GULAI kari ikan kerisi.
GULAI kari ikan kerisi.
Siti Nadirah Hafidzin

Ada pendapat mengatakan memasak perlukan minat yang digabungkan dengan kesungguhan terutama bagi menghasilkan juadah lazat dan menepati selera ramai.

Atas faktor itu, mungkin ada sesetengah individu termasuk wanita yang kurang yakin untuk menyediakan hidangan kepada tetamu.

Hakikatnya, memasak bukan sekadar perlukan minat terutama dalam menghasilkan juadah harian, faktor paling utama adalah usaha dan perasaan ingin mencuba selain kesungguhan untuk belajar.

Buat permulaan, carilah juadah harian terutama jenis lauk-pauk yang mudah disediakan tanpa menggunakan banyak bahan. Melalui cara ini, sedikit demi sedikit boleh memupuk keyakinan diri.

Menyentuh mengenai penyediaan juadah harian terutama lauk-pauk lazat sebagai pembuka selera, penjawat awam yang juga ibu kepada tiga cahaya mata, Rohaidah Hashim berkata, ada pelbagai jenis menu mudah disediakan serta tidak memerlukan masa yang lama.

Menurutnya, antara menu paling mudah disediakan selain lazat untuk dijadikan hidangan makan tengah hari atau malam seisi keluarga adalah gulai kari ikan kerisi.

"Mengapa hidangan ini perlu dijadikan antara pilihan? Jawapannya mudah iaitu ia lazat, sesuai dimakan tanpa mengira usia termasuk kanak-kanak dan bahannya senang didapati.

"Jenis ikan bergantung kepada kesukaan masing-masing, anda boleh menggantikan ikan kerisi dengan ikan kembung, cencaru, tenggiri, merah atau apa saja jenis ikan kegemaran," katanya.

Menurutnya, mungkin ramai yang sudah mengetahui cara penyediaan menu ini namun ia bergantung kepada teknik atau resipi masing-masing kerana tentu saja ada perbezaan.

"Anda boleh memilih menggunakan santan atau susu cair untuk menyediakan kuah namun apa yang penting kuahnya jangan pecah minyak. Penggunaan api perlu sesuai iaitu tidak boleh terlalu besar bagi menghasilkan kuah yang lazat dan cantik.

"Jika tidak mahu gunakan santan atau susu cair boleh juga digantikan dengan air dan pastinya ia lebih berkhasiat kerana kurang lemak," ujarnya.

Rohaidah berkongsi langkah demi langkah menghasilkan menu gulai kari ikan kerisi.

BAHAN-bahan.
BAHAN-bahan.

Bahan-bahan

• Dua atau tiga ekor ikan kerisi

• Lima ulas bawang merah, dikisar

• Empat ulas bawang putih, dikisar

• Sedikit halia, dihiris halus

• Asam keping atau air asam jawa

• Daun kari

• Kayu manis

• Bunga lawang

• Susu cair atau santan

• Tomato atau bendi

• Garam

• Minyak untuk menumis

• Cili (pilihan)

1. PANASKAN minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi. Masukkan halia, kayu manis dan bunga lawang.
1. PANASKAN minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi. Masukkan halia, kayu manis dan bunga lawang.

2. BANCUH serbuk kari dengan air. Tuang ke dalam kuali dan kacau rata.
2. BANCUH serbuk kari dengan air. Tuang ke dalam kuali dan kacau rata.

3. MASUKKAN pula daun kari bagi menambahkan haruman dan keenakan rasa.
3. MASUKKAN pula daun kari bagi menambahkan haruman dan keenakan rasa.

4. APABILA semuanya sebati, boleh masukkan sedikit santan atau susu cair. Boleh juga gantikan dengan air saja.
4. APABILA semuanya sebati, boleh masukkan sedikit santan atau susu cair. Boleh juga gantikan dengan air saja.

5. MASAK hingga mendidih, masukkan ikan diikuti asam keping atau asam jawa. Masukkan garam secukup rasa.
5. MASAK hingga mendidih, masukkan ikan diikuti asam keping atau asam jawa. Masukkan garam secukup rasa.

6. TAMBAH tomato atau kacang bendi untuk menambah khasiat. Tambah cili jika mahu pedas.
6. TAMBAH tomato atau kacang bendi untuk menambah khasiat. Tambah cili jika mahu pedas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 4:33 PM