan awal pada lengan belakang atau otot yang seakan seperti ditarik.

Sakit kronik berkembang apabila urat saraf menjadi rosak, namun ia tidak dapat difahami dengan baik kerana ramai orang mengambil mudah mengenainya dan menganggap ia akan hilang.

Bagi juruterapi fisio Dr Chua Siew Kuan, dia amat menyarankan pesakit kronik mendapatkan pemeriksaan di pusat rawatan sepatutnya selain melakukan fisioterapi dengan betul.

“Oleh itu saya sangat menyarankan pesakit melakukan senaman sebagai rawatan pertama. Namun ia bergantung kepada tahap kesihatan anda,” katanya.

Sekiranya seseorang mengalami sakit kronik, mereka seharusnya berjumpa doktor bagi membuat pemeriksaan. Selain itu pesakit boleh mengambil paracetamol untuk mengurangkan rasa sakit secara sementara.

“Sekiranya kesakitan masih tidak berkurangan selepas tiga bulan, pesakit perlu berjumpa pakar. Rawatan alternatif juga boleh diamalkan untuk mengatasi sakit kronik ini. Cuba lakukan beberapa teknik senaman yang boleh membantu mengurangkan kesakitan ini,” kata Dr Chua pada sesi perbincangan berkenaan.

ANTARA senaman yang boleh dilakukan kalangan ibu di rumah.
ANTARA senaman yang boleh dilakukan kalangan ibu di rumah.

CARA ELAK SAKIT BELAKANG


Benarlah kata orang, mencegah lebih baik daripada mengubati. Apabila mengalami sakit belakang, segala pergerakan menjadi terbatas dan tentu saja menjejaskan tugas harian.

Antara langkah untuk mengelakkan sakit belakang adalah:

l Pastikan postur badan yang betul. Apabila duduk atau berdiri, pastikan badan tegak. Ia juga akan menampakkan anda sebagai insan yang tertib.

l Elakkan mengangkat barang berat. Jika perlu, bengkokkan lutut dan tegakkan belakang. Melalui cara ini, otot kaki yang akan melakukan banyak kerja dan tidak memindahkan beban kepada otot pinggang.

l Kerap bersenam. Ini adalah cara terbaik untuk menguatkan tulang dan otot.

l Amalkan pemakanan sihat untuk mencegah peningkatan berat badan. Kegemukan khususnya di bahagian pinggang boleh meningkatkan risiko sakit belakang kerana pusat graviti akan berpindah ke kawasan pinggang.

l Pelajari posisi tidur yang sesuai untuk anda khususnya bagi individu yang mudah alami sakit belakang. Boleh bertanya kepada doktor.

l Elakkan memakai kasut tumit tinggi terutama tumit halus. Seeloknya pakai kasut dengan tumit setinggi 2.5 sentimeter (satu inci).

l Elakkan memakai pakaian terlalu ketat terutama celana denim kerana ia boleh mengganggu pergerakan seperti duduk, berjalan, membongkok dan mengangkat barang.

l Urus tekanan. Mungkin kita tidak sedar tekanan juga boleh memberi kesan kepada kekuatan badan. Biasanya apabila dalam keadaan tertekan, badan dan otot juga dalam keadaan tegang.

SENAMAN menggerakkan kepala mampu mengurangkan masalah kesakitan kronik.
SENAMAN menggerakkan kepala mampu mengurangkan masalah kesakitan kronik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 6:05 AM