Hafiz Ithnin


LEBIH 10 tahun pemilik kediaman ini berhijrah ke Kuala Lumpur dari Kuching, Sarawak.

Dia menyedari pembelian hartanah pertama sudah semestinya perlu mempunyai strategi.

Lokasi strategik, mempunyai nilai hartanah yang tinggi pada masa depan dan memberi kesan kepada aliran tunai yang baik kepada diri sudah tentu menjadi pilihan.

Hampir setahun, Wendyvia Banun Wilson membuat tinjauan hartanah bagi membolehkan dia mendapatkan kediaman yang mempunyai elemen diidamkan.

Wendyvia berkata, akhirnya pada April tahun lalu dia memutuskan untuk membeli kediaman pertama yang mempunyai konsep 'dual key' iaitu satu kediaman yang mempunyai ciri-ciri pembahagian dua ruang utama. Kediaman dual key itu mempunyai sebuah ruang utama yang mempunyai dua bilik tidur dan satu bilik air.

Manakala, satu ruang lagi adalah bilik utama yang mempunyai bilik air sendiri. Kedua-dua ruang itu mempunyai pintu pemisah dan kunci tersendiri.

"Kediaman ini saya beli pada RM683,000 dengan keluasan 1,018 kaki persegi. Konsep kediaman di dalam satu ruang besar mempunyai dua bahagian menjadikan antara faktor saya membelinya.

"Perkara ini kerana saya boleh menyewakan ruang kedua iaitu bilik tidur utama kepada bakal penyewa untuk membantu mengurangkan bayaran ansuran bulanan kepada pihak bank," katanya.

TERDAPAT ruang santai antara kemudahan yang disediakan.
TERDAPAT ruang santai antara kemudahan yang disediakan.

Selain itu, dia juga melihat konsep kediaman itu boleh dijadikan pelaburan jangka masa panjang sekiranya berhasrat untuk membeli kediaman kedua.

Ini kerana ia boleh disewakan kepada dua penyewa sekali gus di dalam satu rumah.

"Apabila mempunyai dua ruang ini, ia memberi kehidupan peribadi kepada saya dan juga penyewa atau kepada dua penyewa sekali gus.

"Setiap penyewa tidak perlu berkongsi ruang yang sama kerana ia dibahagikan kepada dua bahagian dan mempunyai kunci pintu sendiri," katanya.

Dia yang baharu sahaja mendapat kunci kediaman pertamanya dalam segmen kondominium itu pada awal bulan ini turut melihat lokasi memainkan peranan penting.

"Pada awalnya saya ada terfikir dengan kos pembelian kediaman ini sebenarnya harga kediaman jenis teres di luar dari Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, apabila membuat hitungan kembali, kos ke tempat kerja sebenarnya perlu diambil kira dan ia menyumbang kepada aliran tunai peribadi yang baik.

DEKORASI mewah dan santai disediakan pemaju untuk dinikmati pembeli.
DEKORASI mewah dan santai disediakan pemaju untuk dinikmati pembeli.

"Jadi, kedudukan kediaman ini yang hanya mempunyai jarak 1.5 kilometer (km) sahaja ke stesen transit aliran ringan (LRT) membolehkan saya menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja. Ia bukan sahaja menjimatkan kos

pengangkutan malah masa untuk ke tempat kerja terutama pada waktu sesak.

"Selain itu, kediaman yang mempunyai lokasi yang berhampiran dengan kemudahan pengangkutan seperti LRT sudah semestinya mempunyai nilai hartanah untuk pelaburan yang baik pada masa depan," katanya.

Selain itu dia juga mementingkan kemudahan yang ditawarkan di dalam projek kediaman yang dibelinya.

"Antara faktor lain yang membuatkan saya tertarik ialah di kediaman saya mempunyai lebih 60 kemudahan seperti tempat untuk berkebun untuk penduduk, bilik permainan, kolam renang dan gimnasium yang luas.

"Kemudahan seperti ini bagi saya juga membantu dari segi menjimatkan kos untuk tujuan beriadah dan melakukan aktiviti kecergasan seperti ke gimnasium. Bilik gimnasium di dalam projek ini juga mempunyai kelengkapan yang lengkap," katanya.

Katanya, sebagai pembeli rumah pertama dia juga berdepan dengan cabaran terutama untuk memilih jenis kediaman yang sesuai secara peribadi dan menjadikannya sebagai satu platform pelaburan pada masa depan.

"Dalam tempoh setahun saya membuat tinjauan untuk membeli kediaman dan tentunya berdepan dengan pelbagai pilihan yang ditawarkan.

"Ia termasuk tawaran menerusi dalam talian yang misalnya menjanjikan lokasi strategik berhampiran dengan pusat bandar tetapi apabila melawat lokasi sebenar, situasinya berbeza. Jadi, saya nasihatkan kepada pembeli baharu perlu melihat sendiri lokasi yang ditawarkan oleh ejen hartanah atau pemaju supaya kita membuat pilihan kediaman yang tepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 10:40 AM