Intan Mas Ayu Shahimi


RAMADAN ini tentu ramai yang merancang untuk mengurangkan berat badan atau setidak-tidaknya mendapatkan kembali perut yang kempis. Objektif utama, sudah pasti untuk tampil anggun berbeza pada hari raya.

Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang mahu mengenakan kebaya dan kurung moden. Sedikit perubahan pada saiz pinggang, lengan dan pinggul, memberi seribu makna serta kegembiraan.

Jalan pintas yang selalu kita dengar lebih kepada hasutan untuk meninggalkan pengambilan nasi. Kata jurulatih kecergasan dan pemakanan sihat AF Fitness Consultancy, Siti Farah Abd Rahman, setiap individu masih boleh mendapatkan berat badan ideal dengan meneruskan pengambilan nasi setiap hari.

"Sebenarnya, nasi tidak mempengaruhi kenaikan berat badan jika diambil dalam kuantiti yang betul. Sepanjang Ramadan ini, kita masih boleh berbuka dengan nasi, tetapi hidangan lauk haruslah diberi perhatian khusus.

"Umpamanya, apabila tiba waktu berbuka, ambillah kurma dan buah terlebih dulu. Tembikai antara pilihan yang baik untuk membantu menghidrat kembali tubuh selepas seharian berpuasa.

"Elakkan makan terlalu banyak kuih-muih atau sajian sampingan. Memadai dengan makan nasi bersama lauk ringkas seperti telur, ikan, ayam atau daging. Lengkapkan hidangan dengan pengambilan sayur dan buah-buahan," katanya.

Jelas Siti Farah, pemakanan yang betul dalam kuantiti yang disarankan mempengaruhi turun-naik berat badan. Jadi, tidak perlulah menyeksa diri dengan berpantang nasi, semata-mata untuk kurus.

CARA membuat overnight oat. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam
CARA membuat overnight oat. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam

"Untuk bersahur pula, memadai dengan mengambil emping oat susu bersama buah-buahan. Hidangan ini sesuai untuk mereka yang menjalani rutin harian yang sibuk. Ia boleh disediakan lebih awal, iaitu sebelum kita masuk tidur.

"Selain sahur, hidangan mudah ini juga sesuai dijadikan sarapan. Ia adalah hidangan lengkap kerana mengandungi karbohidrat (oat), protein (susu) dan serat (buah). Buat pada sebelah malam dan simpan dalam peti sejuk.

"Apabila tiba waktu sahur, ia boleh terus dinikmati. Jika hendak manis, tambah sedikit kurma. Paling penting, gunakan emping oat supaya hidangan lebih enak dan tidak berlendir. Pilih susu segar atau rendah lemak, manakala pemilihan buah bergantung kepada jumlah kalori yang hendak diambil," katanya.

Berikut dikongsikan resipi emping oat susu sebagai panduan:

BAHAN-BAHAN

- 3 sudu besar emping oat (maksimum 5 sudu besar)

- 200ml susu segar/ rendah lemak

- 1/2 biji pisang

- 6 ulas beri biru

- 2 ulas strawberi

Cara-caranya

1. Masukkan emping oat ke dalam gelas.

LANGKAH 1
LANGKAH 1

2. Tuang 200ml susu.

LANGKAH 2
LANGKAH 2

3. Hiris pisang dan masukkan ke dalam gelas.

LANGKAH 3
LANGKAH 3

4. Tabur beri biru.

LANGKAH 4
LANGKAH 4

5. Belah strawberi kepada dua bahagian dan masukkan ke dalam gelas.

LANGKAH 5
LANGKAH 5

6. Biar semalaman sebelum dimakan.

SITI Farah bersama emping oat susu yang sudah siap. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
SITI Farah bersama emping oat susu yang sudah siap. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 4:30 AM