IBU bapa membantu mengembangkan kemahiran motor anak-anak.
IBU bapa membantu mengembangkan kemahiran motor anak-anak.
Siti Zarinah Sahib


MASIH ingatkah anda permainan pada zaman dahulu seperti masak-masak, police entry, galah panjang, baling selipar dan teng-teng yang menjadi aktiviti wajib si kecil di kampung pada setiap petang. Keseronokan bermain bersama kawan-kawan memberikan banyak kebaikan yang tidak dapat dilihat menggunakan mata kasar.

Dalam seronok bermain kita membina persefahaman, kerjasama, semangat setia kawan, saling memberi sokongan, memupuk kreativiti dan bersaing secara sihat.

Namun perubahan zaman dengan perkembangan teknologi maklumat menyebabkan permainan tradisional semakin dilupakan.

Menurut Pengasas Dr Nurhaya Lactation Centre, Dr Nurhaya Yacob, penghasilan telefon genggam dengan teknologi pintar seakan mengambil alih peranan ibu bapa. Akibatnya anak-anak mula disogokkan dengan fungsinya yang dikatakan mampu mendidik.

“Pada masa sekarang ramai ibu berkerjaya menyebabkan kebolehan membeli semakin besar. Ibu mula memberikan telefon pintar kepada anak bagi menggantikan tugas mereka yang sibuk menguruskan keluarga. Akibatnya ia mendatangkan kesan negatif dalam jangka panjang seperti tidak fokus dan mudah memberontak apabila keinginan tidak dipenuhi,” katanya.

Selain itu, dalam keadaan persekitaran yang tidak selamat, anak-anak sudah tidak dibenarkan bermain di luar rumah. Keselamatan anak semakin ditekankan apabila Malaysia digemparkan dengan berbagai kes culik dan kanak-kanak hilang sehingga bermain di taman permainan sudah tidak menjadi pilihan lagi.

“Anak-anak mula disuruh bermain di dalam rumah dan dibekalkan dengan gajet. Pada masa sama ibu kerap berpesan supaya tidak mengotorkan dan menyepahkan rumah dengan alasan letih mahu mengemas. Akhirnya anak-anak hanya bermain menggunakan telefon,” katanya.

Tanpa sedar kanak-kanak yang didedahkan terlalu awal dengan gajet akan hilang keupayaan untuk berkomunikasi. Ini kerana mereka hanya memegang, melihat dan mendengar, tetapi tidak bercakap.

Walaupun ramai beranggapan anak mereka bijak kerana sudah boleh mengenal ABC menerusi telefon pintar namun dalam dunia sebenar anak-anak yang bijak bukan sekadar mengenal huruf sebaliknya beradab, menghormati orang tua, tahu memberi salam, memberikan interaksi dua hala dan menunjukkan ekspresi wajah.

Tambah Nurhaya, dia yang sering memberikan penekanan pentingnya penyusuan badan berasa sangat kecewa seandainya ibu memberikan perhatian terhadap penyusuan susu ibu sejak anak dilahirkan sehingga berusia dua tahun, tetapi pada masa sama mendedahkan si kecil kepada gajet sejak awal usia.

“Sudah pasti berlaku kepincangan dalam memberikan pendidikan awal kanak-kanak. Komunikasi pula bukan sekadar bercakap, tetapi berapa banyak perbendaharaan kata yang didengar dan disimpan. Sehingga sampai satu masa anak-anak ini akan mengeluarkan kembali apa yang disimpan mereka secara tidak sedar.

“Sebagai contoh apabila anak-anak belajar menerusi tablet, mereka hanya melihat gambar sedangkan perkataan seperti ‘itu pisang, ini buah’ hanya diperoleh menerusi komunikasi dua hala antara ibu dan anak,” katanya.

CONTOH permainan yang kotor dan bersepah.
CONTOH permainan yang kotor dan bersepah.

BERMAIN KOTOR>

Menciptakan permainan kotor dan bersepah menggunakan kaedah sensori, jelas Dr Nurhaya, konsep permainan ini dihasilkan bagi memberi masa dan ruang kepada anak-anak bermain bersama ibu bapa pada hujung minggu.

“Sebenarnya sejak dahulu datuk nenek kita sudah menciptakan permainan yang memberikan pelbagai faedah. Ia bukan sekadar bermain kotor seperti main pondok-pondok, memasak dan berperang sebaliknya ia mendedahkan anak-anak kepada pelbagai kemahiran seperti bersosial, berkomunikasi dan menunjukkan ekspresi,” katanya.

Tambahnya, aktiviti yang membabitkan lapan tunjang utama ini dijalankan di pusatnya di Pulau Pinang dengan kehadiran anak-anak sekecil usia dua tahun.

Sebagai contoh, permainan membasuh buah-buahan dan membuat doh mampu merangsang kemahiran motor halus apabila anak-anak dapat memegang buah-buahan, sekali gus mengenali jenis sayuran.

“Gerakan motor halus memegang span ketika membasuh sayuran membantu si kecil memegang pensil dan peralatan menulis kelak. Ia juga membantu anak dalam memegang sudu dan garpu serta makan menggunakan tangan. Walaupun ia bersepah dan kotor namun ini konsep yang kami mahu perkenalkan iaitu belajar melalui bermain,” katanya.

Jelasnya lagi, pada mulanya anak-anak yang tidak biasa akan memperlihatkan rasa geli, tetapi lama-kelamaan apabila berkumpul bersama rakan mereka mula berkawan dan menunjukkan minat.

Anak pada masa sekarang berbeza dengan anak zaman lalu. Mereka tidak belajar menerusi buku sebaliknya melalui pelbagai sensori seperti merasa, menghidu dan melihat.

“Menerusi kaedah main kotor dan bersepah ini, mereka banyak memerhati, membina, mengembara, berimaginasi, menemukan hal-hal baru, mengolah dan malah bergembira.

“Pada awalnya tidak ramai yang menghargai permainan seumpama ini kerana ibu bapa beranggapan anak mereka tidak suka bermain permainan seumpama ini. Namun, apabila si anak sudah gembira bersama anak-anak lain, ibu bapa mula menukar anggapan mereka,” katanya.

Ini kerana menerusi belajar sambil bermain ibu bapa dapat mengetahui kecenderungan anak-anak, ini akan memudahkan lagi penjaga menyampaikan arahan mahupun menetapkan teknik pendidikan kepada anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 6:10 AM