ANAK dibiasakan dengan kemewahan dan kebendaan membentuk sindrom ‘anak-anak kecil’. FOTO Syakirah Azhar.
ANAK dibiasakan dengan kemewahan dan kebendaan membentuk sindrom ‘anak-anak kecil’. FOTO Syakirah Azhar.
Yusliza Yakimir Abd Talib


KANAK-KANAK biasanya menjadikan objek material untuk mencari keseronokan misalnya bermain alat mainan yang digemari.

Bagaimanapun, keadaan menjadi kritikal apabila kanak-kanak ini dibesarkan dan dimanjakan dengan barangan yang dijadikan ganjaran sebagai ganti kasih sayang dan perhatian.

Keadaan ini biasanya berlaku apabila ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya dan tiada masa untuk bermain atau melakukan aktiviti menyeronokkan bersama. Lantas segala bentuk material seperti gajet, permainan mahal dan wang diberikan bagi ‘menggantikan’ masa ketiadaan mereka.

Keadaan dipanggil sindrom ‘anak-anak kaya’. Pun begitu, sindrom ini tidak tidak hanya berlaku dalam keluarga berada, bahkan turut berlaku dalam kalangan keluarga kelas pertengahan yang menggunakan material ini sebagai kaedah membesar dan mendidik anak.

Kanak-kanak yang terjejas oleh sindrom ini sering menunjukkan tingkah laku ‘rosak’ yang percaya bahawa dia berhak mendapat segala-galanya tanpa perlu meminta.

Mereka cenderung menjadi kanak-kanak malas yang mempunyai toleransi yang sangat rendah terhadap kekecewaan. Anak-anak ini tidak tahu bagaimana menguruskan perasaan jika tidak diberi apa yang diminta bahkan turut cenderung menjadi ganas dan menunjukkan kemarahan apabila kehendak mereka tidak dipenuhi.

Menurut Jurulatih Keibubapaan dan Kanak-kanak Neuro Linguistik Program (NLP) Dr Noor Atiyah Azmi, ciri-ciri kanak-kanak atau remaja dengan sindrom ini antaranya apabila mereka mula berasakan diri layak mendapat apa saja, malas berusaha dan rasa diri lebih hebat daripada orang lain kerana hidup didefinisikan oleh material.

Katanya, sindrom ini boleh berlaku tanpa mengenal latar belakang dan ‘anak-anak kaya’ ini dicipta melalui karakter keibubapaan, bukan menerusi sosio ekonomi sesebuah keluarga.

Anak-anak dalam kelompok ini menganggap tanda kasih sayang adalah apabila diberikan barangan, telefon pintar, komputer riba, gajet, pakaian atau mainan atas permintaan mereka.

“Keadaan ini boleh berkembang sejak anak masih kecil akibat ibu bapa salah konsep iaitu menggantikan ketidakhadiran mereka dengan material.

“Selain itu, ia juga berlaku disebabkan ibu bapa berasa kekosongan dalam diri, tidak biasa merasai dan memberi kasih sayang dan perhatian,” katanya.

Dr Noor Atiyah yang juga Pengasas Ceelik Family Centre berkata, ibu bapa boleh memainkan peranan untuk mengelakkan perkara ini berlaku dengan memberi fokus kepada mencipta pengalaman dan memori untuk anak menerusi aktiviti bersama.

Katanya, ibu bapa juga perlu ada minda ‘dia ok’ jika anak tidak mendapat barangan material kerana ia bukan tanda bahagia selain fokus untuk membangkitkan jiwa anak-anak serta tujuan hidup.

Anak-anak hari ini sebenarnya tidak begitu berbeza dengan anak-anak masa lalu. Malah dalam hati mereka mempunyai keinginan yang sama seperti kanak-kanak 20 tahun yang lalu - mereka mahu bermain, ketawa dan berinteraksi dengan alam semula jadi dan haiwan.

Mereka juga mahu disayangi dan kehadiran ibu bapa memberi anak-anak ini keyakinan serta rasa bahagia yang tidak boleh ditukar ganti.

TINDAKAN SEGERA

Sekiranya anak didapati mula mengalami tanda sindrom ini, ibu bapa perlu:

• Analisis situasi dan membuat pelan tindakan.

• Berjumpa dengan pakar psikologi atau kaunseling.

• Berikan masa untuk perubahan berlaku.

• Gantikan dengan kebaikan

• Terus menerus tekad memperbaiki keadaan dengan usaha

PUPUK RASA SYUKUR

Ada banyak yang boleh ibu bapa lakukan untuk menanamkan rasa syukur dalam jiwa anak-anak dan menghargai rezeki yang mereka peroleh:

• Ibu bapa perlu sentiasa ringankan mulut mengucap rasa syukur di depan anak

• Biasakan dari kecil, menyebut dan memuji nama Allah sebagai pemberi rezeki.

• Tekankan konsep rezeki datang daripada Allah.

• Tekankan konsep usaha, doa dan tawakal.

• Biasakan menyebut kenikmatan dan kesyukuran bersama-sama.

• Dedahkan anak-anak kepada golongan yang lebih miskin dan serba kekurangan.

• Bawa anak mengunjungi rumah anak yatim atau baca akhbar yang menceritakan kemiskinan kanak-kanak lain bersama-sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 5:15 AM