Siti Nadirah Hafidzin


LIHATLAH di sekeliling anda, rakan sekerja mahupun ahli keluarga sama ada berusia mahupun kanak-kanak, amat sukar bertemu individu yang langsung tidak mengambil snek dalam diet harian.

Tentu saja masing-masing mempunyai senarai snek kegemaran sendiri tidak kiralah buah-buahan, coklat, kekacang, keropok mahupun pelbagai jenis pastri yang kebiasaannya diambil pada bila-bila masa.

Ada mengakui mempunyai bekas simpanan snek khas di pejabat yang biasanya dikongsi bersama rakan sekerja manakala di peti sejuk rumah juga dipenuhi dengan aneka snek boleh dimakan pada bila-bila masa.

Hakikatnya walaupun digemari ramai, masyarakat tetap menganggap pengambilan snek adalah kesalahan atau tabiat tidak baik walhal ia sebenarnya dapat menambah vitamin, mineral dan nutrien diperlukan tubuh sekali gus menggembirakan emosi serta minda individu.

Walaupun sudah menghampiri era 2020, masih ramai yang tidak tahu pengambilan snek bernutrisi dengan cara betul mampu mengawal tabiat makan berlebihan di samping mengekalkan diet seimbang.

Mengupas mengenai penyelidikan terhadap pemakanan berhemah termasuk pengambilan snek, Ketua Program Nutrisi dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Gunaan Terapan Universiti UCSI, Dr Satvinder Kaur berkata, pengambilan snek yang baik dapat meningkatkan tenaga dan membantu mengawal keseimbangan diet yang diperlukan badan.

“Prinsip itu bukan saja membantu semua orang (dewasa dan kanak-kanak) memilih snek yang lebih sesuai serta memenuhi cita rasa masing-masing.

“Pengambilan snek secara berhemah itu dapat mendorong kepada hubu­ngan yang lebih baik sekali gus mengawal kita daripada makan secara berlebihan terutama pada waktu makan utama,” katanya.

Menurutnya, penyelidikan itu juga membuktikan kesedaran pengambilan snek yang betul dapat mengawal nafsu makan seseorang supaya tidak terjebak untuk mengambil satu-satu makanan hanya kerana tertarik dengan pembungkusan cantik dan iklan menarik.

“Walaupun banyak program kesihatan dijalankan mengenai pengura­ngan makanan ringan atau snek, permintaan makanan ringan yang tinggi di pasaran menunjukkan ia tetap menjadi pilihan masyarakat negara ini kerana dikatakan mampu memberi elemen kesihatan dan keseronokan.

“Siapa kata tidak boleh ambil snek? Boleh makan apa saja snek termasuk ais krim mahupun biskut namun perlu beringat. Sebaik-baiknya ambil ais krim yang berprotein tinggi dan rendah lemak. Pilih biskut yang lebih nipis, kurang kandungan gula, garam dan lemak,” ujarnya.

Snek yang diambil pada masa bersesuaian boleh memberikan tenaga diperlukan tubuh. Ia perlulah diambil sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu makan utama.

DR Satvinder. FOTO: Nik Hariff Hassan
DR Satvinder. FOTO: Nik Hariff Hassan

LEDAKAN TENAGA

Dr Satvinder berkata, majoriti masyarakat kini mengamalkan pemakanan snek beberapa kali dalam kehidupan seharian.

“Snek mampu memberi ledakan tenaga yang diperlukan dalam menjalani rutin harian dan kebiasaannya rakyat Malaysia akan mengambil snek sekitar enam atau tujuh kali dalam sehari.

“Lazimnya kekerapan mengambil snek ini berpunca daripada kesibukan harian individu terbabit selain gaya hidup kurang sihat. Bukan tidak boleh ambil snek, cuma

perlu berpada dan ambil secara berhemah untuk mendapat kesan yang diinginkan,” katanya.

Katanya, sikap menikmati snek itu adalah metamorfosis atau lebih lazim disebut sebagai ‘keseronokan bersalah’.

Persoalannya, bagaimana hendak mengambil snek secara berhemah? Perkara utama yang perlu diketahui ialah jumlah ideal snek yang hendak diambil.

“Sesuai dengan namanya, snek tidak boleh diambil terlalu banyak. Perlu ada had iaitu dalam kuantiti yang kecil sahaja.

“Apabila makan, cuba fokus kepada rasa makanan. Makan perlahan-lahan dan nikmati rasanya. Anda perlu berlatih untuk makan secara berhemah begini kerana ia akan menggalakkan kita memberi tumpuan terhadap makanan yang diambil.

“Prinsip ini bukan saja membantu kita untuk fokus terhadap snek yang dipilih, malah menjawab persoalan mengapa boleh memilih snek untuk dimakan,” katanya ketika ditemui selepas sesi ‘SMRter Snackier’ yang mengupas mengenai makan snek secara berhemah anjuran Mondelez, baru-baru ini.

Sesi interaktif itu dianjurkan untuk memperkasa masyarakat untuk menikmati snek dengan betul tanpa perlu memilih antara snek atau makan secara sihat.

Tiga panel diketuai Pengurus Nutrisi dan Komunikasi Strategik Mondelez Antarabangsa Pei Gee Chew, Dr Satvinder dan selebriti yang juga seorang bapa Nash Idrus mengupas mengenai pengambilan snek berhemah.

PANDUAN PILIH SNEK

1. Pilih snek yang rendah lemak, gula dan garam.

2. Pilih daripada kumpulan karbohidrat kompleks, tinggi serat, vitamin dan mineral.

3. Rancang pemakanan harian mengikut panduan piramid makanan untuk seimbangkan antara snek dan sajian utama

4. Ambil snek hanya apabila lapar dan bukannya apabila rasa bosan.

5. Hadkan pengambilan snek kurang 250 kcal setiap kali ia diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 5:30 AM
SESI ‘SMRter Snackier’ mengupas mengenai makan snek secara berhemah
SESI ‘SMRter Snackier’ mengupas mengenai makan snek secara berhemah