GARY melihat pembinaan rumah mampu milik syarikatnya memenuhi permintaan bakal pembeli masa kini.
GARY melihat pembinaan rumah mampu milik syarikatnya memenuhi permintaan bakal pembeli masa kini.

KOMITED dalam menyokong usaha kerajaan memperkasakan penawaran rumah mampu milik di ibu kota, pemaju hartanah tempatan, Radium Development Berhad melancarkan Vista Adesa.

Rumah mampu milik sebanyak 1,218 unit dibina di bawah program Skim Residensi Wilayah (Rumawip) di kawasan strategik di Sungai Besi itu dijangka menarik perhatian pembeli rumah pertama atau golongan muda yang sudah berkeluarga.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Radium Development Berhad, Datuk Gary Gan, unit kediaman tiga bilik tidur itu berkeluasan 800 kaki persegi dijangka memenuhi keperluan warga kota yang mahu rumah selesa selain dilengkapi pelbagai fasiliti.

"Projek Vista Adesa adalah jaminan kami selaku pemaju tempatan yang mahu terus menawarkan produk hartanah mampu milik yang berkualiti di tengah ibu kota.

"Harga ditawarkan RM300,000 dalam membantu pembeli rumah pertama dengan syarat ditetapkan Jabatan Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan hartanah yang selesa dihuni di kawasan strategik.

"Pengalaman kami dalam pembinaan rumah mampu milik (Rumawip), prospek kawasan selalunya terletak di kawasan strategik antaranya berdekatan dengan akses pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT).

"Selain dikelilingi kemudahan sekolah dan terletak tidak jauh dari tempat kerja pembeli unit rumah terbabit," katanya.

RUANG dalam rumah selesa.
RUANG dalam rumah selesa.

Tambahnya lagi, segala keperluan bakal pemilik hartanah itu termasuk akses keselamatan dan fasiliti dibina bersesuaian dengan gaya hidup urban.

"Selain keluasan dan kawasan penempatan tidak jauh dengan lokasi tumpuan seperti Bukit Bintang, Petaling Jaya dan Cheras, Vista Adesa turut dikelilingi pelbagai infrastruktur penting antaranya hospital dan sekolah.

"Malah rekaan rumah menepati gaya hidup masyarakat masa kini yang mana ada kemudahan rekreasi seperti kolam renang dan gimnasium untuk diakses penduduk," katanya.

GARY menunjukkan ruang dalam projek mampu milik di Sungai Besi.
GARY menunjukkan ruang dalam projek mampu milik di Sungai Besi.

Tambah Gary, pihaknya melihat pentingnya peranan pemaju tempatan menyokong dasar kerajaan dalam milikan rumah mampu milik terutama warga kota.

Namun, cabaran terbesar pihaknya ialah kos pembinaan dan harga tanah semakin meningkat.

"Sebagai pemaju hartanah yang memfokuskan pembinaan rumah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kami mengakui kekurangan tanah untuk pembinaan hartanah adalah cabaran utama kami.

BILIK dengan ruang boleh memuatkan perabot sesuai dengan keperluan.
BILIK dengan ruang boleh memuatkan perabot sesuai dengan keperluan.

"Kami terpaksa melakukan beberapa pendekatan yang dapat menguruskan kos secara efektif supaya syarikat dapat terus menawarkan rumah harga mampu milik kepada rakyat sehingga hari ini," katanya.

Menerusi penawaran rumah mampu milik ini juga ia dilihat meningkatkan kredibiliti syarikatnya yang lebih dekat dengan masyarakat.

Projek hartanah Radium Development Berhad pada tahun 2023 termasuk pelancaran Vista Adesa jangkaan mencecah nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion.

KEMUDAHAN seperti kolam renang juga dibina di rumah terbabit.
KEMUDAHAN seperti kolam renang juga dibina di rumah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 6:40 AM